Pagi tadi, dalam satu kuliah subuh, saya dengar kembali hadis yang dibacakan Ustaz Abdul Hadi Bin Othman satu masa dahulu di MATRI;

"Daripada Ali menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Akan datang ke atas manusia satu zaman ketika itu Islam tidak ada yang tinggal kecuali hanya pada namanya dan al-Quran tidak tinggal kecuali pada tulisannya, masjid-masjid mereka begitu indah namun ia kosong daripada petunjuk, ulama mereka tergolong daripada kalangan manusia paling jelik yang wujud di bawah langit. Daripada kalangan mereka lahir fitnah-fitnah dan akan kembali kepadanya".
(H.R Baihaqi)
Allahu Akbar. Hebatnya Rasulullah. Bicaranya adalah wahyu. Biarpun tidak punya alat penilik waktu, namun wahyu Allah melangkaui zaman. Direncana sudah perihal umah manusia akhir zaman yang hanyut dalam ombak Jahiliyah, jauh Islam dari kehidupan.

Muslim, tapi Muslim kad pengenalan. Nama saja Islam, namun tatacara Kufur yang menguasai kehidupan. Usah dipertikai Asy-Syahid Syed Qutb, yang menyebutkan bahawa umat Islam sekarang berada di lembah kehancuran. Kalau Al-Quran hanya sekadar menjadi perhiasan di dinding dan penyeri almari mewah, ia sama sekali tidak akan menjadi petunjuk dalam kehidupan.

Indah manapun nama si fulan, cantik manapun resam-resam khat, jika hidayah tidak dijadikan petunjuk dan jika Islam tidak mengatur kehidupan, apalah yang ada untuk dipersembahkan kepada Allah di Hari Yang Pasti Terjadi.
"Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu ? Tahukah kamu apakah hari kiamat itu?"
Al-Haqqah: 1-3
Masjinya indah, tapi rohnya tiada. Jutaan ringgit terbelanja, namun natijahnya tiada.

TENATNYA UMMAH

Saya semalam ketika berbasikal ke masjid untuk berbuka puasa, tiba-tiba dipintas oleh sebuah kereta Waja dipandu oleh seorang lelaki bersama seorang wanita muda di sebelahnya. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat mereka sempat bercumbu-cumbuan sambil memandu. Panas telinga melihat mereka dari jauh. Bulan Ramadhan pun hendak dipuaskan nafsu sebegitu rupa. Terasa macam kalau ada bumper car, mahu saja melanggar dari belakang. Akhirnya, memujuk hati, mungkin mereka itu laki bini(walaupun macam tiada).

Cikgu saya baru-baru ini, telah dijemput menyampaikan motivasi di sebuah sekolah di Perlis. Ceramahnya memang begitu menusuk hati. Diiznkan Allah, selesai berceramah, dia menerima sebuah SMS berbentuk pengakuan daripada seorang pelajar perempuan;
"Cikgu saya ini rasa berdosa sangat. Sepanjang 2 tahun ini saya telah berzina sebanyak 15 kali. 2 orang daripada mereka adalah abang dan adik saya sendiri"
Allahu Akbar, rosaknya masyarakat sekarang. Biarpun hanya cebisan kisah dari drama umat, tapi ia cukup menggambarkan betapa tenatnya umat di akhir zaman.

Semalam, saya berpeluang untuk ke Sek. Men. Keb. Dato' Onn di Bagan Ajam. Jemputan diterima daripada Cikgu Rozaini, kawan Abah, supaya dapat berkongsi sedikit pengalam dengan adik-adik di sana. Sampai saja di sana, dipinta menjadi imam. Alhamdulillah, seronok rasanya memberi dan berkongsi. Tenungan mata mereka dan tumpuan yang dipusatkan benar-benar membangkitkan rasa puas. Besar harapan agar mereka-mereka itu dewasa dengan kesedaran dan kefahaman yang sahih tentang Islam.

Tidak lain tidak bukan, hanya dengan Tarbiyahlah segala ini akan terhasil.
"Tarbiyah fi aidikum fi aidikum faqad"
P/S: Saya baru kembali dari MATRI setelah ke sana selama 4 hari. Sekali lagi Dalam Jiwa Hamba dibiarkan muram tanpa berita. Mungkin sibuk sangat dengan 1000D. =)