Semalam ada peristiwa sedikit cemas berlaku.

Sedang kami duduk-duduk, makan-makan di rumah Amin, tiba-tiba dapat satu panggilan dari Azim. Minta kami yang ada di rumah itu bergegas terus ke rumahnya. Kebetulan Albaihaqi, housemate Azim ada bersama kami. Katanya ada polis datang menjengah.

Hairan. Ligat kepala berfikir sebab munasabah polis datang rumah. Terus kami bertiga ke sana.

Sesampainya kami di sana, sedang menaiki tangga, ditahan oleh dua lelaki arab berpakaian kasual. Seorang kemas pakaiannya, seorang lagi agak selekeh dan tinggi sosok tubuhnya.

Entu ruuh feen? Sakin hena?” tanya salah seorang dari mereka.

Aiwa. Sahabi dah. Aho!” Amin jawab sambil menunjuk kepada Alba. Tak berlapik sudah. Kerana si penyapa kurang adabnya di situ. “ Fi eh?

“Saya polis. Berapa orang kamu tinggal di sini?”tanya dia kembali.

Tidak menjawab persoalan lelaki itu terus kami minta ditunjukkan kerneh(kad pengenalan). Dia tidak berlengah-lengah. Disuakan kepada kami. Kami masing-masing kurang percaya dan enggan memberikan kerjasama sebaiknya. Kerana itu, ditunjukkan perkataan syurtah(polis) yang tertera di kernehnya dan ditunjuk pistol yang terselit pada pinggangnya. “Enta mutaakkid?

Seorang lagi tayang-tayang pula garinya. “Aih, main-main pula mabahis(SB) ni.”



Yalla, Faddal!” ujar Amin.

Bila tiba di muka pintu, Azim sudah sedia menunggu. Gaya cuak.

Kami masuk dan dijelaskan tujuan asalnya. Mereka ini polis yang bertugas menjaga keselamatan dan hal ehwal kami secara kami tidak sedar sepanjang keberadaan kami, warga asing di bumi Mesir. Dimintanya salinan pasport dan dokumen kontrak sewa rumah.

Pada asalnya memang kami menaruh syak wasangka yang macam-macam pada arab yang mengetuk pintu rumah. Masakan tidak, bermacam tragedi curi, pukau, samun dan sebagainya berlaku. Tak kisahlah si Azim cemas berwajah biru.

Sedang kami berurusan, tiba-tiba skuad soya Ehmad datang berpusu-pusu. Mungkin backup yang dipanggil Azim. Sah, Fayadh pun ada.

Alhmadulillah segalanya berjalan lancar. Mungkin tugasan dan prosedur yang terpaksa dilakukan. Kali pertama disergah polis sedemikin cara menyebabkan kami menggelabah. Rupa-rupanya sudah beberapa rumah telah didatangi mabahis termasuk rumah Akir dan Mahligai Presiden. Lantaran tidak dihebohkan, menyebabkan kami tidak bersedia menerima kunjungan tersebut.

AMBIL CAKNA

Selepas ini, teman-teman seharusnya lebih berhati-hati. Apa-apa kemungkinan perlulah dijangka. Mungkin yang mengetuk pintu itu niatnya jahat kerana terbukti berlaku. Baru-baru ini di Alexandria sendiri, satu rumah dipecah masuk pencuri menyebabkan kehilangan wang berjumlah LE 5000. Malang sudah tentu tidak berbau.

Yang terbaik adalah langkah pencegahan yang maksimum dan tawakkalnya pada Allah.

Apabila kamu bertekad hendaklah kamu bertawakkal kepada Allah.
Ali-Imran:159

Yang mengizin untuk diapakan, yang menyelamatkan dari malang, yang menjauhkan segala bencana, yang mengusir segala kesulitan, hanyalah Allah sebaik-baik sandaran. Setelah diambil segala asbab dipasrahkan segala sesuatu padaNya.

Moga lebih tsabat dalam jiwa hamba!