Bahang Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN bagi sesi 2008/2009 semakin terasa. Di mana-mana boleh didengari cakap-cakap orang tentang calon pilihan masing-masing. Ada yang beranalisa. Ada yang bergosip dan melobi. Status di YM juga telah dipaparkan slogan-slogan kempen kepada satu dua nama. Barangkali calon terbaik yang mereka rasakan sebagai pemimpin mereka dalam persatuan.

Saya terpanganggil untuk mengulas sedikit sebanyak berkenaan pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN. Saya berkira-kira mungkin akan ada beberapa kejutan pada pemilihan kali ini. Pertama sekali harus didahulukan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Pemilihan PERUBATAN(JPP) kerana kelihatan lebih bersistematik dan nampak lebih bersedia.

Sistem pengundian yang akan dilaksanakan mengikut cawangan adalah usaha yang begitu baik daripada JPP sekaligus bakal meningkatkan jumlah jangkaan pengundi pada hari tersebut. Promosi yang lebih awal serta akses maklumat yang berkesan menjadikan pemilihan tahun ini dijangka akan mendapat sambutan yang hebat. Tahniah pada JPP!

E-poster Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN 2008/2009

PCM (PERUBATAN Cawangan Mansoura) dan PCT (PERUBATAN Cawangan Tanta) sudah selesai melaksanakan mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa peringkat cawangan. Kelihatan muka-muka lama yang berkaliber serta pucuk-pucuk muda yang terlantik seolah-olah terganding mantap bagi meneraju PERUBATAN di peringkat cawangan masing-masing.

Saudara Muhammad Izzat bin Md Kamal, Pengerusi PCM kekal untuk penggal kedua dan di Tanta pula Saudara Zulkifli bin Mohamad, mantan Ketua Unit BPI (Biro Pembangunan Insan) bagi sesi lepas, berjaya menyandang jawatan Pengerusi PCT. Tak lupa juga barisan jawatankuasa baru yang terlantik, tahniah diucapkan kepada kalian. Undi ahli-ahli berupakan bukti kepercayaan mereka kepada kalian. Amanah yang terpikul seharusnya menjadi penambah soalan-soalan bonus kalian di akhirat kelak.

Ya, penambah soalan di padang Mahsyar kelak.

Harus dijadikan kayu ukur dalam membuat keputusan adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Ini asasnya. Walau kecil manapun masalah yang berbangkit tetapi jika penyelesaiannya lari dari acuan syariah maka ia tetap jadi murka Allah. Pandangan yang diutarakan, keputusan yang ditetapkan semuanya akan menjadi junjungan perintah rakyat. Lebarkanlah sayap kebajikan, capailah semua suara ahli tanpa mengira klik dan puak supaya kita menjadi yang sememangnya berdemokrasi syarie ( mengambil kira semua suara yang syarie).

Arah mana pemudi mengayuh sampan, penumpang hanya menurut walau ke lubuk buaya.

Wahai para ahli PERUBATAN bijak-bijaklah memilih. Julanglah mereka yang sanggup berkorban dan bekerja kepada persatuan yang anda sama-sama ternaung. Mereka ini harus yang tiada kepentingan juga berperibadi qudwah. Harus qudwah yang hasanah, bersyaksiah contoh.

Wafi mungkin, Asyraf Isa mungkin. Terpulang. Al-Muhim, biarlah kematangan dalam memilih tersemat pada diri anda semua.

Ayuh sama-sama turun untuk memcalon Jumaat ini di ARMA, jam 8 am - 5.30 pm. Jom pilih!