Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.

Masih Ada Waktu

Posted In: , . By Kalam Puncak

Sedikit rasa kekesalan terpalit pada diri. Saya berkira-kira perjalanan Ramadhan saya kali ini, jauh bezanya. Kalau Ramadhan itu orang, serasa saya dia akan malu pada si Ramadhan tahun lepas. Oh, seharusnya saya malu pada diri saya sendiri.

Jika diimbau tahun lalu, saya melalui Ramadhan dalam kondisi yang betul-betul eager untuk memanfaatkannya semaksima mungkin. Mungkin kerana di Mesir, Ramadhan disambut dengan meriah dan penghayatannya begitu mendalam di kalangan masyarakat.

Bermula daripada tarawih, saya sendiri ghairah ke sana sini merasai nikmat solat di masjid famous sekitar Kaherah. Dari Masjid Amru di Misr Al-Qadimah ke Masjid Sayeda Zainab. Pernah bertandang ke Masjid Fatimah di Abbas Aqqad, Masjid El-Fath di Tahrir juga ke Masjid Salam di Hayyu El-Asyer. Kadang-kadang ke Majid Pasha di Manyal dan Masjid Azhar di Husein. Ditawaf masjid-masjid ini, menghayati bacaan para imam. Saya terlepas peluang untuk ke Masjid Rawwas di Abu Rish yang dikata orang enak dan sayu bacaan imamnya.

Sungguh mudah juga untuk melihat orang membaca Al-Quran. Di dalam tremco, metro di perhentian bas, apatah lagi di masjid-masjid, bahkan tidak keterlaluan dikatakan di mana-mana sahaja ada yang memegang Al-Quran. Wujud suasana berlumba-lumba untuk membacanya. Tambahan pula, orang-orang Arab, secara automatik menjadi baik. Seolah-olah disuluh cahaya Ramadhan yang basah dengan iman. Anda akan dapati mereka akan mudah mendoakan kita, memberi juadah berbuka puasa dan banyak juga hadiah akan diperolehi.

Iftar Jamaie

Di jalan-jalan akan direntangkan banner-banner meraikan Ramadhan. Merentangi blok-blok rumah dari kiri ke kanan, penuh di jalanan. Tambahan pula, jualang tanglung-tanglung Ramadhan yang seakan-akan mewarnai kota Mesir yang serba koko ini. Ada juga didirikan khemah-khemah untuk hidangan berbuka puasa dikenali sebagai Maidah Rahman yang akan penuh dengan marhaen tak kira bertaraf sederhana juga miskin serta masyarakat pelajar yang sememangnya bermalasan untuk masak.

Pendek kata, meriahnya Ramadhan di Mesir kerana Ramadhannya sendiri. Tetapi di Malaysia, meriahnya Ramadhan kerana persepsi masyarakat kita yang merayakan Eidul Fitri lebih dari Ramadhan.

Yang penuh, bazar Ramadhan dan shopping complex. Masjid penuh di awal Ramadhan sahaja, itupun setakat 8 raka'at.

Oh, rindunya Ramadhan di Mesir.

Rindu benar untuk Qiamullail di Masjid Amru. Bayangkan ramainya manusia hinggakan pada jam 3 pagi, akan bersesakan orang untuk menggunakan tandas seolah-olah pada waktu itu solat Jumaat! Walaupun puluhan tandas tersedia tapi ia tetap tidak mampu menampung hampir ribuan jemaah yang hadir terutama di penghujung Ramadhan.


Tanyalah mereka yang pernah berada di Mesir pada bulan Ramadhan. Apa istimewanya malam ke 27. Kalau mendirikan Terawih pada malam 27 anda terpaksa hadir selepas asar untuk mendapatkan tempat di dalam masjid. Jika tidak, anda terpaksa solat di bawah bumbungan langit malam. Kedatangan Syekh Jibril sebagai imam ditunggu-tunggu oleh masyarakat Mesir. Walaupun doa Qunutnya dibaca selama lebih sejam, tapi itulah yang melahirkan rasa keinsafan dan lahirnya kesungguhan untuk beramal. Semuanya berebut untuk mendapatkan ganjaran Ramadhan yang tidak ada pada bulan lain.

Kalau ikutkan hati, terasa enggan pulang ke Malaysia pada Ramadhan. Peluang meraikan Ramadhan di Mesir tidak datang selalu. Rugi rasanya tidak diraih peluang ini sebaiknya.

Lailalatul Qadr dalam buruan.

Tinggal 6 hari lagi berbaki. Masih ada waktu untuk mara lebih laju. Peluang meraih Lailatul Qadr masih ada.
"Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan. Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh)."
Al-Qadr; 1-5
Bak kata Taqeyyabella, "Jom cari lailatul qadar sape jumpe dia menang!!"

 

Mercedez dan Rasyidi

Posted In: , . By Kalam Puncak

"Kereta Mercedez kalau kita tengok dari luar, kita gosok-gosok, ketuk-ketuk, bunyi pun tak ubah macam tin milo je. Kalau letak Kancil kat sebelah...kaler pun sama hitam, ketuk-ketuk pun bunyi lebih kurang, nak rasa ape sangatla sepeselnya Mercedez tu?"

Para jemaah Masjid Taqwa, Taman Bertam Indah khusyuk mendengar tazkirah yang ala-ala ceramah dari mimbar. Ustaz Mutallib dengan penuh wibawa dalam nada humor bersungguh-sungguh meraih perhatian pendengar.

"Memangla tak ada bezanya. Naiklah bawa, baru tahu bezanya. Baru tahu tinggi rendah Mercedez berbanding Kancil. Macam tulah, Al-Quran. Kalau tak dibaca, tidak digali sumber asli itu, jauh sekali mengamalkan, memanglah tak terasa hebatnya Mukjizat teragung itu!"

Terangguk-angguk para jemaah mengiakan. Saya pun turut sama gerakkan kepala turun naik.

Jarang boleh dilihat masjid di Malaysia diimarahkan sebegitu rupa. Ramai hadirinnya. Padat jadual dengan ceramah, kuliah dan tazkirah. Tahniah kepada AJK Masjid Taqwa(walaupun pakcik-pakcik tak baca, tapi saya hadiahkan juga kredit ini) termasuk bapa saya sekali.

Kiranya terawih bukan sekadar jadi ibadah ritual, tapi terisi dengan percambahan ilmu dan pencerahan fikiran. Moga dari itu akan hadir ketundukan dan penyerahan dalam bentuk kefahaman yang lebih sahih pada Islam, Insya Allah.

PACARAN DAN CINTA

Sebenarnya bukan hendak berceloteh berkenaan Masji Taqwa, Taman Bertam Indah. Tidak mengapa, akan saya muatkan dalam entri yang lebih khusus. Cuma mahu berkongsi bahan bacaan saya berkenaan cinta dan pacaran.

Belum dibaca lagi. Dalam senarai menunggu

Buku Nikmatnya Pacaran Setelah Pernikahan ini dicadangkan oleh seorang teman dalam blognya.

Buku yang panas dan dicari ramai

Kesemua buku ini dibeli sebulan yang lalu, namun saya baru selesai membaca sebuah sahaja. Aku Terima Nikahnya.

Saya bukan kepingin mahu menikah, tapi sekadar merujuk dan membina mindsetting agar mudah dikemudian hari. Dipaparkan dalam ketiga-tiga buku ini, hidangan pengalaman orang-orang lama yang sudah berumah tangga dan terlibat dalam lingkungan dakwah yang saya rasa cukup berharga untuk kita kaut sebanyak mungkin. Panduan buat kita.

Mungkin Rasyidi dan Alia perlu selak dan bedah buku-buku ini. Tahniah buat kalian berdua. Moga boleh tumpang makan di rumah di saat kebosanan.

Sat, adikku menangis lagi.

 

Badar Al-Kubro

Posted In: , . By Kalam Puncak

Hari ini hari yang benar-benar bersejarah bagi umat Islam. Malah ia merupakan turning point kejayaan Islam.

Hari ini tanggal 17 Ramadhan. Ulang tahun Badar Al-Kubro. Besar peristiwa ini dalam sirah kebangkitan Islam dan seharusnya diteliti oleh seluruh muslimin dan diambil inti patinya secara praktikal.

Mari kita soroti entri Roslan SMS berkenaan Badar Al-Kubro. Cukup berisi;

Kemenangan Badar yang ditunggu-tunggu

Esok 17 Ramadhan adalah hari Peperangan Badar, hari dimana Rasulullah saw mengetuai 313 orang sahabat untuk bertempur dengan lebih 1,000 orang musyrikin Mekah untuk mempertahankan aqidah Islam dan survival ummah. Badar berakhir dengan kemenangan buat Islam, Badar menyaksikan betapa saf Islam yang dipimpin Rasulullah dengan dinaungi pertolongan Allah swt telah mencapai kemenangan besar sehingga menundukkan musuh-musuh Allah, dan menyuburkan bumi Islam untuk berkembang luas.

Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang merakamkan di dalam kitabnya “Fiqh al Harakah dari Sirah Nabawiyyah”:

Peperangan Badar telah mempamirkan secara praktikal keteguhan iman para sahabat, satu tanzim yangs angat baik dan jihad yang penuh pengorbanan

Dan menurut Tuan Guru lagi antara pengajaran yang boleh dipetik dari peristiwan Peperangan Badar ini adalah bahawa:

Para Mujahid Islam berperang dengan penuh keimanan dan bersedia mengorbankan apa sahaja. Semua tugas dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dan berlumba-lumba mengerjakan amal salih tanpa terasa dipaksa.

Alangkah bertuahnya kita dalam gerakan Islam hari ini kiranya semangat dan pengorbanan Badar itu bersarang dalam hati kita masing-masing. Dizaman yang penuh mehnah dan pancaroba ini sudah pastilah kemenangan Badar sangat kita tunggu-tunggu dan nanti-nantikan. Badar membuktikan ketaatan para sahabat kepada Rasulullah selaku pemimpin dan kecintaan serta keimanan menebal terhadap Allah swt.

Di dalam kitanya itu Tuan Guru merakamkan:

Seorang sahabat yang bernama Auf bin Harith bin al Ghafra berkata (kepada Rasulullah saw): “Apakah perkara yang menggembirakan Tuhan apabila dilakukan oleh hambanya?” Rasulullah saw bersabda: “Mengeluarkan tangan menghadapi musuh dengan terbuka”.

Apabila mendengar jawapan Rasulullah beliau terus membuang perisainya dan mengambil pedang memerangi musuh sehingga gugur syahid (Allahuakbar!)

Arahan Rasulullah saw supaya menyerang musuh dilaksanakan dengan penuh keimanan.

Dalam ketiadaan Rasulullah saw, maka kepimpinan digalas pula oleh para ulamak, yang sewajarnya memimpin dengan tidak lekang jiwa dan semanagat serta komitmen mereka terhadap perjuangan suci ini. Segala tutur, fikir dan geraknya mestilah berpandukan al Quran dan Sunnah, sebagaimana yang diwarisi dari Rasulullah saw. Kita yang pasca Badar ini perlukan panduan, dorongan dan suntikan semangat dari mereka kerana medan tempur kita hari ini semakin luas dan gawat, jika tidak kita berhati-hati kita pasti tewas dan tergelincir sebelum bertempur.

Juga esok 17 Ramadhan dikenali dalam kalendar Islam sebagai Hari Nuzul Quran, esok menurut lipatan sirah adalah hari dimana al Quran diturunkan kepada Baginda Rasulullah saw di Gua Hira’ untuk disampaikan kepada umat manusia, bukan untuk sekadar dibaca dan disimpan di rak atau peti kaca, tetapi ia untuk dilaksanakan dijadikan hukum tertinggi untuk menyusan kehidupan masyarakat dan Negara.

Betapa indahnya jalinan Nuzul Quran dan Badar ini bagi kita yang berjuang menegakkan kalimah Allah swt ini. Quran inilah hukum tertinggi kita, kerana Quran inilah kita tegak berjuang pada hari ini, dan Badar adalah contoh komitmen dan kesediaan kita untuk berjuang mempertahankan al Quran ini walau apa yang bakal berlaku ke atas diri kita.

Benarlah firman Allah swt:

Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengans seribu malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya, dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah,s esungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Ayuh kita menuntut kemenangan sebenar sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya itu.

P/S: Entri ini dipos semalam dalam blognya. Kredit untuk beliau.

 

Tidak Tinggal Kecuali?

Posted In: , . By Kalam Puncak

Pagi tadi, dalam satu kuliah subuh, saya dengar kembali hadis yang dibacakan Ustaz Abdul Hadi Bin Othman satu masa dahulu di MATRI;

"Daripada Ali menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Akan datang ke atas manusia satu zaman ketika itu Islam tidak ada yang tinggal kecuali hanya pada namanya dan al-Quran tidak tinggal kecuali pada tulisannya, masjid-masjid mereka begitu indah namun ia kosong daripada petunjuk, ulama mereka tergolong daripada kalangan manusia paling jelik yang wujud di bawah langit. Daripada kalangan mereka lahir fitnah-fitnah dan akan kembali kepadanya".
(H.R Baihaqi)
Allahu Akbar. Hebatnya Rasulullah. Bicaranya adalah wahyu. Biarpun tidak punya alat penilik waktu, namun wahyu Allah melangkaui zaman. Direncana sudah perihal umah manusia akhir zaman yang hanyut dalam ombak Jahiliyah, jauh Islam dari kehidupan.

Muslim, tapi Muslim kad pengenalan. Nama saja Islam, namun tatacara Kufur yang menguasai kehidupan. Usah dipertikai Asy-Syahid Syed Qutb, yang menyebutkan bahawa umat Islam sekarang berada di lembah kehancuran. Kalau Al-Quran hanya sekadar menjadi perhiasan di dinding dan penyeri almari mewah, ia sama sekali tidak akan menjadi petunjuk dalam kehidupan.

Indah manapun nama si fulan, cantik manapun resam-resam khat, jika hidayah tidak dijadikan petunjuk dan jika Islam tidak mengatur kehidupan, apalah yang ada untuk dipersembahkan kepada Allah di Hari Yang Pasti Terjadi.
"Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu ? Tahukah kamu apakah hari kiamat itu?"
Al-Haqqah: 1-3
Masjinya indah, tapi rohnya tiada. Jutaan ringgit terbelanja, namun natijahnya tiada.

TENATNYA UMMAH

Saya semalam ketika berbasikal ke masjid untuk berbuka puasa, tiba-tiba dipintas oleh sebuah kereta Waja dipandu oleh seorang lelaki bersama seorang wanita muda di sebelahnya. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat mereka sempat bercumbu-cumbuan sambil memandu. Panas telinga melihat mereka dari jauh. Bulan Ramadhan pun hendak dipuaskan nafsu sebegitu rupa. Terasa macam kalau ada bumper car, mahu saja melanggar dari belakang. Akhirnya, memujuk hati, mungkin mereka itu laki bini(walaupun macam tiada).

Cikgu saya baru-baru ini, telah dijemput menyampaikan motivasi di sebuah sekolah di Perlis. Ceramahnya memang begitu menusuk hati. Diiznkan Allah, selesai berceramah, dia menerima sebuah SMS berbentuk pengakuan daripada seorang pelajar perempuan;
"Cikgu saya ini rasa berdosa sangat. Sepanjang 2 tahun ini saya telah berzina sebanyak 15 kali. 2 orang daripada mereka adalah abang dan adik saya sendiri"
Allahu Akbar, rosaknya masyarakat sekarang. Biarpun hanya cebisan kisah dari drama umat, tapi ia cukup menggambarkan betapa tenatnya umat di akhir zaman.

Semalam, saya berpeluang untuk ke Sek. Men. Keb. Dato' Onn di Bagan Ajam. Jemputan diterima daripada Cikgu Rozaini, kawan Abah, supaya dapat berkongsi sedikit pengalam dengan adik-adik di sana. Sampai saja di sana, dipinta menjadi imam. Alhamdulillah, seronok rasanya memberi dan berkongsi. Tenungan mata mereka dan tumpuan yang dipusatkan benar-benar membangkitkan rasa puas. Besar harapan agar mereka-mereka itu dewasa dengan kesedaran dan kefahaman yang sahih tentang Islam.

Tidak lain tidak bukan, hanya dengan Tarbiyahlah segala ini akan terhasil.
"Tarbiyah fi aidikum fi aidikum faqad"
P/S: Saya baru kembali dari MATRI setelah ke sana selama 4 hari. Sekali lagi Dalam Jiwa Hamba dibiarkan muram tanpa berita. Mungkin sibuk sangat dengan 1000D. =)

 

Rahmah Sudah Nak Berlalu

Posted In: . By Kalam Puncak


Yang jalan lenggang-lenggang
lincahkan melangkah
Yang naik basikal, tukar naik motor
takpun motokar
Yang guna gear 1, jangan tunggu-tunggu
naikkan gear
Biar sampai gear 10 pun tak apa
janji jangan turun balik

Ramadhan berlalu dah 10 hari
Perhebat amalan perkayakan kebaikan
Moga title celaka tak terlekat
di tubuh


Allahu Akbar, cabaran puasa di Malaysia..
tak terasa Ramadhan
tak semeriah di Mesir

 

Laungkan Slogan

Posted In: , . By Kalam Puncak

Berapa hari ya? Eh, ya Allah! Sudah 11 hari.

11 hari Dalam Jiwa Hamba dibiarkan berdebu. Maaflah aku oh Dalam Jiwa Hamba. Tak sempat hendak ceriakan dirimu sepanjang perkelanaan ini.

Harus diceritakan di sini, saya sebernarnya 11 hari tidak pulang ke rumah. Merantau dari rumah turun ke KL. Kemudian melintang sambil mendaki, langsung ke Kuala Terengganu. 2 hari di sana, kembara diteruskan ke Kelantan.

Alhamdulillah, walau ribuan duit dihabiskan, walau dalam kepenatan berpuasa saya bermusafir, walau hari pertama Ramadhan berbuka di rumah orang, walau terpaksa beberapa kali terawih di dalam bas, namun saya puas. Bertemu puluhan teman, juga mengutip mutiara berharga dari mereka.

Terima kasih sahabat-sahabat, pakcik makcik, kawan-kawan dan mereka yang mudahkan urusan musafir saya. Moga Allah ganjari jasa baik kalian serta gandakan dalam berkah Ramadhan ini.

YA RAMADHAN

Rupa-rupanya sekejap saja masa berlalu. Ramadhan yang lalu rasanya baru bertemu seketika lalu. Sedar-sedar hari ini sudah masuk hari kelapan kita berpuasa. Allahu Akbar! Apa yang sudah aku lakukan untuk Ramadhan ini?


Ramadhan ini datangnya dalam pakej. Kalau sudah datang dalam pakej tidak boleh hanya diambil satu tinggal yang lain. Hasilnya tidak setimpal. Impaknya tidak maksima.

Hari itu, di Pertama Kompleks, ketika lama menunggu henset dibaiki, si Cina itu suruh pergi minum dulu. Balas Sahel, "tak boleh la tokei, puase la."

"Oh ya ka, sori..sori. You puase penoh ka? Kasi tahu betul-betul".

"Ya la, kami olang baek-baek ma, tarak tinggal-tinggal".

"Bagus la, tapi you tak boleh tahan makan saja, you kena puase mate skali oo".

Kalau si cina tahu Ramadhan ini datang dalam pakej, apakah si Melayu Islam tidak sedar akan hal ini?

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka dia akan diampuni dosanya yang terdahulu"
(HR. Bukhari – Muslim)
LAUNGAN IHYA RAMADHAN

Ayuh kita laungkan slogan 'Ihya Ramadhan'. Perjuangkan ini dalam sebulan tempoh berkampung di dalam Madrasah Ramadhan. Kalau dalam PKR slogan 'REFORMASI' manakala dalam UMNO dengan 'HIDUP UMNO' telah menjadi pembakar semangat mereka untuk terus berjuang, maka semarakkanlah syu'ur kita dengan rasa penuh keimanan untuk terus bermujahadah dalam Ramadhan.

Laungkanlah dengan nada kamu sendiri. 'IHYA RAMADHAN'! 'IHYA RAMADHAN'! 'IHYA RAMADHAN'!
Ramadhan - Ramli Sarip