Alhamdullilah dengan izinNya dapat kita bertemu lagi, Ramadhan telah berlalu, bagaimana iman kita? Adakah ia turut berlalu bersama-sama Ramadhan, marilah kita terus muhasabah sehingga Allah panggil pulang kepada Nya.


gambar diambil dari http://aljazary.blogspot.com

Sekali lagi berita sedih datang dalam hidup ini dan membuat ummi rasa tempias pada diri ini dan betapa kerdilnya kita sebagai hambaNya, bila-bila masa saja boleh dipanggil untuk kembali kepadaNya. Dato' Kaya Bakti Dahlan @ Dahaman Mohd Zain, pengasas dan mudir Maahad At-Tarbiyah Islamiyah (MATRI) telah kembali ke rahmatullah hari ini. Almarhum yang lebih dikenali sebagai Ustaz Dahlan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9:55 pagi di rumah beliau di Kg Kerisik sejurus dibawa pulang dari Hospital Tuanku Fauziah selepas berada di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) dalam keadaan tidak sedarkan diri selama 41 hari. Almarhum merupakan mudir arwah anakanda ‘Ammar dan merupakan insan yang menjadi Qudwah dan murabbi yang disayangi oleh pelajar Matri dan insan-insan yang berada disekelilingnya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Mahasuci Allah yang mengusai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan dia Mahaperkasa, Maha pengampun.”
(Surah Al-Mulk 1 -3)


Pusara Almarhum Ustaz Dahlan


Pusara anakanda 'Ammar

Bila saja menerima berita pemergiannya, Ummi terus mengingati pada 11 Jun 2009, lebihkurang jam 6:45 pg kami menerima satu panggilan telefon yang bila diangkat rupa-rupanya seorang insan yang hebat iaitu Ustaz Dahlan telah menghubungi kami. Beliau menasihati kami supaya bersabar kerana ini adalah takdir Allah, kita manusia nak kena redha apa yang Allah telah tentukan. Beliau berkata lagi, “memang kita menaruh harapan padanya, tapi Allah telah takdirkan begitu.” Sebak hati ini mendapat nasihat daripada seorang murabbi yang memang hebat qudwahnya dan tutur kata nasihatnya.
Sempat juga kami menziarahi ustaz dirumahnya pada bulan Mei yang lalu, walaupun beliau sakit tetapi masih mampu memberi nasihat kepada anak didiknya, Subhanallah inilah insan yang imannya cukup tinggi, qudwahnya terserlah, fikrahnya jelas dan macam-macam lagi ....

Mereka yang telah pergi tetap pergi, bagaimana kita yang masih hidup?
Berapa banyak bekalan yang kita nak bawa balik kepada Allah nanti?
Adakah kita masih ada masa untuk terus memburu redha Allah? Muhasabah terus muhasabah.

Kepada anak-anak didik Matri dan anak-anak didik disekilingnya marilah kita teruskan perjuangan dengan segala ilmu yang telah dikutip di sana. Jangan kita biarkan ianya tenggelam dalam arus pembangunan yang sedang kita kejar sekarang, biarlah kita tenggelam dalam ilmu, ilmu mengenal Pencipta dan mendekatkan diri padanya serta mendapat Redhanya supaya menjadi insan yang Rabbani.

Biarlah kerja-kerja yang kita lakukan bersungguh tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan mana-mana pihak atau diberi insentif. Bagi mereka yang yakin dengan janji Allah SWT , semua itu bukan pendorong sebenar. Biarlah kerja untuk islam yang kita lakukan tanpa disuruh-suruh dan was-was.

Keyakinan dengan janji Allah SWT, mardhotillah itulah dorongan yang sebenar. Ini tidak bermakna kita sama sekali tidak memberi hak kepada naluri kita; perut yang lapar perlu dikenyangkan dengan makanan.

Apabila takut kepada Allah SWT lebih daripada yang lain, seseorang itu dapat berkhidmat dengan lebih ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Naluri ingin memiliki kita jadikan wasilah agar menjadi ibadah. Kita hendak akhiratkan yang dunia dan akhiratkan yang akhirat. Harta dijadikan ibadah, zakat dijadikan sunnah, sedekah jariah dilazimi kerana apabila matinya anak Adam putuslah amalannya kecuali 3 perkara:
• Ilmu yang bermanfaat
• Sedekah jariah
• Doa anak yang soleh

Sabda Rasulullah saw : Harta tidak akan susut dengan mengeluarkan sedekah. Apa yang kamu makan akan habis, baju yang kamu pakai akan lusuh tetapi harta yang kamu beri sedekah akan tinggal.

Tetapi semua ini sukar untuk dilaksanakan jika tidak dilatih. Hati perlu sentiasa dipujuk, diasuh dan dididik.

Hati mana tidak sedih dan pilu bila orang yang kita sayang, pergi meninggalkan kita selama-lamanya dan tidak dapat bertemu dan berbicara dengannya, tetapi ingatlah tarbiyahlah hati kita dengan sabar dan redha dengan yang hilang. InsyaAllah jika kita mampu harungi semua ini suatu hari nanti kita akan dapat jawapanya dan betapa sayangnya Allah pada hambanya, cuma kita manusia tidak tahu rahsianya disebalik suatu kejadian.



Ummi rasa bersyukur pada Allah, terutama pada hari raya ini dan musim-musim anak-anak bercuti dan pulang bertemu keluarga, terdetik rasa rindu pada arwah ‘Ammar. Subhanallah, Allah Maha Pengasih pada hambanya, berdoalah padanya dan luahkan perasaan padanya, dengan izinnya juga ummi bermimpi bertemu dengan arwah anakanda ‘Ammar berbual dengannya dan dapat menatap wajahnya yang tersenyum dalam masa yang agak lama, alhamdullilah terubat juga rindu padanya.

Wahai Tuhan kami! Ampuni dosa kami dan tutuplah kesalahan kami serta wafatkanlah kami bersama-sama orang yang baik-baik. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami akan apa-apa yang telah Engkau janjikan dengan perantaraan rasul-rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat kelak.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau dan sediakanlah jalan yang lurus bagi kami untuk menjalankan urusan pekerjaan kami. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta jauhkanlah kami dari azab neraka.
Ya Allah! Kau ampunilah dosa-dosa kami dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.


Ameen

Wallahu’alam.