Bermulanya sesi 2008/2009 bagi pelajar-pelajar perubatan tahun 3 di Universiti Kaherah, masing-masing tampil dengan gaya serba baru. Mana tidaknya, hampir 80% dari mereka ini pulang ke Malaysia.

Pasti ada saja kelihatan, datang ke kelas dengan pakaian yang semuanya baru. Bermula daripada kasut, naik ke seluar, terus ke baju serta beg. Bagi perempuan, harus sahaja tak terlepas tudung, baju, tas tangan dan sepatu yang baru. Segalanya baru. Tak pernah nampak sebelum ini.

Ada juga yang datang dengan laki dan bini yang baru. Yang ini tahniah saya ucapkan. Oh, tak lupa yang ada tunang baru. Moga alam baru yang kamu sudah langkahi ini, menjadi pandu jalan bagi teman-teman yang lain. Pokoknya, harus stabil studi. Lalu pinta sahaja pada Allah, moga Dia berkahi.

Saya juga apabila hendak kembali dari Malaysia minggu lalu, sudah saya persiapkan bahan bacaan saya yang baru bagi tahun ini. Sekotak buku sudah saya sediakan, menunggu waktu untuk berangkat. Namun, izin Tuhan tidak terbawa saya kotak itu ke mari lantaran terlebih muatan. Emirates oh emirates, kenapa 32 kg yang engkau khabarkan, 25 kg sahaja yang engkau benarkan? Apalah nasib, kini mencari-cari saluran agar dapat diposkan kotak buku tersebut.


Terdapat juga teman-teman gen_6 yang targetnya mumtaz, azam yang baru. Tapi bila berhadapan dengan maddah-maddah pelajaran tahun ini, berfikir dua tiga kali lagi. Barangkali misi mumtaz tahun ini amat payah sekali.

Apapun, hadirkanlah niat yang sentiasa diperbaharui untuk tahun ini. Pasakkan matlamat yang jelas untuk terus mara dengan mencari Redha padaNya. Teruskan untuk diperbaharui, kerana niat ini juga kekadang ia boleh lusuh dengan hujan panas kehidupan. Kerana tidak diperingatkan ia larut dalam keliru dan dilema konflik tanggungjawab dan kehendak.

Kita tidak mahu penat dan lelah kita tidak terbayar dengan 'inayah daripada Allah. Bila Mardhatillah tidak dicapai, sia-sialah segala kudrat yang dikerah ke jarum meter maksimum. Langsung tiada nilai di sisi Allah.

Walaupun ramai yang anggap pos kali ini adalah entri yang lapuk, tapi ianya tetap releven kerana niat itu adalah sesuatu yang diukur sepanjang masa oleh Allah. Biarlah muak diperingatkan perkara ini. Asal ia berguna untuk sang mukmin, tidak rugi untuk didengar dan dihadam.

Wallahua'lam.