Ramadhan telah menghampiri penghujungnya, marilah kita terus muhasabah Ramadhan kita selama 21 hari yang berlalu, adakah ia masih ditahap lama. Jangan lah kita berputus asa jika ianya masih belum memuaskan, marilah kita kejar 8 hari yang masih berbaki ini dengan apa yang telah dijanjikan Allah. Mudah-mudahan dengan tarbiyah Ramadhan ini mampu mendidik nafsu kita menjadi sebaik-baik jiwa yang di Rahmati Allah hendaknya, InsyaAllah.

Apa khabar nafsu kita, adakah kita tewas dengannya atau kita mampu melawannya? Nafsu juga dikenali sebagai jiwa penghalang antara hati untuk sampai kepada Allah jika kita mampu mengawalnya maka berjayalah kita.
Marilah diri ini dan pembaca blog ini semua agar kita mendidik dan mujahadah terhadap nafsu kita agar ia menjurus kearah kebaikan dan membawa hati-hati kembali kepada keredhaan Allah dan bila pulang kealam akhirat nanti kita ada bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah, agar diri ini terselamat dengan azab Allah.

Oleh sebab itu manusia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu mereka-mereka terdiri daripada:
1. Hawa nafsu menguasai manusia, maka tewas dan rugilah mereka itu.
2. Manusia yang dapat menguasai hawa nafsunya, maka hawa nafsunya akan patuh dan taat kepada arahan manusia itu sendiri.
Wahai anak-anak di mana diri kita sekarang ini, adakah Ramadhan ini mampu menewaskan nafsu yang pertama ini?

Berikut adalah bayangan komunikasi syaitan (Abg Tan) dan nafsu ( Cik Su)
Abg Tan: Cik Su selama 1 bulan ni kamu jagalah manusia ni.
Cik Su: Janganlah Abg Tan risau dah 11 bulan saya dididik, 1 bulan ini bolehlah Abg Tan berehat.
Abg Tan: Saya risaulah takut kamu kalah.
Cik Su: Tak apalah tahulah saya menjaga depa ni.

Anak-anak semua marilah kita benteras dan mengalahkan syaitan ini dengan melawan hawa nafsu kita sebab kita tahu nafsu ini selalu mengajak kita kepada kezaliman dan mengutamakan kehidupan di dunia tapi Allah swt menyeru hambanya takut kepadaNya dan berusaha melawan dan menyekat nafsu dari keinginannya.

Kata al’arffin (orang bijak pandai dalam ilmu tasawuf) yang berbunyi seperti berikut:

“Sesiapa yang berjaya menguasai atau membawa jiwanya maka dia berjaya. Sesiapa yang jiwanya mengatasi dirinya maka dia gagal.”

Firman Allah dalam surah An Naziat ayat 37 – 40 yang bermaksud:

“Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata- mata. Maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu.”


Mudah-mudahan antaran 3 jenis nafsu ini, Allah akan bimbing kita kepada nafsu Mutmai'nah, InsyaAllah.

Allah swt sifatkan nafsu ini dalam Al-quran dengan 3 sifat iaitu:

1. Sifat Mutma’innah iaitu jiwa yang tenang, seronok dan puas dengan Allah yang sentiasa mencari keredhaan Allah, rindu hendak berjumpa dengan Allah dan berasa seronok dekat dengan Allah.

Jiwa ini akan diseru bila hendak mati seperti dalam surah Al Fajr ayat 27 – 28 yang bermaksud:

“Wahai jiwa yang Mutma’inah. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha-meredhai.”
Al Mutmai’inah iaitu nafsu yang dimiliki oleh Mukmin yang diri mereka:
• Merasai puas atau tenang dengan apa yang dijanjikan oleh Allah
• Mereka merasai puas dengan makrifah nama-nama Allah dan sifat-sifatnya
• Mereka yakin dengan apa yang diceritakan oleh Allah tentang perkara-perkara selepas mati, alam Barzakh dan alam kiamat
• Mereka berpuas hati dengan Qadha dan Qadar Allah swt
• Patuh dengan semua ketetapan Allah
• Keyakinan kita dengan apa yang disampaikan oleh Allah tentang Syurga, Neraka, nikmat, azab dan lain-lain dan lahir dalam kehidupan kita seharian.

Kesimpulannya nafsu Mutma’inah ini adalah satu perpindahan dari syak sampai kepada keyakinan, dari jahil kepada ilmu (faham), dari lalai kepada ingat Allah, dari khianat kepada taubat, dari riak kepada ikhlas, dari bohong kepada benar, dari lemah (berfikir, bekerja, merancang) kepada cergas, dari ujub kepada tidak bangga diri dan dari sesat kepada tawadhu’.

Mudah- mudahan kita semua berusaha memperolehi nafsu ini, agar hidup kita di dunia dan akhirat berjaya

2. Nafsu Lawwamah iaitu jiwa ini sentiasa merasa kesal terhadap dirinya kerana kecuaian dalam mentaati Allah walaupun ianya telah berusaha. Orang begini dia tidak bertindak dalam kerja-kerja yang tidak diredhai oleh Allah dan tidak ada peningkatan dalam dirinya.
Jiwa-jiwa begini akan bersih dari kemurkaan Allah, tetapi sekiranya ianya redha dengan amalannya tanpa rasa kesal maka jiwa ini akan dicaci oleh Allah.

3. Nafsu Al Ammarah Bissuu’ iaitu jiwa yang dikeji, dicaci dan dihina kerana ianya mengajak melakukan kejahatan dan inilah tabiat jiwanya, kejahatannya tidak terlepas melainkan taufiq Allah swt.

Firman Allah da lam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:

“Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha pengampun lagi Maha Penyayang.”

Marilah kita terus muhasabah:
Dimanakah diri kita ini?
Adakah diri kita dapat mengawal nafsu?
Adakah Madrasah Ramadhan mampu mendidik kita menjadi insan bertakwa?
Ummi doakan kita semua akan berusaha mencapai jiwa kita ke peringkat Mutma’inah kerana kawannya Malaikat, manakala jiwa Ammarah ini kawannya adalah syaitan. Nafsu Ammarah ini akan menyekat jiwa Mutmai’nah, mudah-mudahan Allah akan tunjukkan kita kepada jalan yang lurus, insyaAllah.

Kata Ibnu Umar ra:

“Kalaulah saya tahu bahawa Allah menerima daripada saya satu sujud saja, maka tidak ada yang paling ghaib yang paling saya suka daripada mati.”

Ya Allah! Perbaikilah agama kami yang ianya menjadi ‘pemeliharaan segala urusan kami’, perbaikilah hal keduniaan kami yang ianya menjadi ‘tempat urusan hidup kami’ perbaikilah hal akhirat kami yang ianya menjadi ‘tempat kembali kami’, perbaikilah hubungan dan pergaulan kami serta perjinakkanlah hati di antara kami, jadikanlah hidup ini untuk kami menambah segala kebajikan serta jadikanlah mati itu sebagai tempat kelepasan (kerehatan) kami dari segala macam kesusahan (kejahatan).

Ya Allah! Kau ampunilah dosa-dosa kami dan dosa anakanda kami dan kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.


Ameen

Wallahu’alam.