Saban tahun umat Islam menyambut Maal Hijrah, tapi adakah kita mengambil pengajaranya dan diaplikasi falsafah hijrah ini sabagai satu pendekatan diri terhadap Maha Pencipta.

Hijrah merupakan membawa perubahan yang menyeluruh dalam hidup kita dalam berbagai aspek kehidupan. Ummi menyeru pada diri ini marilah kita berhijrah membawa hati kita selalu mendekati kepada Pencipta yang memberi kerahmatan dalam hidup kita dan sentiasa menanugerahkan kepada kita nikmat dan kudrat. Tapi adakah nikmat dan kudrat ini kita gunakan untuk rangka beribadat kepada Allah?

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Tiada Hijrah (ke Madinah) selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang kekal wujud hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu diseru untuk berjihad hendaklah kamu menyahutnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Allah mengingatkan kepada kita: Wahai orang-orang beriman bertakwalah pada Allah dengan sebenar-benarnya takwa dan janganlah kamu mati kecuali sebagai seorang muslim.

Hakikat inilah kita perlulah berhijrah jiwa dan raga kita dari insan yang lemah kepada insan yang sentiasa dekat dengan Allah. Marilah anak-anak semua kita berhijrah kerana kehidupan kita di dunia ini tidak panjang, mungkin bila-bila masa kita akan di jemput kembali ke alam yang seterusnya selepas alam dunia ini iaitu alam barzakh.

Kita pernahkah terfikir bahawasanya kita ini telah berhijrah memasuki alam yang ke 3 dan hakikatnya kehidupan kita perlu melalui 5 alam ini iaitu alam roh ke alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang merupakan alam terakhir kita.



InsyaAllah ummi nak kita lihat kembali alam barzakh ini yang merupakan alam yang pasti kita tempuhi cuma masanya tidak siapa ketahui kerana sebaik-baik peringatan adalah mengingati kematian.

Alam barzakh.

Apakah maksudnya? Iaitu alam yg kita perlu lalui sebelum alam akhirat dan maknanya ialah penghadang dan sekatan antara 2 benda.

Firman Allah dalam surah al-Mukminun :99 – 100 yang bermaksud:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). (99) Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (100)

Apa yang kita tunggu lagi, semua terbentang di depan mata dan kita dengari dlm ayat2 Allah? Adakah kita tidak yakin dengan janji Allah? Marilah kita berubah agar bila kita mati nanti tiada penyesalan....

Apakah yang ditempuhi oleh si mati dalam kuburnya?



Sabda Nabi saw:

Balasan untuk orang-orang beriman

Sesungguhnya apabila si mati diletakkan di dalam kuburnya, dia mendengar bunyi tapak kaki orang ramai ketika mereka meninggalkan tanah perkuburan. Jika dia seorang yang beriman, solat akan berada di sisi kepalanya, puasa sebelah kanannya, zakat sebelah kirinya dan amal soleh yang lain seperti sedekah, doa, perkara maaruf dan berbuat baik dengan manusia berada di sisi kedua kakinya. Kemudian dia didatangi malaikat dari arah kepalanya. Lalu solat berkata “Tiada pintu dari arah ini,” kemudian didatangi dari sebelah kanannya, lalu puasa berkata:”Tiada pintu masuk di sini." Kemudian dia didatangi dari arah kedua kakinya, lalu amal soleh yang lain seperti sedekah, perkara makruf dan berbuat baik pada manusia berkata: “Tiada pintu masuk dari arah ini”.
Lalu dikatakan padanya: Adakah kamu melihat orang yang berada di hadapan kamu ini?. Apa pendapat kamu mengenainya dan apakah yang kamu saksikan ke atasnya?. Dia berkata: Biarkan aku, aku ingin solat. Lalu mereka menjawab: Sesungguhnya kamu akan melakukannya. Jawablah soalan kami, apakah pandangan kamu mengenai lelaki yang berada di hadapan kamu, apakah pendapat kamu? Apakah penyaksian kamu ke atasnya? Dia menjawab: Rasulullah s.a.w dan dia membawa kebenaran daripada Allah. Lalu dikatakan padanya: Di atas perkara tersebut kamu hidup. Mati dan dibangkitkan, InsyaAllah.
Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu syurga. Lalu dikata kepadanya: Ini adalah tempat tinggalmu dan tempat yang Allah janjikan untukmu. Maka bertambah suka hati dan gembiralah dia. Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu neraka lalu dikata kepadanya: Ini adalah tempat tinggalmu dan tempat yang dijanjikan oleh Allah kepada kamu sekiranya kamu derhaka kepada-Nya. Maka bertambahlah rasa suka dan gembira. Kemudian kuburnya diperluaskan sebanyak 70 hasta”. Dia disinari cahaya di dalamnya dan jasadnya dikembalikan sepertimana pula permulaanya. Lalu dijadikan hembusan nyawanya dalam angin–angin sepoi bahasa. Ia adalah burung yang bergantung pada pokok syurga.


Firman Allah Taala dalam surah Ibrahim - 27 yang bermaksud:

Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Balasan untuk orang-orang kafir

Sesungguhnya orang kafir apabila didatangi malaikat dari arah kepalanya, tidak ada sesuatu di sisinya. Kemudian didatangi dari sebelah kananya, tidak ada sesuatu di sisinya. Kemudain didatangi dari arah sebelah kanannya, tidak ada sesuatu di sisinya. Kemudian dia didatangi dari arah dua kakinya, tidak ada sesuatu di sisinya.
Dikatakan kepadanya; “Duduklah kamu,” lalu dia duduk dalam keadaan ketakutan. Lalu dikatakan kepadanya:” Apakah kamu melihat lelaki ini yang berada di hadapan kamu?
Apakah pendapat kamu tentangnya dan apakah penyaksian kamu ke atasnya? Lalu dia berkata: “Lelaki mana?” Dia tidak mengenali namanya. Dikatakan kepadanya: “Muhammad”. Kemudian dia berkata: “Aku tidak tahu, aku tidak tahu”. Dalam satu riwayat dikatakan kepadanya kamu tidak tahu dan tidak dengar. Kamu mendengar manusia menyebut sesuatu lalu kamu menyebut apa yang disebut oleh mereka.Lalu diakatakan kepadanya: Diatas perkara tersebut kamu dihidupkan, dimatikan dan dibangkitkan, Insyaallah.
Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu neraka, dan dikata kepadanya: Inilah neraka tempat tinggalmu dan apa yang dijanjikan Allah kepada kamu. Lalu bertambahlah penyesalan dan kebinasaan. Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu syurga. Beliau (perawi) berkata: Lalu dikata kepadanya: Ini adalah tempat tinggal kamu dan apa yang dijanjikan Allah kepada kamu jika kamu taat dan patuh kepadanya. Lalu bertambahlah penyesalan dan kebinasaan. Selepas itu disempitkan kubur sehingga berselisih tulang rusuknya. Itulah kehidupan sempit yang disebut oleh Allah.


Firman Allah dalam surah Taha:124 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Persoalan penting yang perlu kita tahu iaitu di mana roh kita akan ditempatkan selepas dihisab di didalam kubur?

Roh–roh para nabi akan diletakan ditempat paling tinggi.
Roh para syuhada’ akan berada dalam kantung burung hijau yang terbang di dalam syurga mengikut kemahuannya. Terdapat juga para syuhada’ rohnya ditahan dipintu syurga kerana belum menjelaskan hutangnya. Ada juga roh yang terkurung di bumi.
Roh yang bersama tiupan angin di tempat yang paling tinggi seperti roh orang soleh.
Roh berada di tempat pembakaran penzina lelaki dan perempuan, dan roh yang berenang di dalam sungai darah dan disumbat dengan batu.

Kita semua tahu bahawa diantara kita dan mereka ada satu penghadang yang boleh ditembusi hanyalah dengan kematian.

Oleh itu, marilah kita selalu memikirkan akan kematian kita kerana jika selalu mengingati mati maka hati kita menjadi lembut dan rasa takut kepada Allah. Jasad kita tidak malas untuk melakukan ibadat kepada Allah, tangan kita tidak loket untuk infak ke jalan Allah, berusah untuk belajar ilmu Allah dan juga masa kita tidak dibuang dengan perkara yang tidak berfaedah.

Bilakah iman kita akan meningkat kalau kita tidak cari dan terus mencari, marilah kita semua berhijrah dengan sebenar hijrah untuk meninggikan iman dan merasai hanya Allah sebagai Rab di setiap waktu agar bila Allah jemput kita nanti kita bukanlah tergolong dari kalangan orang-orang menyesal.



Ya Allah! Engkaulah sahaja Tuhan kami dan Engkaulah sahaja Pencipta kami serta Engkau sahaj memberi petunjuk kepada kami dengan Agama Islam, Engkaulah sahaja yang mengambil nyawa kami dan Engkau sahaja yang mengetahui rahsia kami yang tersembunyi dan nyata. Ya Allah! ampuni segala dosa kami, dosa anak kami Muhammad 'Ammar dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.

Ayuh! Jom kita hayati hijrah dengan sebenar2nya hijrah....


Wallahu’alam.