Saya satu petang, sambil duduk-duduk menghirup teh suam teringat cerita lampau. Waktu berprogram dulu. Berbekas perbincangan kami tentang maudhu' LDK itu.

Lukiskan rumah syaksiah anda dan bentangkan.

Persembahan kumpulan saya tiada istimewanya kerana fokus kami bukan menggali hasil. Tapi mencari menang. Sekadar lebat cakap-cakapnya supaya yang lain nampak hebat.

Tapi sahabat seorang ini berbeza. Lontaran isinya padat dengan kalam yang datang dari fikrah yang jelas.

"Rumah syaksiah itu cantik dan memikat. Tapi cantik itu tidak datang begitu sahaja. Kalau Taj Mahal di Agra dan Masjid Biru di Istanbul itu cantik dan memikat, apakah ia datang sebegitu sahaja?"

Soalan yang menimbulkan penasaran. Bunyinya pun ala-ala iklan gardenia.


Pembaca boleh menjawabnya sendiri. Sudah tentu tidak. Pastinya berhajatkan kepada arkitek yang hebat, jurutera yang mantap, tukang-tukang yang mahir, bahan-bahan yang berkualiti dan macam-macam lagi. Tak lupa juga asas yang kukuh juga tiang-tiang yang terpasak.

Kombinasi kreativiti, kemahiran, pengalaman dan kerjasama amat-amat diperlukan bagi melaksanakan binaan yang sebegitu agung itu.

"Macam itu juga dengan syaksiah(peribadi kita). Kalau kita berhajatkan kepada pembinaan syaksiah islamiah kamilah(peribadi Islam yang menyeluruh), maka elemen-elemen sedemikian perlu digabungkan".

BAHAN BINA

Pilingnya adalah 'Ubudiah Lillahi Wahdah(perhambaan kepada Allah yang Satu).

Murabbi yang mithali, silibus dan cara didik yang berkesan serta suasana yang membantu. 3 perkara yang acap kali saya dengar di sekolah dulu. Ya, faktor-faktor utama dalam pembinaan peribadi unggul. Faktor-faktor yang menjadi acuan Tarbiyah sekian lama.

Kalau tidak lengkap elemen-elemen ini usah mimpi terbina rumah syaksiah itu. Mungkin pada luarnya nampak lawa, tapi setelah dipelawa masuk ke dalamnya hilang terus mood untuk kekal tinggal di situ.

Mual dan membosankan. Tetamu tertipu.

Luar sahaja lawa tapi dalam hampeh. Cacat.

CELARU UMAT

Saya selalu rasa bengkak hati bila mendengar ada artis seksi yang kata, " I ni walaupun luar camni, tapi hati I ni bersih tau".

Tak pun ada yang menjadi nanah yang membusung di kalangan para pemuka agama.

Moga Allah mengurniakan hidayah pada mereka.



Mudir sekolah saya, Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain pernah bawa analogi berkenaan syaksiah ini juga. "Kita nak bina syaksiah ini bukan macam buat pasport. Hantar butiran peribadi, hantar surat beranak dan gambar, kemudian tunggu, dah siap cetak. Tapi pasport syaksiah ini kena betul aqidahnya, sahih pula ibadahnya, perlaksanaan juga nak kena betul, 'ubudiah juga perlu jelas barulah dapat pasport(syaksiah)".

Sesungguhnya saya amat merindui peribadi-peribadi unggul ini hidup kembali dalam kelompok yang lebih ramai. Ibarat kombinasi rumah-rumah mewah di satu kawasan taman elit. Nampak gahnya.

Dan peribadi Islam ini adalah peribadi yang benar, padanya terletak redha Rabbi. Peribadi mukmin yang sedar...