Penyampaian Allayarham Ustaz Dahlan yang merupakan murabbi kepada Arwah 'Ammar, mudah-mudahan memberi peringatan kepada kita semua

Assalamualaikum,apa khabar anak-anak dan semua pengunjung blog ini, ummi mengharapkan agar berada dalam keadaan sejahtera dan iman yang sentiasa sihat berkembang hari demi hari sehinggalah dipanggil pulang oleh Allah.

Dah lama tak tulis diblog ini tiba-tiba rasa nak tinggal sikit kesan pada tahun 2012 ini, mudah-mudahan ini memberikan satu kebaikan pada diri ummi hendaknya, Insyaallah.

Marilah kita memupuk dan membajai iman kita supaya ianya menjadi subur dan hati sentiasa takut kepada Pencipta. Mudah-mudahan kita semua mendapat kasih sayang Allah sentiasa dan dikurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat serta mencapai keperibadian muslim yang sebenar. Adakah keimanan kita ini meresap dalam hati kita dan bertakhta di jiwa, dan mampu mengerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah? Adakah menjadikan perkara- perkara ghaib seolah-olah hadir di depan mata?

Memenuhkan jiwa kita dengan perasaan tenang, tabah, ikhlas dan tetap pendirian, memudahkan sesiapa yang mempunyai iman seperti berkorban apa sahaja demi jalan Allah. Memanglah kehidupan kita banyak dugaan yang perlu kita tempuhi dari aspek masa, tenaga sehinggalah wang ringgit dan semua ini memerlukan pengorbanan. Tanpa keimanan yang teguh siapalah kita untuk hidup di dunia ini, maka jadilah kita orang –orang yang rugi dunia dan akhirat.
Jika keimanan yang teguh dia akan memberi kita pengaruh dan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat kita. Kehidupan di dunia kita akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang menerangi hati seseorang muslim dan kehidupan diakhirat kita akan tuai kemanisan Iman ini dengan kehidupan kekal abadi dalam keadaaan yang selamat.

  Kemanisan Iman


Tanda-tanda lahir kemanisan iman:
 • Kecintaan seseorang mukmin untuk melakukan ibadah
 • Merasa tenang dan selesa melakukanya disertai dengan perasaan rindu dan lapang dada melakukanya.
 • Apa yang lebih penting dengan kemanisan iman ini dapat dirasai oleh Ruh kita juga.

 Hadis Nabi Sallahu’alaihiwasallam yang mulia menyebut bermaksud:

 “Jika terdapat perkara ini pada seseorang, beliau akan merasakan kemanisan iman: beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah.”

 Akhir kalam untuk pesanan diri dan semua , marilah kita mencari dan menyuburkan iman kita.

Bagaimana ya, marilah kita mencari sahabat-sahabat yang boleh memperingati diri kita dan ukhuwah serta berkasih sayang hanya kerana Allah, tidak ada kepentingan diri dan hati yang sentiasa lapang dengan kita. Selalulah berfikir akan nikmat dan kebesaranNya, sentiasa melihat alam dan manusia sekeliling, di situ memberi kita pengajaran.

Lihat kepada manusia yang melakukan keingkaran apa yang mereka dapat selain daripada kemurkaan Allah dan lihat kepada manusia yang melakukan kebaikan, alangkah bahagianya mereka mendapat kasih sayang, ketenangan dan keberkatan Allah. Semua jalan ini kita yang pilih, oleh itu anak-anak semua marilah kita semua menjadi insan yang sentiasa mencari hak Pencipta sehinggalah dipanggil balik oleh Allah kerana kematian itu boleh datang bila-bila tanpa ada sebarang signal.

 Marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala:


Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kami di sisi Engkau. Berilah keutamaan ke atas kami dengan keutamaan Engkau. Cucurilah ke atas kami akan rahmat Engkau. Turunkanlah ke atas kami akan keberkatan Engkau. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohonkan daripada Engkau akan petunjuk, ketakwaan, kawalan nafsu serta kekayaan.


 Ya Allah! Pimpinlah kami dengan petunjuk, sucikanlah kami dengan sifat-sifat takwa serta ampunilah dosa kami di dunia dan akhirat nanti. Ya allah! Perkenankanlah kami untuk menuju ke arah petunjuk Engkau dan peliharalah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan kebodohan dan kerosakan diri kami, selamatkan kami daripada sifat-sifat keburukan hawa nafsu kerana ia adalah sejahat-jahat musuh. Jadikanlah kami apa yang Engkau kabulkan itu supaya berpaling daripada kami sifat-sifat keburukan dengan berkat limpah kurnia-Mu wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau palingkan hati kami selepas kami menerima pimpinan daripada Engkau dan kurniakanlah Rahmat dari sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Rahmat.


Ya Allah ! Sesungguhnya kami memohon kepada Engkau akan nikmat yang sempurna pada tiap-tiap suatu daripadanya serta bersyukur kepada Engkau kerananya sehingga Engkau reda selepas engkau meredainya; juga kami pohonkan sesuatu yang ada kebajikan yang Engkau jadikan itu akan mendatangkan kebajikan pula kepada kami; permudahkanlah setiap urusan kami dan janganlah pula Engkau jadikan ianya susah bagi kami, wahai Tuhan yang Maha Mulia.

Ameen, Ya Rabul'alamin.