Arwah 'Ammar dan adiknya Ikhwan

Alhamdullilah setinggi kesyukuran diletakkan hanya pada Allah Taala, Tuhan pencipta langit dan bumi, manusia dan makhluk semuanya. Selawat dan salam keatas junjungan rasullulah saw yang telah membawa Islam keseluruh alam. Sempena Maulidul Rasul ini, kita mestilah dengan penuh keikhlasan merasai akan kasih sayang dan cinta pada Rasullulah saw seperti mana baginda amat mengasihi umatnya.

Firman Allah dalam surah at-Taubah:128 yang bermaksud:

“ Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang mukmin.”

Marilah sama-sama kita fikirkan, semasa di Padang Mashyar nanti kita mengaku umat Muhammad, tetapi kita tidak diterima sebagai umatnya, kemana kita hendak pergi.... sedihnya tiada syafaat , kita mencari-cari dan berfikir kemana diri nak dibawa? Tiada berguna lagi penyesalan disana, wahai anak-anak marilah kita terus bermuhasabah, muhasabah sebelum terlambat........

Insyaallah umi nak mengajak diri ini, anak-anak umi dan anak-anak diluar sana marilah kita mengorak langkah kerja kita dengan rasa keikhlasan yang sebenarnya hanya pada Allah SWT tanpa dicampuri tujuan dunia dan dalam rangka untuk mendapat keredhaanNya. Ikhlas yang terbit dari hati adalah dari tauhid yang sempurna iaitu hanya mengesakan Allah dalam setiap ibadat yang dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud dalam surah Al-An’am:162-163

“Katakanlah olehmu: sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu baginya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)..”

Manusia dan dunia

Allah SWT menjadikan kita dgn berbagai tabiat, dgn tabiat ini mendorong kita mencari keperluan jasmani dan rohaninya. Dgn dorongan ini Allah menjadikan padanya sifat2 meluap dng loba dan melanggar batas2 yg sepatutnya, sehingga menyebabkan mata hati dan akal fikiran manusia menjadi kabur dalam mendalami nilai kehidupan dunia ini.
Wahai anak-anak marilah kita bertadabur dengan ayat-ayat ini untuk membendung keterlaluan dorongan tabiat semula jadi ini, maka Allah SWT telah mengingatkan manusia.

Firman Allah yang bermaksud:

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada Hari Kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”

Surah Ali ‘Imran: 185

“Siapa yg mengkehendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami berikan (balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna, dan mereka di dunia tidak dirugikan.”

Surah Hud: 15

“Siapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya (di dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian kami sediakan baginya (di akhirat) neraka jahanam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan siapa yang menghendaki hidupan akhirat dan berusaha ke arah tu dengan sungguh-sungguh, sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik. Kepada masing-masing (golongan), baik (golongan) ini (yang menginginkan dunia) maupun (golongan) itu (yang menginginkan akhirat), Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi .”

Surah Al-Isra’:18 – 20

Antara pengajaran ayat di atas yang dapat di ambil adalah seperti berikut:
1. Nikmat-nikmat kesenangan dunia adalah sementara sahaja dan hanya memperdayakan orang yang tidak bertakwa sahaja.
2. Maka Allah telah menjanjikan bahawa orang-orang yang mencari nikmat dunia sahaja maka Allah akan beri kejayaan untuk dunianya mengikut takdirnya yang telah ditetapkan untuknya serta dijanjikannya mendapat azab Neraka di akhirat kelak.
3. Segala usaha untuk menghasil kehidupan ahkirat , apabila telah cukup syaratnya adalah usaha yg dihargai akan diberi oleh Allah kepada kita atas usaha itu iaitu sebaik-baik balasan di dunia dan akhirat.
4. Sesuatu pemberian yang telah di qadha taqdirkan Allah untuk sesuatu usaha yg dilakukan oleh kita, tidak sesiapa pun yang berkuasa menahan sampainya pemberian itu kepada org yg berusaha mendapatkannya, sama ada orang mukmin atau fasik.
5. Kita yang bergelar manusia wajiblah bertakwa dan memerhatikan apa yang telah kita sediakan untuk kehidupan hari esok iaitu hari ahkirat.

Wahai anak-anak ummi yang dikasihi semua marilah kita hayati hadis ini, sabda Rasullulah saw yang mengingatkan umatnya mengenai kehidupan dunia dengan hadis seperti berikut:

Dari Abu Said al-Khudri ra, bahawa Nabi saw bersabda: ” Sesungguhnya dunia ini manis dan indah, dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu wakil menguruskan apa yang ada padanya, maka dengan itu ia sentiasa memerhatikan bagaimana cara kamu menjalankan urusan itu, oleh itu hendaklah kamu menjaga diri dari keburukan yang disebabkan oleh dunia, dan khasnya oleh perempuan, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa kaum Bani Israel adalah berpunca dari orang-orang perempuan.”

Hadis Riwayat Muslim

Marilah anak-anak semua kita bermuhasabah dengan dunia ini kerana ia mempunyai daya penarik yang sangat kuat, kerana Allah telah menetapkan begini untuk menguji manusia siapakah yang lebih mengusai hawa nafsunya, dan dapat menggunakan dunia ini menurut keredhaan Allah Taala setelah ia diberi kuasa untuk menguruskannya seperti firman Allah dalam surah Al-Kahfi:7 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapakah diantaranya yang terbaik perbuatannya.”

Rasullulah saw menyuruh umatnya memelihara dan mengawal diri daripada diruntum oleh kemanisan dan keindahan yang menjadi daya penarik dunia dengan melakukan perkara-perkara berikut:
1. Sentiasa bertakwa kepada Allah, iaitu mencegah diri melakukan segala larangan Allah dan menyempurnakan suruhan Allah taala.
Mengingati kerendahan mutu dan segala kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia dan merasai kesingkatan masanya berbanding dengan nikmat akhirat yang kekal abadi.

2. Daya penarik perempuan kerana ini merupakan daya penarik yang sangat kuat sehingga lelaki yg tegas pendiriannya dan bijak pandai sanggup memusuhi akal fikirannya, menentang ilmu pengetahuannya, meruntuh rumahtangganya , dan melanggar undang2 negara dan hukum agama.

Rasullullah saw bersabda yang bermaksud:

Dari Usamah bin Zaid ra, bahawa Nabi saw bersabda: “Tidak ada sesuatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermahajarela- selepas wafatku terhadap kaum lelaki, selain daripada fitnah yang berpunca dari kaum perempuan.”

Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, Tirmizi, Nasa’i dan Ibn Majah.

Peringatan ini ummi tujukan khas untuk anak ummi, Ikhwan yang telah menjangkau usia ke 20 tahun pada 1 Mac ini, “mudah-mudahan angka 2 ini akan menambahkan iman dan takwa”. Usia remaja adalah usia yang paling mencabar, mudah2an peringatan ini dapat menjadi panduan dalam rangka kita untuk berubudiah kepada Allah Taala. Janganlah mempersiakan usia remaja kerana umur yang Allah beri ini adalah satu rahmat, kehilangan abang telah menjadi satu pengajaran yang mendalam dalam keluarga kita.


Hidup akan lebih bermakna jika ia ada ikatan ukhuwah dan ikatan itu dikenang selama-lamanya walaupun salah seorang telah tiada di dunia fana ini

Marilah anak-anak dan pembaca setia blog ini kita menjadi seperti ‘Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat”, agar hidup kita selamat dunia dan ahkirat. Kehidupan ini hanya sekejap sahaja, janganlah kita leka, lalai dan marilah kita sentiasa bertaubat pada Allah agar diampunkan dosa-dosa yang dilakukan setiap saat dalam hidup ini kerana jika nafas kita diambil, habislah kehidupan ini dan kehidupan yang kekal abadi akan menanti, DIMANAKAH KITA?

Ummi doakan anak-anak diluar sana akan merasai kemanisan iman ini dan sentiasa dirahmati Allah walaupun di mana saja berada dan selamat berjaya dunia dan akhirat serta maju jaya dalam bidang yang diceburi.



Ya Allah Kau terimalah doa kami untuk anakanda yg tersayang.

“ Ya Allah! Ampunilah ia, kasihanilah ia, sejahterakanlah ia, maafkanlah ia, muliakanlah kedudukannya, luaskanlah tempat masuknya, mandikanlah ia dengan air, air batu dan air sejuk. Sucikanlah ia daripada segala kesalahan sebagaimana disucikan pakaian yang putih daripada kotoran. Gantikanlah ia negeri yang lebih baik daripada negerinya, ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Dan masukkanlah ia ke dalam syurga dan palingkan ia daripada seksaan kubur dan kesusahannya dan daripada seksa api neraka.”

Ameen.

Wallahu’alam