Cinta Allah.... mampukah kita!
Kembali bertemu lagi, ummi doakan agar kita semua berada dalam keadaan sihat fizikal dan mental serta jiwa kita yang hangat mencari erti sebagai seorang hamba yang bahagia di akhirat sana.
Marilah kita terus muhasabah diri di mana diri kita sekarang dan ke mana nak dibawa diri selepas berpisah roh dan jasad.
Sekali lagi ya bumi Mesir di kejutkan dengan kamatian seorang remaja yang niatnya ikhlas untuk menuntut ilmu yang tidak kesampaian. Kematiannya hampir sama dengan kematian tuan punya blog ini iaitu arwah ‘Ammar. Waktu hampir sama iaitu semasa sedang menjalani peperiksaan dan sedang menuntut sebagai pelajar perubatan tahun 3 juga, itulah namanya kematian tidak kira umur dan di mana serta bagaimana kematiannya. Ummi ucapkan takziah kepada sahabat-sahabatnya, mudah2an Allah tempatkannya rohnya bersama-sama orang-orang beriman.
Kematian ini telah mengingatkan kembali akan pemergian arwah...
Alhamdullilah, kerana diberi peluang oleh Allah akan kesihatan yang sihat, marilah kita juga kuatkan jiwa kita supaya berjaya mencari cinta Allah agar bekalan ini menyelamatkan kita di alam sana.
Firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
Mereka yang berteman satu sama lain kerana aku, berhak memperoleh cintaKu dan mereka yang saling membantu antara sesamanya, kerana Aku, berhak memperoleh cintaKu. Dan tiadalah seorang Mukmin, (lelaki atau wanita) berserah diri kerana Allah atas kematian tiga orang anak kandungnya yang belum dewasa , pasti Allah memasukannya ke dalam syurga dengan limpahan kurnia rahmatnya.
(HQR Thabarani dalam kitab al-Ausath dan as-Shaghir dari ‘Amr, ‘Anbasah r.a)
Cinta kasih Allah kepada hambanya bermakna diberiNya limpahan nikmat kepada hambaNya serta akan diberi pahala akan kebaikan yang dilakukan. Kita juga akan dinaungi dan perlindungan oleh Allah pada hari kiamat nanti serta Allah akan memelihara dari siksaan dan melimpahkan berbagai kesenangan dan nikmat.
Orang yang dicintai dan dikasihi oleh Allah seperti firmanNya dalam al-quran adalah seperti berikut:
1. Orang yang sabar
وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٤٦)….
Allah benar-benar mengasihi orang yang sabar.
(Ali-Imran – 146)
2. Orang-orang yang bersatu padu berperang di jalan Allah
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬ (٤)
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
(As-Shaf – 4)
3. Orang yang adil.
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٩)…
...sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Hujarat – 9)
4. Orang yang bertawakal
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ (١٥٩)…
...sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali-Imran - 159)
5. Orang yang berbuat baik
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)…
...sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Surah al-Baqarah – 195)
6. Orang yang bertakwa.
وَٱتَّقَىٰ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ (٧٦)…
...maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Ali-Imran - 76)
Perkembangan terbaru di Bumi Mesir memberi kita satu gambaran yang amat menakutkan di mana manusia kadang-kadang perlu bertindak di luar pemikiran kita yang normal untuk mendapatkan satu “kebebasan hidup” di dunia ini. Ummi doakan mudah-mudahan anak2 yang belajar di Mesir dapat menghadapi dugaan ini dengan tenang dan sentiasa bersabar atas kesusahan dan kepahitan yang di alami.
Sebentar tadi menziarahi jiran yang anaknya menuntut dalam bidang perubatan di Kaherah, menghubungi anaknya di sana yang di maklumkan mereka berada di ARMA dalam keadaan ramai pelajar berkumpul di sana. Hati ibubapa mana yang tidak risau bila anak berjauhan dan dalam keadaan huru hara……, mudah2an Allah permudahkan segala urusan mereka.
Akhir kalam, ummi menyeru diri ini dan pembaca blog ini agar kita mencari cinta Allah dengan sebenar-benar cinta agar bila kita kembali kepada Allah menjadi insan yang dicintaiNya.
Marilah kita mendoakan agar Allah kurniakan syurganya dan perkara yang menghampirinya...
Ya Allah! Sesungguhnya kami mohon kepada Engkau akan syurga dan perkara-perkara yang boleh menghampiri diri kami kepadanya iaitu dalam hal pertuturan, perbuatan, niat dan akidah; sebaliknya kami mohon perlindungan dengan Engkau daripada seksaan api neraka dan perkara-perkara yang boleh menghampirkan diri kami kepadanya iaitu hal pertuturan , perbuatan, niat dan akidah.
Wallahu’alam
1 Response to Cinta Allah.... mampukah kita!
Aminnn...
syahdu je bila baca, tak sedar air mata pun laju je turunnya.
terima kasih ummi atas peringatan ini.
kadang-kadang jiwa lemah dengan ujian, tetapi bila mengingati kematian, dan lebih-lebih lagi mengingati pemergian orang-orang tersayang, terasa satu kekuatan dalam diri untuk terus berjuang.
terima kasih Allah.
p/s: ummi, Latifah mohon copy gambar arwah Ammar yang ada quote tu ye.
Something to say?