Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.

Belengu Jajahan

Posted In: , . By Kalam Puncak

Rupa-rupannya memang tempat kita menulis mempengaruhi karya kita. Saya memang tidak berapa percaya. Tapi sejak saya pulang ke Malaysia, saya rasa pendapat ini berasas.

Saya sendiri untuk meneruskan penulisan dalam blog ini agak kontang idea. Mungkin di Mesir, apabila kerap mendampingi kelas-kelas tafaqquh, juga melazimi pembacaan buku serta blog, ada saja yang terlintas untuk disampaikan. Patutlah Faisal Tehrani apabila menulis Bedar Sukma Bisu, sebahagian besar masanya dihabiskan di Chiang Mai. Ada mood, kata orang.

Tak apalah, tulis sahaja kalampuncak. Kalau ada manfaatnya, moga sahabat yang lain peroleh tempias hujan manfaat.

Sedikit semperna MERDEKA

****
MERDEKA

51 tahun usianya. Apa kata orang? Merdeka?

Ish, merdeka yang masih jauh. Kalau hanya bumi bertuah Malaysia ini, bebas secara rasmi dari cengkaman kapitalisme British 31 Ogos 1957, tapi belenggu sekularisme serta bahana nasionalisme ganas membaham jiwa dan pemikiran anak bangsa, khasnya yang Muslim, jangan bilang inilah kemerdekaan yang kita agung-agungkan.

Juga kalau diri ini terasa masih terus merdeka tanpa ada rasa perhambaan dan ketundukan pada Rabbu Jalil, kalianlah yang pada malam 31 Ogos nanti akan terjerit-jerit seperti lagak manusia bodoh kerana tidak memahami erti kata merdeka yang sebenarnya!

Pada teman-teman sekalian, selamilah rasa merdeka ini dengan rasa perhambaan pada Tuhanmu. Dengan itu, kalian menjadi mulia. Mulia di sisi Rabbi.

 

Pertamanya saya mahu memohon maaf siap-siap. Saya betul-betul tak dapat tahan diri saya dari tidak mempolitikkan blog Dalam Jiwa Hamba. Oh, benar...penangan P. 44.

Kalau kawan-kawan dengar dan baca dari semua saluran media arus perdana, maka pasti anda akan mendapati diri ini muak serta mual dengan berita yang dipaparkan.

Saya bukan apa tapi bosan dengan tipu helah busuk mereka yang berhati bangsat. Tidak peduli halal haram, langsung tidak ambil pusing nilai syara'. Lalu, yang dijaja adalah fitnah, yang ditabur adalah janji palsu dan yang diperlihatkan adalah kepincangan semata-mata.

"Mereka merancang (tipu helah), dan Allah jua merancang, dan Allah jugalah sebaik-baik perancang (tipu helah)."
Entri kali ini membawa teman-teman pembaca untuk membawa kisah-kisah yang tidak akan didengari melainkan apabila anda sendiri turun ke Permatang Pauh. Kelakar pun ada, tapi sebenarnya kasihan. Itu akibatnya jika hati tertutup, enggan didokong akan kebenaran.

Kisah 1;

Antara taktik perayu undi BN adalah dengan menelefon rumah ke rumah. Terjadilah satu perbualan antara seorang perayu undi dengan penduduk Kampung Belah Dua, Permatang Pauh.

Perayu Undi (PU) : Assalamuaikum

Penduduk Kampung(PK) : Wa'alaikumsalam, ya nak cakap dengan sapa?

PU : Apa abaq pak cik? Ni, saya ni wakil dari BN ni. Ni Haji S ke ni?

PK : Ya, ya. Ada apa?

PU : Pak Cik tau kan 26 Ogos nanti ada pilihanraya. Ni nak abaq...(diteruskan cakap-cakap mempromosi BN)

PK dengar dengan tenang tanpa bantahan.

PU : Pakcik kenal Ariff Shah?

PK: Kenal..

PU : ...bla...bla (terus memuji dan mempromosi Ariff Shah). Pak Cik nak undi sapa nanti?

PK : Pakcik undi Anwar Ibrahim la!

PU : er....

Kisah 2;

Di Kubang Semang, Datuk Seri Najib B. Razak datang untuk menemui penduduk di sana. Najib dibawa dengan kereta mewahnya dan ramai pula yang menyambutnya.

Turunnya beliau daripada keretanya, dia disambut dengan laungan booo dan jeritan "Altantuya, Altantuya. Mongolia, Mongolia".

Kerena terlalu tertekan, beliau terus masuk kembali dalam kereta. Tidak tunggu lama, kereta itu terus beredar.

Kisah 3;

Kisah ini kisah Najib juga.

Di Kepala Bukit, Najib solat bersama pasukannya di satu Masjid di sana. Kemudian, beliau minta untuk diberi peluang agar dapat berucap sepatah dua.

Si Imam enggan membenarkannya. Katanya, "Kalau saya bagi nanti, satgi orang pas mai mintak, pastu mai pulak orang adil mintak, habis pecah orang kampung saya."

Tok Imam jawab begini sahaja kepada TPM. Najib tak tunggu lama terus beredar.

Syok tengok gambar ini. Sehelai banner di Kampung Pertama
Lebih gambar, klik sini

Kisah 4;

Seorang tok siak di Ceruk Tok Kun, kampung DSAI bila ditanya tentang tuduhan liwat DSAI, berkata,
"Kalau hangpa mai letak pistol kat kepala aku, hangpa tembak mati, tak dak aku nak percaya punya Anwar liwat."
Katanya lagi sepanjang berbelas tahun berkecimpung dalam arena Tok Siak ini, kalau DSAI pulang ke kampungnya walaupun pada pukul 2 pagi, beliau tetap solat berjemaah di masjid.

DSAI diliwat? Sapa nak percaya!

Kisah 5;

Ini cerita terbaru saya dengar semalam.

Ust. Ramlang Porigi, antara imam yang menjad saksi dalam upacara sumpah Saiful Bukhari semalam mengumumkan bahawa dia dipaksa untuk berbuat demikian.

Ust. Ramlang dibawa tanpa pengetahuannya ke Masjid Wilayah Persekutuan dari Permatang Pauh. Sesampainya dia ke sana, dia diarahkan dan dipaksa menjadi saksi atas persumpahan si Saiful.

Semalam di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh, Ust. Ramlang sendiri bercakap di hadapan ribuan hadirin yang hadir memberitahu perkara tersebut.

****
Kalau nak cerita banyak sangat. Seronok juga, sebab saya sendiri tidak pernah rasa suasana sebegini. Bilamana surat khabar menggila, berita TV juga bertipu helah, rakyat yang percaya adalah mereka yang sasau, tidak reti beza al-Haq dan al-Batil.

Moga Allah kurniakan kejayaan kepada mereka yang perjuangkan lunas-lunas Islam. Walaupun masih jauh kemenangan Islam di Malaysia ini, tapi ini memberi sedikit sinar bahawa keadilan dan kebenaran itu tetap menjadi agenda perjuangan.

Bersama-sama solat hajat. Ayuh pohon doa!

 

Hari Al-Quds Sedunia

Posted In: , . By Kalam Puncak

Semalam awal pagi saya dapat sms dari seorang sahabat di Mesir bunyinya begini:

"Salam, 21 August, rememberance of al-Quds day. Lets reflect on our awareness of it! Make al-Qudsas our issue today. Ana bihibbu Falatini!"
Oh, hampir lupa saya. Hari yang sepatutnya mereka yang tumpang rasa derita mereka di sana. Mereka yang telah menginfaqkan bukan sahaja diri mereka malah keturunan mereka dalam mempertahankan bumi Paletin.

Tidak mengapalah walaupun sehari terlewat. Ada baiknya saya kongsikan juga peristiwa yang tersirat di sebalik tanggal 21 Ogos ini. Namun penulis asal artikel ini tidak pula saya ketahui.

Maka saya sisipkan bersama dalam entri kali ini emel yang menghuni inbox saya hari ini;

Al Aqsa di bakar pada 21 ogos...

Tanggal 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Persidangan Pertubuhan Islam atau lebih dikenali dengan OIC lahir kerananya. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok dan mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin). Api marak dengan dasyat sekali seolah-olah seluruh Masjidil Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Dennis Michael. Michael mendakwa bahawa dia diutus Allah untuk melakukan pembakaran itu sesuai dengan berita dari Kitab Zakaria. Kemudian, Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Michael ‘gila’. Maka, atas sebab itu, Michael tidak dapat dipertanggungjawabk an atas kejadian tersebut. Negeri-negeri Muslim seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu 21 Ogos setiap tahun menjadi Hari Al-Quds sedunia. yang disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa yang dibakar. Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam terhadap masjid Al-Aqsa yang disucikan. Begitulah nasib tanah suci Umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

Isu Palestin merupakan isu ‘Akidah yang selayaknya dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat Islam kerana kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai tanah suci ketiga dalam Islam, Kiblat pertama umat Islam, Tanah Anbiya’ dan pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkam dalam Hadis Rasulullah. Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.

 

P. 44

Posted In: , . By Kalam Puncak

Oh, begitu susah sekali rasanya untuk update. Saya berkira-kira untuk sentiasa kemas kini blog ini setiap 3 hari. Namun, atas sikap malas dan istiqamah yang masih tidak kukuh lagi, inilah akibatnya. Mujur saja tidak berhabuk.

Sekarang ini cuti 2 bulan saya. Juga cuti sekolah di Malaysia dan musim kenduri. Jemputan hingga 3 ke 4 kenduri sehari. Kalau sudah 8 saya ingat buleh celen Phelps. Tak lupa juga musim kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, kampung saya.

Saya ini bukan peminat tegar politik. Bukan jua pejuang barisan depan Anwar Ibrahim. Cuma bila orang sekeliling saya, termasuklah sepupu-sepupu, mak dan ayah saudara serta kerabat keluarga yang lain, dah semangat-semangat sangat, saya juga terpaksa ambil pusing.

Rasa masing-masing dah boleh agak suasana di sini. Cukup panas.

Kini, perang bendera sengit berlaku di kawasan P. 44 Permatang Pauh. Tak lupa dengan tertubuhnya bilik-bilik gerakan serta ceramah-ceramah. Hinggakan saya pun duk pulun datang ceramah DSAI.

Huhu, saya harap tak ada pembaca yang kata saya ini hard-core fan DSAI. Nak buat macam mana, kampung saya.

Saya cuba nak beli baju ini, tapi saiz saya sold-out. Design oleh AMK Kg Belah Dua.
Bahagian hadapan


Bahagian belakang

Cuma saya risau satu saja, bila dah kelam kabut ambil cakna tentang pilihanraya kecil ini lupa pula tentang persediaan Ramadhan yang tinggal tak berapa hari lagi. Kacau benar rasanya fokus menempuh Madrasah Tahunan ini.
"Ya Allah, sampaikan kepadaku Ramadhan!"

 

Bila Bonda Berbicara

Posted In: , . By Kalam Puncak


Oh sekian lama tidak kemas kini blog, akh
irnya saya punya kesempatan. Pada Allah saya ucapkan syukur.

Kali ini saya kirim lanjut surat samaran saya untuk teman-teman yang terpaksa pulang kembali ke Mesir lebih awal (sekiranya sudah pulang) atau teman-teman yang terpaksa lebih lama tinggal di Mesir untuk menduduki Dur Thani (repeat paper). Moga Allah mudahkan urusan kalian di sana.

Rabbuna sahhillakum.

BILA BONDA BERBICARA

Oleh: Kalam Puncak

Atas nama kasih dan sayang serta rasa rindu yang berat dibendung, bertitik tolak atas kecintaan kerana Allah maka Ibu lafazkan kalimah yang sarat dengan mahabbah, ucapan yang dilafazkan bukan kerana adat tapi kerna ibadah, Salamullahi Aleikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Moga anakanda senantiasa berada dalam lembayung redha dan maghfirah Rabbnya.

Ibu baru dengar dari bapamu berita dari bumi Mesir ini. Berita tentang sekolah kamu dalam ilmu dukun ini. Ibu sedar peritnya anakanda sungguh-sungguh dalam studi di sana. Namun, apakah daya. Kalau Tuhan masih belum izin dikecap sukses dalam peperiksaanmu, usahlah anakanda merasai bahawa segala-galanya sudah berakhir.

Ibu tahu yang Ibu ini bukan orang-orang bijak. Tidak pernah jejak kaki ke sekolah menengah. Gagah-gagah juga tahu baca. Tapi Ibu ini tahu putus asa ini tidak termaktub dalam sifat-sifat orang mukmin. Malah tergolong dari mereka yang kufur.

Oh anakku,

Kalau kau kira bahawa nasihat Ibu ini boleh kau rangkul lalu dipeluk erat buat bekalan dirimu, maka dengarlah. Bangkitlah anakku..

Usahlah kau kusutkan kepalamu dengan kegagalan lalu. Buang jauh-jauh. Lalu kau buka kembali lipatan baru walaupun hanya selembar kecil. Ya, masa yang kau ada sekarang mungkin menghimpitmu, dengan timbunan kitab kuliah yang belum diselak ditambah pula kawan-kawanmu yang nampak seolah-olah jauh padamu tapi ingat semua ini perlu bermula dari diri engkau nak, dari dirimu!!

Mungkin kau nampak orang seolah-olah tidak peduli akan kegagalanmu. Tidak! Tidak sama sekali-kali. Teman yang lain berkongsi duka yang sama, umpama mukmin. Walau di kaki lukanya, namun di tangan pijarnya terasa. Jangan segan-segan pinta bantu dari mereka. Tak termampu beban itu ditanggung sendirian. Lantas teman yang dekat itulah kau damping, kau ambil manfaat dari mereka.

Kami sekeluarga acap kali mendoakanmu. Ibu ini sendiri selalu sebut nama anak-anak ibu termasuk anakanda yang dikasihi. “Ya Allah, Kau kurniakan kejayaan kepada anak-anakku, si fulan, si fulan dan si fulan...”. Doa kudus dari Ibumu yang kejauhan. Yang punya harapan yang besar, tidak hanya jayanya di dunia jua di akhirat.

Anakanda yang Allah muliakan,

Kekangan masa mungkin jadi halangan terbesar bagimu. Tapi kau harus ingat, kalau dikatakan nyawamu sudah sampai ke pangkal pinggang, jangan jadikannya alasan buatmu untuk berhenti amalmu kepada Allah. Kalau sisa seminggu ini sahaja berbaki, jangan jadikannya alasan untuk engkau kembali bangun. Tinggalkanlah laman maya itu, bual-bual kosong malah mengelamun itu kau buang jauh-jauh. Bisikan-bisikan syaitan untuk berserah sahaja, kau usir jauh-jauh kerana itulah jarum syaitan yang halus.

Ingatlah anakku, para cerdik pandai ada berujar,“Kejayaan yang sebenarnya ialah kejayaan yang dibina di atas puing-puing (serpihan dari keruntuhan) kegagalan”.

Duhai anak yang tercinta,

Saat Ibu tulis surat ini, dalam limpahan cahaya lampu minyak tanah, dapat Ibu lihat wajah ayahmu yang kepenatan. Letih membanting tulang mengurus bendang di kampung. Penatnya berbaloi jika dapat dia lihat kejayaanmu. Menjulang sukses yang berkah. Berkah yang datang dari kepatuhanmu pada Tuhanmu. Anakanda, pada Allahlah engkau berserah setelah segalanya engkau usahakan.

Warkah ini Ibu akhiri dengan iringan doa dan harapan.

“Ya Allah, Engkau kurniakan raja segala cekal dan ratu segala tabah untuk anakku menghadapi ujian yang berat ini. Campakkan rasa ketundukan dalam dirinya agar usahanya terpimpin dalam acuan syara’Mu. Ya Allah, padaMu kami berserah dan padaMu kami memohon pertolongan. Perkenankanlah”.
Yang Ikhlas,
Bonda

 

Akhirnya Tiba Hari Nan Ditunggu

Posted In: , . By Kalam Puncak


Hari ini harinya. Masa yang ditunggu sekian lama.

Saya sekarang berada di terminal 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Baru Kaherah bersama 3 sahabat lagi. Sabar menanti kerenah burung besi itu yang degil, enggan hinggap di sangkar tepat waktunya. Barangkali lewat 3 jam dari waktu asal.

Sebenarnya waktu bertolak adalah 7.30 petang, waktu Mesir. 4 jam perjalanan, transit pula di Dubai. Kemudian 9 jam bersabar di situ, sebelum bertolak pukul 9.00 pagi waktu Dubai. Dijangka tiba pula di Bumi Bertuah Malaysia jam 11.30 malam. Hai, lama betul..

Cuba gagah-gagah pukul gambar guna komputer riba Nasrullah di Mathor Gadid

Doakan perjalanan kami sahabat-sahabat sekalian. Moga selamat tiba ke destinasi.

"Bismillahi tawakkaltu 3alallah la haula wala quwwata illa billahil
3alyyil 3azim"

 

Teka Teki Teka Tekuk

Posted In: . By Kalam Puncak

Lusa . Sabtu. Ya, lusa la tu. Jam 7.30 petang waktu Mesir. Aih, tak sabar sangat-sangat.

Kalau sebelum ini, dah termimpi-mimpi. Nampak ummi abah. Nampak adik-adik. Nampak rumah corner lot tu. Nampak sekolah. Memang tak tertahan. Tapi sabaq sat na, lusa je.

Maka belayarlah kapal besi itu di lautan awan. Membelah langit terbang ke ufuk timur.

Yang tak tahan, Emirates tu. Alhamdulillah, syukur.

Di sini saya kongsi bersama pembaca-pembaca sekalian berkenaan teka teki yang diajukan oleh 'Ammu Said, drebar kami dalam Jaulah Matruh Siwa. Memang terpukul. Walau satupun soalan, langsung tak terjawab.

Maka, dengan ini jawab-jawablah ya.

SOALAN 1:

4 makhluk yang Allah ciptakan tanpa rahim(tak susah-susah ibu nak kandung).

SOALAN 2:

a)Benda apa yang Allah ciptakan kemudian dita'zimkan?
b)Benda apa yang Allah ciptakan kemudian dihinakan?

SOALAN 3:

a)Kaum apa yang cakap benar masuk neraka?
b)Kaum apa yang cakap tipu tapi masuk syurga?

SOALAN 4:

Ayat apa yang diturunkan dalam Al-Quran;
a) 2 kali turun, sebahagian turun di Mekah dan sebahagian lagi turun di Madinah?
b)2 kali turun di Mekah dan Madinah, ayatnya sama?

SOALAN 5:

Pokok apa yang padanya 12 dahan, setiap dahan ada 30 daun. Kemudian ada 5 buah, terlindung 3 dibawah bayang manakala 2 terpancar terus padanya sinar mentari?

SOALAN 6:

Apakah gerangan yang bernafas tanpa roh?

Ha, jangan garu kepala. Soalan ini datang dari drebar bas tau. Malu kita, adik kakak tak boleh jawab.

Tak usah diskusi, cuba jawab sendiri.

Jawab, jangan tak jawab. Jawab sekerat pun tidak mengapa. Karangkan jawapannya pada ruangan komen, atau klik sahaja awan hitam di bawah ini. Elak-elak jawab di kotak jerit ya.

Sat, nak pack barang jap...

 

Sebuah Rumah Syaksiah

Posted In: , . By Kalam Puncak

Saya satu petang, sambil duduk-duduk menghirup teh suam teringat cerita lampau. Waktu berprogram dulu. Berbekas perbincangan kami tentang maudhu' LDK itu.

Lukiskan rumah syaksiah anda dan bentangkan.

Persembahan kumpulan saya tiada istimewanya kerana fokus kami bukan menggali hasil. Tapi mencari menang. Sekadar lebat cakap-cakapnya supaya yang lain nampak hebat.

Tapi sahabat seorang ini berbeza. Lontaran isinya padat dengan kalam yang datang dari fikrah yang jelas.

"Rumah syaksiah itu cantik dan memikat. Tapi cantik itu tidak datang begitu sahaja. Kalau Taj Mahal di Agra dan Masjid Biru di Istanbul itu cantik dan memikat, apakah ia datang sebegitu sahaja?"

Soalan yang menimbulkan penasaran. Bunyinya pun ala-ala iklan gardenia.


Pembaca boleh menjawabnya sendiri. Sudah tentu tidak. Pastinya berhajatkan kepada arkitek yang hebat, jurutera yang mantap, tukang-tukang yang mahir, bahan-bahan yang berkualiti dan macam-macam lagi. Tak lupa juga asas yang kukuh juga tiang-tiang yang terpasak.

Kombinasi kreativiti, kemahiran, pengalaman dan kerjasama amat-amat diperlukan bagi melaksanakan binaan yang sebegitu agung itu.

"Macam itu juga dengan syaksiah(peribadi kita). Kalau kita berhajatkan kepada pembinaan syaksiah islamiah kamilah(peribadi Islam yang menyeluruh), maka elemen-elemen sedemikian perlu digabungkan".

BAHAN BINA

Pilingnya adalah 'Ubudiah Lillahi Wahdah(perhambaan kepada Allah yang Satu).

Murabbi yang mithali, silibus dan cara didik yang berkesan serta suasana yang membantu. 3 perkara yang acap kali saya dengar di sekolah dulu. Ya, faktor-faktor utama dalam pembinaan peribadi unggul. Faktor-faktor yang menjadi acuan Tarbiyah sekian lama.

Kalau tidak lengkap elemen-elemen ini usah mimpi terbina rumah syaksiah itu. Mungkin pada luarnya nampak lawa, tapi setelah dipelawa masuk ke dalamnya hilang terus mood untuk kekal tinggal di situ.

Mual dan membosankan. Tetamu tertipu.

Luar sahaja lawa tapi dalam hampeh. Cacat.

CELARU UMAT

Saya selalu rasa bengkak hati bila mendengar ada artis seksi yang kata, " I ni walaupun luar camni, tapi hati I ni bersih tau".

Tak pun ada yang menjadi nanah yang membusung di kalangan para pemuka agama.

Moga Allah mengurniakan hidayah pada mereka.



Mudir sekolah saya, Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain pernah bawa analogi berkenaan syaksiah ini juga. "Kita nak bina syaksiah ini bukan macam buat pasport. Hantar butiran peribadi, hantar surat beranak dan gambar, kemudian tunggu, dah siap cetak. Tapi pasport syaksiah ini kena betul aqidahnya, sahih pula ibadahnya, perlaksanaan juga nak kena betul, 'ubudiah juga perlu jelas barulah dapat pasport(syaksiah)".

Sesungguhnya saya amat merindui peribadi-peribadi unggul ini hidup kembali dalam kelompok yang lebih ramai. Ibarat kombinasi rumah-rumah mewah di satu kawasan taman elit. Nampak gahnya.

Dan peribadi Islam ini adalah peribadi yang benar, padanya terletak redha Rabbi. Peribadi mukmin yang sedar...