Terik mentari musim panas terasa pedih membakar kulit. Pijar rasanya. Kerap kali ulang alik dari Sayeda Zainab ke Hayyu Asyier menjadikan perjalanan terasa amat meletihkan.

Turut sama membebankan adalah kos pengangkutan yang bertambah. Masakan tidak. Kalau dulu tambang tremco Ghamra-Asyier hanya LE 1.25 sekarang sudah LE 1.50. Kalau ke Sabie dulu LE 1.00 kini LE 1.25. Kemudian sambung ke Asyier dulu LE 0.50 sekarang sudah LE 0.75. Itu belum dilihat lagi harga tambang bas pendek daripada LE 1.10 melonjak kepada LE 1.50. Mujur sahaja bas panjang yang seperti tin sardin itu statik harganya.

Mungkin kita bagi pelajar-pelajar perubatan di bumi Mesir kalau setakat naik rubu3(satu perempat) atau nus(setengah) tidaklah terasa sangat. Tetapi, bagi pelajar-pelajar Malaysia tanpa penaja atau masyarakat Mesir setempat, keadaan ini amat membebankan mereka.

Bagi mereka yang selalu menggunakan jaringan pengangkutan terbaik di Mesir (hanya aspek kepantasan sahaja) iaitu tremco, mungkin seringkali melihat pertengkaran antara penumpang dan pemandu. Bertikai harga, minta diberi murah dan sebagainya. Tak tahan gamaknya.

HARGA MINYAK

Hal ini gara-gara kenaikan harga minyak yang agak melampau di Mesir. Sama halnya dengan di Malaysia.

Di Mesir, harga minyak melambung tinggi dengan mencatatkan Petrol 90 mencecah LE 1.75 dari LE 1.00, Petrol 92 mencecah LE 1.85 manakala Petrol jenis 96 sehingga LE 2.75. Kenaikan ini nyata menggoyahkan ekonomi keluarga masyarakat setempat sekaligus memberi kesan besar dalam kehidupan seharian mereka.


Nilai harga minyak mungkin nampak keci nilainya, tapi harus dingat Mesir bukan negara semaju Malaysia. Masih ketinggalan dalam kemajuan teknologi dan beribu-ribu rakyat yang tidak terbela hak mereka.

Bila minyak naik harga, tentu sahaja semua barang terkesan sama. Kenaikan berantai. Lantas rakyat diheret ke dalam hidup yang melarat, membebankan juga menyesakkan. Yang miskin tidak terbela yang kaya kekal larut dalam kayanya, hasil korupsi.

Kalau teman-teman menyusuri jalan dari Nadi Sikah menghala ke Sayeda Aesya, kalian akan mendapati seolah-olah keluar dari Kaherah sebentar. Kawasan perkuburan sekitar kawasan itu bukan sahaja dihuni oleh jasad-jasad kaku dan tulang belulang, malah mereka yang hidup melarat berteduh di balik dinding binaan kubur. Sedih melihatnya. Tiada terbela.

Apa untung cukai di Terusan Suez tidak upaya menampung hidup rakyat yang miskin? Bukan jutaan, bahkan bilion dolar yang terpungut. Tiada beza dari kisah rakyat di bumi sendiri. Entah mana perginya untung yang diraih Petronas. Tak sepadan manfaat yang dirasai rakyat dari syarikat gergasi emas hitam Malaysia.

DUSTURUNA

Saya bukan hendak sibuk-sibuk komen berkenaan isu politik negara orang, tapi ingin berkongsi apa yang saya nampak. Moga kita lebih faham realiti Mesir sendiri. Kita sering dakwa bejatnya rakyat Mesir datang dari hancurnya akhlak mereka. Tapi mereka ini jadi mangsa perangkap negara yang belakangkan hukum Allah.

Bila yang memerintah itu dusturnya bukan Al-Quran, sasar hala tujunya. Kepentingan diri jadi intipati. Hambatan nafsu kuasi diri. Bila Islam itu yang diambil hanyalah saduran, tiadalah Islam itu telah tertegak. Akhirnya, negara menuju kerosakan.

Yang nampak maju itu bukan maju jika kayu ukurnya sekadar material. Besar hajat diri ini bahkan satu keyakinan suatu hari nanti Islam menjadi Mahaguru kepada alam.

"Dirikanlah negara Islam dalam diri kamu, nescaya tertegak di negara kamu."
-Hasan Hudaibi-