Baru-baru ini saya dengar satu peringatan yang menjentik hati saya. Terbuka mata yang mamai dalam tidur leka.

Akibat menyesal pulang lambat ke Malaysia, saya adu pada teman-teman terdekat. Tak larat nak tunggu sebulan lagi, rindu tak terbendung. Baik pada keluarga juga masakan umi. Namun, hati ini tersentuh dengan nasihat abang Idil. Tak rugi, ilmu katanya.

TAWWIR NAFSAK

Tiga bulan cuti berbaki, termasuk yang lajak pulang berhari raya di Malaysia. Saya masih berkira-kira apa yang nak dilakukan sebulan di Mesir. Alhamdulillah, setakat ini terisi dengan kelas tafaqquh bersama Ustaz Fawwaz dan tasmi' Al-Quran.

Syekh Muhd Al-Ghazali dalam kitabnya Jaddad Hayaatak, menyebut dalam salah satu topik supaya bersama-sama untuk meningkatkan diri kita. Beliau mengemukakan contoh andai dua orang diberi peluang yang sama selama dua bulan untuk dimanfaatkan. Seorang rajin mengunjungi kelas tafaqquh, mendampingi orang-orang saleh, melazimi pembacaan dan sebagainya. Manakala seorang lagi khayal dalam mabuk hedonisme, terperangkap dalam jerat kelapangan dan gagal dalam mengkoreksi diri.

Pasti, dua bulan yang dilalui membuahkan hasil yang berbeza bagi kedua-dua individu. Pemikiran, tsaqafah, pengalaman juga watak yang berlainan. Adalah amat merugikan jika kita yang tergolong dalam mereka yang rugi lagi celaka, tiada peningkatan diri. Mabuk, khayal akibat meneguk arak hedonisme. Sebut sahaja. Filem?Drama?Game? Mana yang tak teratah..

"Sungguh beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang sia-sia."
Al-Mu'minun: 1-3
KIKIS KEAIBAN DIRI

Menyedari diri ini diselubungi aib dan cela, jadi tanggungjawab untuk koreksi. Benar, turning point itu susah dicari, tapi malu berubah bukan penyelesaian.

Saya kemukan apa yang saya pernah baca dalam Tarbiyah Dzatiyah, karangan Solikhin Abu Izuddin, seorang penulis terkenal Indonesia yang menggariskan tahap-tahap yang seseorang itu perlu cari dalam membaca aib diri;

1. Duduk bersama-sama syekh-syekh.
Berdampingan dengan para syekh ini, kita akan memperoleh tausiyah dan taujihah yang amat berguna bagi diri kita. Kefaqihan mereka serta keikhlasan dalam beramal menjadikan mereka ini golongan yang sangat ihsan dalam menyampaikan kebenaran. Namun, syekh-syekh ini sulit dicari dewasa ini lantaran sedikitnya mereka yang ikhlas. Kerana itu saya mencemburui Baihaqi.

2. Mendatangi sahabat-sahabat yang soleh.
"Sebaik-baik orang di antara kamu ialah mereka yang kamu lihat akan mengingatkan kamu kepada Allah"

Abu Musa Al-Asy'ari sangat gemar menatap wajah Abdullah Bin Mas'ud. Begitu juga Ibnu Qayim amat suka melihat wajah Ibnu Taimiyah. Kerana bila diperhati sahabat-sahabat mereka ini berputik iman, berbuah amal.

Daripada sahabat-sahabat yang soleh ini, dikurnia Allah kepada kita basirah diniah (pandangan deen). Insya-Allah daripada mereka akan terjelas persepsi mungkar. Sudah menjadi kewajiban ke atas kita agar dikenali kebatilan. Garis panduan agar tak tergelinicir dari landasan syara'.

3. Mendengar cercaan musuh.
Kerana mata orang ini lebih tajam dalam menjejaki jelek orang. Jangan didengar dari corong amarah tapi dengan akal yang terpimpin.

4. Interaksi dengan setiap golongan manusia.
Seharusnya menggauli manusia berbagai ragam yang ditemui. Apabila yang jahat itu ditemui maka jauhilah!

"Jiwa kamu jika tidak disibukkan dengan ketaaatan akan disibukkan dengan kemaksiatan."
Ali Bin Abi Thalib