Assalammualaikum anak-anak semua, mudah-mudahan berada limpahan kurnia dan rahmat Nya serta diberi kekuatan dalam menjalani kehidupan ini dan sentiasa berada dalam kemanisan iman dan islam hendaknya.



Ummi dapat merasai sekarang anak-anak semua sibuk dengan dugaan mengadapi exam untuk mencapai cita-cita kita di dunia ini. Walaupun dalam kesibukan ini janganlah menjadi alasan untuk kita tidak mendalami ilmu dan proses mendekati diri kepada Pencipta. Proses ini perlu kerana sebenarnya proses inilah yang dapat membantu memberi kekuatan jiwa kita dalam menghadapi dugaan dunia. Setiap seorang daripada kita dalam masa masih sihat dan bertenaga ini, dituntut mengambil berat mengisi jiwanya dengan perasaan gerun gementar terhadap kemurkaan Allah.

Marilah anak-anak semua kita janganlah mempersiakan waktu yang Allah telah berikan kepada kita agar tidak ada penyesalan kemudian hari. Salah satu tanda keperibadian muslim yang kita cari adalah kita berusaha untuk memanfaatkan waktu dan ini adalah tingkat tertinggi dari peningkatan diri untuk menjadi insan yang soleh.

Ibnu Mas’ud berkata: “Aku tidak pernah menyesal kecuali atas hari-hari di mana mataharinya tenggelam dan umurku berkurang namun amalku tidak bertambah.”

Ibnu Qayyim berkata: “Waktu manusia sebenarnya adalah umurnya. Ia adalah harta kehidupannya yang abadi dalam nikmat yang kekal dan harta kehidupannya yang sempit dalam azab yang pedih namun ia berjalan perlahan seperti awan. Maka barang siapa yang waktunya adalah untuk Allah dan dengan Allah, maka itulah kehidupan dan umur yang sebenarnya. Selain itu tidak dihitung sebagai kehidupannya. Jika ia hidup seperti haiwan, jika ia menghabiskan waktunya dalam kelalaian dan kelupaan serta harapan yang batil, maka kematiannya lebih baik daripada hidupnya.”

Umar ibn Abdul Aziz ra berkata: “ Sesungguhnya aku benar-benar benci untuk melihat salah seorang dari kalian dalam keadaan kosong (tidak memiliki pekerjaan), baik dalam pekerjaan duniawi mahupun pekerjaan ukhrawi.”

Marilah kita manfaatkan masa yang telah Allah berikan kepada kita, pada waktu yang terhad ini untuk kita beramal dan terus beramal untuk kebahagian dunia dan akhirat…..

Ummi ingin membawa ayat dari surah Ali ‘Imran ayat 185 yang bermaksud seperti di bawah agar menjadi peringatan kepada kita bahawa keseimbangan dunia dan akhirat perlulah, agar ada bekalan yg hendak di bawa balik kepada Allah nanti.

“Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan hanya pada Hari Kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”

Teringat kepada arwah Ammar dalam 2 – 3 bulan sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah meluahkan perasaan dgn katanya “ummi, along tak larat dah nak buat medik, kena baca buku 7 – 8 buah setebal jari kaki, penat la”. Masyallah beberapa hari ummi termenung teringat kata-katanya sebab bukan dia yang nak buat medic tetapi ummi yg mencadangkan, dia tanpa membantah terus meniyakan sehinggakan semua laporan attachment selama 3 hari di hospital ummi yang sediakan. Ummi rasa anak-anak pun mungkin ada perasaan seperti itu, tapi semua itu hanya utk melepaskan “tension” saja kut. Teruslah berusaha tanpa jemu, ummi doakan anak-anak akan mendapat kejayaan cemerlang dunia dan ahkirat.

InsyaAllah pada kali ini ummi nak kongsi pembacaan ummi bagaimana keadaan seseorang dalam kubur. Marilah kita sama-sama bermuhasabah agar menjadi motivasi dalam diri bahawa kehidupan perlu ada keseimbangan dunia dan akhirat supaya kita selamat dari azab Allah.

Firman Allah dalam surah ‘Abasa yang bermaksud:

“Kemudian jalan (keluar dari rahim ibu) Dia memudahkannya . Kemudian Dia mematikannya lalu Dia menguburnya”

(80: 20 dan 21)

Kubur merupakan tempat perhentian pertama (Alam Barzakh) di sinilah tempat kita dapat melihat apa yang dijanjikan oleh Allah yg akan kita terima balasan mengikut amal yang kita lakukan. Hadis berikut adalah tentang apa yg dijanjikan oleh Allah akan menjadi kenyataan kepada kita kelak.

1. Hadis riwayat Tarmizi dan Ibn Majah yang bermaksud:

Dari ‘Uthman bin ‘Affan, ra., bahawa Rasullulah saw bersabda: “Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut , maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi”.

2. Hadis yang berikut riwayat Tirmizi dan Baihaqi

Dari Abu Sai`d, r.a., katanya; (pada suatu hari) Rasullah s.a.w, masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w, pun menegur mereka dengan bersabda: “Ketahuilah! sesunguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnahkan dan menghilangkan perasaan kesenangan iaitu maut, kerana sesunguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya ”Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dgn tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat”. Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya:“Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepadaku - sekasih-kasih orang yang berjalan di atasku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu”. Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadaNya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu).

Dan sebaliknya apabila orang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: “Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau – kepada ku – adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu” Nabi saw, bersabda lagi: “ Kubur itupun mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya,” Kata rawi hadis ini, Nabi saw, (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu baginda saw), memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda bersabda lagi: “Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan melukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)”. Kata rawi hadis ini: Nabi saw, bersabda lagi: “Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung dari gaung-gaung Neraka”.


(Tarmizi dan Baihaqi)


3. Dari Abu Hurairah, ra, katanya: Rasullulah saw, bersabda: “Apabila si mati dikuburkan…., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut nama “Munkar” dan satu lagi disebut dengan nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya: “Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad saw)?” (dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: “Apa yang engkau pernah sembah?” Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: “Aku menyembah Allah” Kemudian ia ditanya lagi: “Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad saw)?”(Dan ada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: “Siapa Tuhanmu?” Ia menjawab: “Tuhanku ialah Allah”. Mereka bertanya lagi: “Apa Agama mu?” Ia menjawab: “Agamaku ialah Islam!”.Mereka bertanya lagi: “Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu?”)Maka kalau si mati orang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: “Orang itu (Muhammad saw) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta menyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu hamba Allah dan RasulNya!” Mereka berkata kepadanya: “Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian”; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda saw, bersabda:”Lalu diseru penyeru dari langit katanya “Sungguh benar hambaKu, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukanlah baginya sebuah pintu ke Syurga.” Rasullulah saw, bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya): kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya, kemudian dikatakan kepadanya: “Tidurlah!” Lalu ia berkata: “Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?” Dua Malaikat itu berkata kepadanya: “Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya. Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.

Jika si mati itu seorang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: “Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut kata sama, aku tidak tahu benar atau tidak.” Lalu dua Malaikat itu berkata: “Memang kami tahu engkau berkata demikian”. (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: “Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka.” Rasullulah saw, bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalubumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggalah ia dalam azab
itu terus menerus kesuatu masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya itu.”


(Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Abu Daud)

Insyallah ini sebagai satu peringatan kepada diri ummi yang telah senja ini dan juga anak-anak semua agar kita jangan terpedaya dengan dunia dalam rangka mengejar tingkat tertinggi di dunia ini dan jangan lupa juga tingkat tertinggi di alam sana yang kekal abadi.



Ya Allah kau ampuni dosa-dosa kami dan anakku Muhammad ‘Ammar dan kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal dan jadikan kubur-kubur mereka seluas-luas taman syurga Mu, Ya Allah.

Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para Sahabat Baginda semuanya.

Ameen, ameen, ameen…ya Rabbul'alamin.

Wallahu'alam.