Alhamdullilah, syukur kepada Allah yang telah memberi kita nikmat dalam kehidupan ini dan di beriNya hidayah untuk sentiasa mengingati Nya. Harapan ummi agar anak-anak dan semua pembaca blog ini diberi rezeki yang murah agar dapat menunaikan ibadah korban ini dan pengorbanan ini mampu mendidik diri kita agar sentiasa mensyukuri nikmat dan sanggup berkorban demi mencapai cinta Allah swt dan menjadi hamba yang bertakwa, dan ia juga merupakan satu wasilah mendekatkan diri kepada Allah Taala.

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.“
Surah Al-Hajj: 37











Sekali lagi kita sebagai umat Islam Allah telah memberi hari kegembiraan menyambutnya dan bergembira serta merasai penghambaan kepadaNya serta mencari redhaNya. Hari umat Islam yang bertuah dapat menyambut seruan Allah untuk ke Tanah Suci dan menunaikan ibadat haji yang merupakan rukun Islam yang kelima bagi mereka yang mampu menunaikanya, maka telah lengkaplah rukun Islamnya. Tetapi rahmat Allah meliputi seluruh umatNya bukan sahaja yang berada di Tanah Suci malahan di mana-mana juga berpeluang menyambutnya dengan ibadah kurban ini.

Firman Allah dalan surah Al-Hajj: 34

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat; (34)

Sebagai umat Islam yang mampu kita di sunatkan untuk berkorban bagi memenuhi tuntutan Allah Taala. Bila disingkap kembali sejarah pengorbanan ini ia merupakan telah menjadi sunah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Bagaimana Nabi Ibrahim baginda melihat dalam mimpinya bahawa baginda menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s, dan apabila diberitahu kepada anaknya, beliau akur akan perintah ini kerana ianya datang daripada Allah swt.

As-Safaat: 102 - 103

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (102) Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). (103)”

Kisah ini mengambarkan kepada kita akan kebenaran Islam dan keyakinan mereka terhadap janji Allah Taala. Inilah sebenarnya realiti Islam yang kita kena tanamkan dalam diri iaitu ketenangan, keredhaan dan satu perlaksanaan perintah Allah yang patut dicontohi oleh kita semua.

Pujian daripada Allah terhadap Nabi Ibrahim seperti FirmanNya yang bermaksud dalam surah As-Safaat: 104 -105

“Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! (104) Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (105)”

Sebagai satu muhasabah pada diri, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk meninggikan agama Allah, mendekatkan diri kepada Allah, pergorbanan dalam berukhuwah, pergorbanan kita dalam membantu umat Islam yang ditindas oleh musuh, infak kita sejauh mana yang kita telah keluarkan?



Mudah-mudahan Allah Taala memberi taufik dan hidayah kepada kita semua untuk berkorban demi agamaNya sehingga akhir hayat.

Ameen
Wallahu’alam