Sedar tak sedar, hari ini sudah tanggal 30 Zulhijjah tahun 1429 hijrah. Sebenarnya, bukan tak sedar. Tak tahu pun. Masakan tidak, kesan globalisasi dan hentaman arus manusia yang berkiblatkan barat, kita lupa akan tahun Hijriah yang menjadi lambing warisan Islam.
Rupa-rupanya dah 1429 sejarah hijrah Nabi Muhammad S.A.W. berlalu. Dan tika ini, kita masih tidak pernah tahu secara terperinci seerah agung ini.
Saya bukan mahu cerita panjang-panjang akan seerah hijrah Rasulullah dan Abu Bakar. Cuma menghidangkan ibrah yang boleh kita kaji dan lihat, lalu dihadam dalam sedar, supaya yang lahir dari pembawaan peristiwa ini adalah kehendak diri untuk berubah dan melaksanakan pengorbanan.
Sudah terbukti Hijrah nabi membawa kesan yang amat besar kepada penyebaran Islam. Ia merubah pola dan rentak perjalanan Dakwah Islamiyah. Bagaimana kita melihat selama 13 tahun dakwah Rasulullah di Mekah yang mendapat tentangan yang cukup hebat, akhirnya Negara Islam pertama tertubuh di Bumi Madinah. Kesan dari kehendak untuk melakukan perubahan dan kesanggupan untuk melakukan tugas berat, Islam akhinya menyinar di seluruh alam.
Benar, nabi itu bukan orang biasa. Baginda manusia agung. Iman Rasulullah tiada taranya. Namun, apakah secebis pengorbanan daripada Rasulullah untuk setapak melakukan perubahan tiada mampu untuk kita titipkan?
Apakah kita hanya berani berubah bila ada sogokan?
Adakah yang kita tunggu adalah semua manusia itu mahu berubah, baru kita mahu berubah?
Jika itu yang ditunggu, tidak cukupkah sogokan kebaikan dari Tuhanmu atas anjakan Iman yang anda lakukan? Ataupun tidak cukupkah contoh-contoh mereka yang menjumpai bahagia dalam pertemuan mereka dengan hidayah Allah?
“Wahai orang-orang yang beriman , Adakah kamu suka Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.”PERUBAHAN DAN PERANCANGAN
As-Sof : 10-11
Maka rancanglah perubahan anda demi diri anda sendiri. Tiada yang mendapat manfaat yang paling banyak apabila kebaikan yang dilakukan melainkan diri kita sendiri. Hijrah nabi menyaksikan betapa telitinya Nabi merancang. Bermula dengan bantuan Allah untuk keluar dari rumah baginda, Rasulullah dan sahabat karibnya, Abu Bakar meneruskan perjalanan ke selatan, mengarah ke Yaman. Walhal, Madinah itu di utara Mekah ia terletak.
Seterusnya, dengan persembunyian di Gua Tsur, pembahagian tugas kepada individu-individu tertentu, penghantaran utusan Nabi ke Madinah iaitu Musab Bin Umair sebelum peristiwa Hijrah berlaku, memberikan gambaran bahawa perubahan yang hendak dilakukan itu seharusnya didahului dengan perancangan yang rapi.
Kita selaku pelajar-pelajar memang menjadi satu kemestian untuk merancang perjalanan akademik kita. Diatur satu-satu, daripada ijazahnya di mana, sambung ijazah dalam bidang mana, malah ada yang sudah merancang kerjaya masing-masing. Itu belum lihat lagi, jadual studi harian, nota-nota yang dalam waiting list untuk dibaca, tempelan-tempelan nota dalam bilik dan macam-macam lagi.
Namun, pernahkan kita merancang perjalanan hidup kita sebagai seorang hamba Tuhan? Berapa juzuk Quran mahu dibaca, bila mahu mula istiqamah dengan qiamulail, mingguan ziarah kawan-kawan, berapa kali solat jamaah di surau, ataupun bahan bacaan tambahan ilmiah. Harus diingati yang dipersoalkan Allah nanti adalah sejauh mana kita mempersembahkan diri kita sebagai hamba Allah. Kerjaya doktor itu hanyalah alat kita mencapai tahap perhambaan yang dimuliakan Allah disisiNya.
Saya ulangi, doktor itu alat untuk menyelami jiwa perhambaan kepada Allah! Gunakanlah ia sebaiknya!
MEREKA YANG MERASAI DERITA
Tidak jauh dari kita di bumi Mesir ini, saudara-saudara kita di Palestin masih dirundung malang di bumi sendiri. Pedih derita mereka tidak pernah hilang sejak puluhan tahun dahulu. Terkini, mereka dihujani dengan serangan udara bertalu-talu yang setakat ini(pada 28 Disember 2008) meragut 280 nyawa dan mencederakan hampir 600 orang dalam masa 2 hari serangan Zionis laknatullah.
Dalam dingin angin musim sejuk mereka diuji. Tidak cukup dengan embargo besar-besaran, keputusan bekalan elektrik, serta sekatan ekonomi, Palestin dijadikan sasaran untuk menunjukkan belang keangkuhan golongan Yahudi sialan. Kerana tidak mahu tunduk dengan desakan Israel, mereka menjadi mangsa. Akan tetapi, di mana kita dalam hal ini? Moga tahun baru yang bakal menjelang, menaikkan sensitiviti kita dalam derita umat sendiri.
Umat yang dimaksudkan bukan umat warna kulit atau tanah air. Tetapi, umat yang punya Ghayah yang sama, I’tiqad yang sama. Atas Iman yang sama, kita punya persamaan.
Saya masih ingat cerita sahabat saya, ada temannya yang bersungguh untuk turut merasa derita suadara-saudara di Palestin di dalam musim sejuk. Tiada beju tebal untuk menyarung tubuh, tiada kain bulu untuk berselimut. Teman sahabat saya ini, sanggup untuk tidur di atas lantai tanpa Saratoga(selimut tebal edisi Mesir) hanya kerna mahu berkongsi derita mereka. Moga Allah berkati beliau.
Azam baru ini, bukan azam tahunan malah harian. Diperbaharui dan diperingatkan saban waktu agar tidak lupa. Moga roh Hijrah ini bersemarak saban waktu, tiap ketika.
Selamat datang 1430..selamat menjengah 2009.
1 Response to Hijrah Yang Bukan Tahunan
Salam ma'al hijrah...
apa yg dicoretkan ada benarnya...
banyak sungguh sbg makhluk bergelar manusia kita terlepas pandang.. Moga hijrah kali ni ada peningkatan...
Something to say?