Alhamdulillah, sudah punya masa untuk kemas kini weblog Dalam Jiwa Hamba.

Alhamdulillah, saya baru pulang dari Jaulah Matruh dan Siwa. Sarat dengan pengalaman dan 'ibrah yang saya kira punya impak yang besar pada diri saya.

Alhamdulillah juga, kerana keputusan peperiksaan sudah keluar akhirnya. Syukur, dengan Jayyid Jiddan ini. Tak kempunan Mumtaz kerana inilah yang selayaknya bagi saya. Padan dengan usaha.

Segalanya harus disambut dengan syukur. Kerana dengan syukur akan Allah gandakan kurniaannya.

"Jika kamu bersyukur, nescaya akan Aku gandakan kepada kamu nikmatku. Dan jika kamu kufur, ketahuilah bahawa azabKu amatlah pedih."
Ibrahim: 7
Pernah saya terbaca dalam Tarbiyah Dzatiyah, Solikhin Abu 'Izuddin mengisahkan bahawa seorang korporat memasuki motokar mewahnya lalu ditanya pemandunya, "Bagaimana cuaca hari ini?"

"Cuaca hari ini amat saya sukai", jawab pemandunya.

Kerana penasaran dengan jawapan tersebut, si korporat tersebut bertanya kembali,"Bagaimana kamu terlalu yakin dengan jawapan kamu?"

Sambil tersenyum pemandunya menjawab,"Begini tuan. Saya sudah belajar bahawa saya tak selalu dapat apa yang saya sukai. Oleh itu, saya menyukai apa yang saya dapati."



MENGAPA KUFUR?

Kadang-kadang kita terlalu memfokuskan apa yang kita impikan. Kerana itu, kecewa itu datang menerpa tatkala yang diimpi tidak tercapai.

Kadang-kadang kita terlalu sasau membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain. Kenapa dia begitu, kita begini? Gusar. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Ayuh kawan-kawan syukur dengan nikmatnya. Pasrah dengan aturannya. Kejayaan mungkin belum sampai lagi, mungkin kerana usahanya belum sampai pada limit yang Allah tetapkan. Mungkin jua Allah tangguhkan kemenangan kita. Siapa tahu. Allahu wa rasuluhul a'lam.

Namun, tiadalah yang saya syukuri lebih melainkan nikmat Iman dan Islam ini.

Terasa hina, kerana syukur ini belum sampai kemuncaknya. Jauh dari yang selayaknya.