Ummi bersyukur kehadrat Illahi dengan limpah dan kurniaNya yang sentiasa memberi kesihatan dan kekuatan untuk menunaikan ibadat puasa ini dan masih memberi peluang untuk bertaubat padaNya serta selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW. Insyaallah pada entri kali ini ummi nak ingatkan diri sendiri sebenarnya dan kita sama-sama bermuhasabah diri yang lemah ini berbanding dengan KekuasaanNya.

Selepas membaca buku Roh ini ummi telah serba sedikit ditambah ilmu tentang kematian ini, rasa nak kongsi bersama dengan pembaca semua iatiu sebenarnya kelakuan orang hidup ini dikesan oleh orang mati:
Orang yang mati itu mengetahui apa yang dilakukan oleh orang hidup dari kaum kerabatnya dan saudara-maranya kerana amalan orang yang hidup itu akan didedahkan kepada kaum kerabatnya yang sudah mati.. Semua amalan orang hidup akan didedahkan kepada si mati. Kiranya dilihatnya baik, dia akan bergembira dan berlapang dada. Dan kiranya dilhat buruk, dia akan akan berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Perbaikilah dia!
Orang yang telah meninggal tahu kelebihan beramal hatta solat 2 rakaat pun (meraka amat menghargai), tetapi kita yang hidup ini boleh beramal tetapi tidak mahu melakukannya dan rasa malas dan bertangguh-tangguh (merujuk kepada diri ummi sendiri sebenarnya)

Sumber Ibnul Qayyim – ROH)

“jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat.”





Anakanda Muhammad 'Ammar Zulkifli dalam kenangan

Sebagai motivasi kepada kita yang masih hidup dan dapat beramal marilah kita gerakkan langkah dan berlumba-lumba mengejar bonus yang disediakan oleh Allah pada malam-malam 10 terahkir ramadhan seperti firman Allah:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (5)”

Al-Qadr

Allah Maha Penyayang pada hambanya kerana kurniaan Ramadhan kepada kita ia sebagai satu bulan yang dirancang untuk memasukan manusia dalam syurganya. Marilah kita muhasabah balik disebalik Ramadhan ini, pada bulan ini manusia yang tidak pernah ke masjid dan kesurau akan ke sana, manusia yang tidak pernah baca al-quran akan baca al-quran, manusia yang tidak pernah bersedekah akan bersedekah dan yang jarang-jarang berzikir akan cuba melakukannya, inilah dikatakan keajaiban Ramadhan.

Allah juga telah mengurniakan pada hambaNya perkara-perkara berikut pada bulan Ramadhan:

1. Bulan keampunan Allah dan rahmatNya
2. Ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga.
3. Mengandakan amalan kita
4. Bulan untuk Allah jauhkan daripada bakaran api neraka
5. Peluang untuk kita semua masuk dalam syurga Allah
6. Ramadhan adalah taman-taman syurga yang akan menghubungkan kita dengan syurga Allah.
7. Ramadhan itu ibarat hidangan yang besar untuk dijamah, dimakan dan dihadam sepenuhnya untuk kita ke syurga Allah Taala.

Orang-orang yang beriman dia akan merasai kehadiran Ramadhan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman mereka ini mempunyai:

1. Hati yang keras dan mati dan tidak merasai ramadhan dan kehidupan mereka seperti hari-hari biasa iaitu orang ini boleh digulungkan orang yang benci kepada agama dan mereka selalu mengunjungi tempat-tempat maksiat.

2. Hati yang kotor atas dosa-dosa mereka terhadap Allah dan mereka tidak mahu bertaubat pada Allah dan dosa mereka bertambah dari hari ke hari.

3. Hati yang sakit (munafik)yang kuat sifat bencinya, bongkak dll.

4. Orang yang ditimpa penyakit lalai seperti orang yang menunaikan solat lima waktu sentiasa lambat iaitu bila waktu solat hampir habis dan mereka tidak merasai nikmat ramadhan ini.

Maka rugilah mereka-mereka yang tidak mahu mendapat nikmat ramadhan ini,Allah jadikan 1 bulan ini untuk meraih keampunan Allah dan untuk menyelamat manusia daripada bakaran api neraka Allah, kenapa kita tidak yakin janji Allah?, kenapa kita tidak merasai mungkin esok lusa kematian kita pula maka rugilah kita...... ummi pun sebelum ini tidak pernah terfikir bahawa Allah akan mengambil anakanda sendiri terlalu cepat, selalu dengar cerita-cerita daripada orang lain sahaja tapi jangan lupa bahawa Allah Maha Agong, Maha kuasa, Maha Mengetahui. Kematian pasti datang kepada setiap makhluk, kehadirannya tidak dapat ditolak, meski pun seorang raja yang memiliki kekuasaan, cerdik pandai, yang mulai atau lemah, kaya atau miskin..seluruhnya tak bisa lari dari janji dan ketetapan Illahi yang bernama kematian ini.

Firman Allah:
........“ Katakanlah (hai Muhammad). ‘Tolaklah kematian itu dari dirimu, jika kamu orang-orang yang benar’.”

(Ali Imran:168)

Marilah kita lihat kembali kelebihan ramadhan ini supaya dapat menjadi bekalan kepada kita, dengan Ramadhan yang masih berbaki sebanyak 10 hari lagi. Marilah kita tetapkan sekurang-kurangnya di ahkir ramadhan ini diri kita telah tertingkat dengan perkara-perkara berikut:

1. Didik hati kita menjadi bersih dan semakin khusyuk
2. Mencari pancaindera mendidik iaitu tangan yang suka bersedekah, telinga mendengar al-quran
3. Tarbiyah pemikiran (akal) kita akan keBesaran dan keAgongan Allah
4. Didik diri jiwa supaya menjadi seorang penyabar
5. Didik supaya kita berukhuwah dan penyatu umat dan ini akan melahirkan masyarakat yang sihat dan peka keEsaan Allah

Dari Ibn Mas’ud ra. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku memohon petunjuk, taqwa, pelihara (diri), dan kekayaan.”

Doa agar Allah memelihara hati kita dan terus tetap bersama ketaatan kepada Allah. Seperti dalam hadith berikut:
Rasullulah saw bersabda yang bermaksud:

“ Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada mentaati Engkau.”

Biarlah di ahkir Ramadhan kita akan dapat kejayaan seperti firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

Surah al—baqarah :183


Wallahu’alam