Alhamdullilah kerana di kurniakan Allah umur yang panjang dan diberi kesedaran untuk mencari erti cinta yang sebenar kehadratNya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw kerana telah membawa Islam serta kerahmatan seluruh alam.

Tanggal 11 Jun (Malaysia) atau 10 Jun (Mesir) merupakan tarikh yang tidak dapat ummi lupakan selagi hayat di kandung badan, insyaAllah. Hari yang merupakan tiada perkataan yang boleh dilemparkan dan kesedihan yang tidak boleh digambarkan yang merupakan hari peperangan perasaan untuk menerima takdir Illahi iaitu hari pemergian anakanda 'Ammar bertemu Illahi.



Sudah 2 tahun dia pergi meninggalkan kami dan semua sahabatnya, dan 2 tahun jugalah ummi belajar menulis di dalam blog ini, bukan dirancang inilah takdir Illahi. Ummi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung setia blog ini walaupun penulis blog ini telah bertukar tangan tapi pengunjungnya tetap ada, Alhamdullilah.



Sudah 2 tahun along pergi
Tapi ummi rasa ianya seperti baru berlalu
Panggilan telefon yg diterima dari Mesir masih terngiang2 di telinga
Sms takziah dan kata semangat dari sahabat along dan ummi serta abah masih segar di ingatan
Hati ummi hiba dan rindu
Kami sekeluarga masih merinduimu
Permergianmu menemui Illahi mendahului ummi dan abah
Tapi wahai anak, permergianmu tidak sia-sia
Allah kurniakan kesedihan dengan kegembiraan
Kelukaan dengan penawar
Kealpaan dengan dengan ketakutan
Hati ini kadang2 tergetar dengan ayat2 Allah
Hati yang keras menjadi lembut
Kubur menjadi tempat ziarah selalu
Agar mengingati kematianku
Diri ini terasa ada insan memerhati umminya dijendela akhirat
Buku mengenai akhirat diselak tanpa jemu
Bagaimana kematian ummi
Bagaimana malam pertama ummi di kubur
Bagaimana ummi diakhirat nanti
Ya Allah Kau kurniakan kepada kami hati yang hidup
Kau jadikan kami hamba yang cintanya kepada akhirat
Sentiasa mengingati Mu dan yakin dengan azab Mu
Kau jadikanlah kami insan dibawah keredhaanMu
Dalam keampunanMu
Kau ampuni anakku Muhammad ‘Ammar dan kaum muslimin dan muslimat yang telah pergi dahulu. Kau jadikan kubur mereka seluas taman-taman syurgaMu


Firman Allah:

إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ ٨

Sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Al-Alaq 96: 8)

Marilah anak2 dan pembaca blog ini kita mencari kebahagian akhirat dengan memberi motivasi pada diri dan peringatan agar membangkit hati kepada cinta akhirat.
Yang pergi tetap pergi dan mereka tidak akan pulang lagi tetapi kita yang hidup ini akan pergi jua nanti.



Marilah kita merungkai kehidupan kita yang lara dan leka ini dengan memikirkan tempat kembali kita dan jalan keselamatan.

1. Sesungguhnya kehidupan kita ini walaupun panjang maka akan punah akhirnya juga, dan kesenangannya walaupun besar sesungguhnya sedikit dan hina.


Firman Allah dalam surah Al-Kahfi 18:45

وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا كَمَآءٍ أَنزَلۡنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخۡتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلۡأَرۡضِ فَأَصۡبَحَ هَشِيمً۬ا تَذۡرُوهُ ٱلرِّيَـٰحُ‌ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ مُّقۡتَدِرًا ٤٥)

Bermaksud:
Dan berilah perumpaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah seperti air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tummbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudiaan tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.



Firman Allah dalam surah Al-Ankabut 29:57:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ ٥٧)

Maksudnya:
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati.

2. Sesungguhnya semua makhluk akan kembali kepada Allah dan mereka akan dipertanggungjawaban atas perbuatan mereka, dan mereka akan ditempatkan di dalam syurga atau pun neraka.

Firman Allah dalam surah Al-Mukminum 23: 115

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَـٰكُمۡ عَبَثً۬ا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥)

Maksudnya:
Maka apakah kalian mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kalian secara main-main, dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?

3. Sesungguhnya kenikmatan syurga itu melupakan kepayahan dan kepahitan di dunia, dan begitu pula siksa neraka itu melupakan semua kenikmatan dan kemanisan hidup di dunia ini.

Firman Allah dalam surah Asy-syura 26: 205 – 207:

فَرَءَيۡتَ إِن مَّتَّعۡنَـٰهُمۡ سِنِينَ (٢٠٥) ثُمَّ جَآءَهُم مَّا كَانُواْ يُوعَدُونَ (٢٠٦) مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يُمَتَّعُونَ ٢٠٧)

Maksudnya:

Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun, (205) Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka, (206) (Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan. (207)

4. Sesungguhnya manusia setelah kehancuran dunia dan setelah mereka bertempat di syurga atau neraka, akan mengalami silsilah yang dari bencana.

Firman Allah dalam surah Al-Hajj 22: 1 – 2

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّڪُمۡ‌ۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىۡءٌ عَظِيمٌ۬ (١) يَوۡمَ تَرَوۡنَهَا تَذۡهَلُ ڪُلُّ مُرۡضِعَةٍ عَمَّآ أَرۡضَعَتۡ وَتَضَعُ ڪُلُّ ذَاتِ حَمۡلٍ حَمۡلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَـٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَـٰرَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ۬ (٢)

Maksudnya:

Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (1) Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. (2)


Berikut adalah salah catatan komen di blog yg ummi masukan ruang sini untuk dijadikan sebagai motivasi mencari erti hidup sebenar dan diakhir hayat kita mendapat rahmat Allah. (Disini ummi masukan utk motivasi diri bukan utk rasa megah ataupun lain-lain perasaan negatif, ummi harap pembaca faham niat ikhlas ummi, mudah2an manfaat)

Pak cik tak pernah melihat dan bagitu takjub satu suasana kematian seorang remaja pada masa ini yang diselubungi satu suasana dan perasaan yang amat menyentuh hati, satu kematian yang pak cik anggap insyaallah satu "Bayangan Ahli Syurga" . dari suasana ini dapat pak cik bayangkan siapa ammar dimata sahabat-sahabat beliau, remaja yang bagini yang dunia perlu....semoga akan lahir banyak lagi ammar dikalangan sahabat ammar yang ada. kehadiran anak2 semua membantu urusan jenazah amat menyentuh hati pak cik dan penduduk qaryah taman bertam indah, kepala batas....selain itu apa yg pak cik nampak network atau blog anak2 bagitu membantu menyebar berita dengan pantas, disinilah nampaknya perbezaan ICT yg anak2 manfaatkan berbanding remaja lain yang mana mereka akan guna hanya sebagai alat hiburan yg sia2, teruskan segala usaha anak2 dalam perjuagan islam....pak cik doakan sentiasa dirahmati dan dipermudahkan segalanya... Insyaallah dpd:Abdul Rahman Abdullah Setiausaha Qaryah Masjid Tmn.Bertam Kepala Batas, SPU.



Salah satu email yang diterima sahabat kenalan abahnya arwah 'Ammar:

Aslm wrh wbth,

Entah kenapa.. bila menyusuri web mencari apa-apa yang berkaitan dengan Allayarham Ammar, teringat kisah yang tersurat di dalam surah al-buruj - Kisah seorang pemuda beriman dengan seorang Raja yang berakhir dengan kisah "Ashabul Ukhdud."

Kematian pemuda yang disangka Sang Raja mematikan dakwah kepada Allah ternyata meleset terus. Bahkan hampir kesemua, jika tidak semua, yang melihat peristiwa Raja berjaya membunuh pemuda beriman dengan lafaz "Dengan Nama Allah, Tuhan pemuda ini" selepas gagal sebelumnya walau dengan iringan tentera lengkap bersenjata, telah beriman dengan Tuhan Sekelian Alam dan bukan lagi bertuhankan Raja.

Ammar mungkin sudah pulang, tetapi dakwah dan qudwah anak soleh yang sinonim dengan dirinya terus berlegar di jiwa, di hati dan di pemikiran - bukan sahaja di kalangan yang mengenali beliau; bahkan juga yang tidak pernah kenal maupun bertemu dengan Ammar.




Untuk pengetahuan pembaca blog ini semua, hari ini tanggal 10 Jun 2011 ummi telah menerima surat dari Tabung Haji dijemput menunaikan haji pada tahun ini, Alhamdullilah. Ini merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kami setelah Allah uji dengan ujian yang berat 2 tahun lalu. Tidak terkata gembiranya kerana dikurniakan Allah untuk melaksanakan rukun Islam yang ke-5,Alhamdullilah doakan ummi...

Jazakillah juga khas untuk insan-insan yang masih sms ummi sehingga sekarang, mudah2an Allah permudahkan urusan antum dunia dan akhirat.

Akhir kata, Ummi doakan untuk diri ini dan pembaca semua, mudah-mudahan Allah kurniakan kita hati yang hidup dan sentiasa hangat mencari akhirat sehingga akhir hayat dan berjaya di dunia dalam mencapai cita-cita, ameen, ameen, ameen...

Wallahu'alam