Hari-hari yang berlalu bagaikan memberi isyarat malapetaka telah berlaku. 11 hari Dalam Jiwa Hamba bagaikan jasad terkujur tidak berbernyawa. Disangka tidur pada mulanya, namun ia nyenyak lalu terus koma. Yang ada hanyalah naik turun dada berombak menggapai nafas.

Akibat taklif hamba yang terabai serta atur masa yang tidak tersusun, segalanya jadi haru-biru. Solat jemaah lompong. Studi jadi tunggang langgang. Bedah buku langsung tidak terbuat. Apatah lagi hendak kemas kini Dalam Jiwa Hamba. Akhirnya, huruf pemula bagi artikel ini susah amat untuk ditaip.

Dalam Jiwa Hamba mati akibat hati yang kontang. Juga idea dan bahan yang ketandusan.

Yang ada hanyalah rasa gelisah dan kesamaran berfikir. Juga rasa malas yang melampau.

Seharusnya perlu diakui saya menulis ini kerana ingin berkongsi. Berkongsi seronok hidup saya bersama Islam. Seronok hidup menjadi hamba. Apabila rasa perhambaan itu hilang,daya perkongsian juga lenyap bagaikan kabus yang menghilang. Faded away kata orang putih.

Begitu sukar rasanya untuk menjadikan hati ini benar-benar basah dengan hujan iman yang menyimbah. Ia sering sahaja kontang dan mandul. Usah harap buah iman itu mahu tumbuh lebat, jika pohonnya kekeringan. Apatah lagi jika benih yang disemai itu adalah dari baka yang buruk.

Begitu jugalah Allah umpamakan mereka yang menaburkan kata-kata yang baik;

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada Setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat."
Surah Ibrahim: 24-25
TUNTUTAN DAN CABARAN

Seharusnya kita merasai bahawa kita akan berhadapan dengan tugasan yang makin memberat. Tiada yang semakin mudah dalam kehidupan. Taklifan akan makin bertambah kian hari. Persiapan dan pengorbanan juga perlu bertambah kerana kedua-dua aspek ini ibarat graf yang selari.

Saya masih ingat kata-kata murabbi ana di sekolah dulu;
"Amal Islami ini menuntut banyak perkara daripada kita. Ia bermula dengan masa, tenaga, harta dan akhirnya ia akan menuntut nyawa kita."
Tiada yang semakin mudah dalam kehidupan. Segalanya akan bertambah kompleks dan memayahkan. Kompleks kerana masalah ummat yang lebih pelbagai. Payah kerana Jahiliyah semakin pekat terbancuh.

Maaflah kerana entri ini agak meleret dan kelihatan melalut. Saya dalam usaha mencari rentak untuk kembali aktif menulis. Ingin minda saya ligat memproses bahan dan memuntuhkannya di Dalam Jiwa Hamba. Entri ini pun hampir sejam untuk disiapkan. Mudah-mudahan Allah mudahkana saya dalam amal saya ini.
"O my Lord! Open for me my chest (grant me self-confidence, contentment, and boldness).And ease my task for me.And make loose the knot (the defect) from my tongue.That they understand my speech"
Taha; 25-28