Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.

Hijrah...

By Kalam Puncak



Saban tahun umat Islam menyambut Maal Hijrah, tapi adakah kita mengambil pengajaranya dan diaplikasi falsafah hijrah ini sabagai satu pendekatan diri terhadap Maha Pencipta.

Hijrah merupakan membawa perubahan yang menyeluruh dalam hidup kita dalam berbagai aspek kehidupan. Ummi menyeru pada diri ini marilah kita berhijrah membawa hati kita selalu mendekati kepada Pencipta yang memberi kerahmatan dalam hidup kita dan sentiasa menanugerahkan kepada kita nikmat dan kudrat. Tapi adakah nikmat dan kudrat ini kita gunakan untuk rangka beribadat kepada Allah?

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Tiada Hijrah (ke Madinah) selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang kekal wujud hanyalah jihad dan niat. Apabila kamu diseru untuk berjihad hendaklah kamu menyahutnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Allah mengingatkan kepada kita: Wahai orang-orang beriman bertakwalah pada Allah dengan sebenar-benarnya takwa dan janganlah kamu mati kecuali sebagai seorang muslim.

Hakikat inilah kita perlulah berhijrah jiwa dan raga kita dari insan yang lemah kepada insan yang sentiasa dekat dengan Allah. Marilah anak-anak semua kita berhijrah kerana kehidupan kita di dunia ini tidak panjang, mungkin bila-bila masa kita akan di jemput kembali ke alam yang seterusnya selepas alam dunia ini iaitu alam barzakh.

Kita pernahkah terfikir bahawasanya kita ini telah berhijrah memasuki alam yang ke 3 dan hakikatnya kehidupan kita perlu melalui 5 alam ini iaitu alam roh ke alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang merupakan alam terakhir kita.



InsyaAllah ummi nak kita lihat kembali alam barzakh ini yang merupakan alam yang pasti kita tempuhi cuma masanya tidak siapa ketahui kerana sebaik-baik peringatan adalah mengingati kematian.

Alam barzakh.

Apakah maksudnya? Iaitu alam yg kita perlu lalui sebelum alam akhirat dan maknanya ialah penghadang dan sekatan antara 2 benda.

Firman Allah dalam surah al-Mukminun :99 – 100 yang bermaksud:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). (99) Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (100)

Apa yang kita tunggu lagi, semua terbentang di depan mata dan kita dengari dlm ayat2 Allah? Adakah kita tidak yakin dengan janji Allah? Marilah kita berubah agar bila kita mati nanti tiada penyesalan....

Apakah yang ditempuhi oleh si mati dalam kuburnya?



Sabda Nabi saw:

Balasan untuk orang-orang beriman

Sesungguhnya apabila si mati diletakkan di dalam kuburnya, dia mendengar bunyi tapak kaki orang ramai ketika mereka meninggalkan tanah perkuburan. Jika dia seorang yang beriman, solat akan berada di sisi kepalanya, puasa sebelah kanannya, zakat sebelah kirinya dan amal soleh yang lain seperti sedekah, doa, perkara maaruf dan berbuat baik dengan manusia berada di sisi kedua kakinya. Kemudian dia didatangi malaikat dari arah kepalanya. Lalu solat berkata “Tiada pintu dari arah ini,” kemudian didatangi dari sebelah kanannya, lalu puasa berkata:”Tiada pintu masuk di sini." Kemudian dia didatangi dari arah kedua kakinya, lalu amal soleh yang lain seperti sedekah, perkara makruf dan berbuat baik pada manusia berkata: “Tiada pintu masuk dari arah ini”.
Lalu dikatakan padanya: Adakah kamu melihat orang yang berada di hadapan kamu ini?. Apa pendapat kamu mengenainya dan apakah yang kamu saksikan ke atasnya?. Dia berkata: Biarkan aku, aku ingin solat. Lalu mereka menjawab: Sesungguhnya kamu akan melakukannya. Jawablah soalan kami, apakah pandangan kamu mengenai lelaki yang berada di hadapan kamu, apakah pendapat kamu? Apakah penyaksian kamu ke atasnya? Dia menjawab: Rasulullah s.a.w dan dia membawa kebenaran daripada Allah. Lalu dikatakan padanya: Di atas perkara tersebut kamu hidup. Mati dan dibangkitkan, InsyaAllah.
Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu syurga. Lalu dikata kepadanya: Ini adalah tempat tinggalmu dan tempat yang Allah janjikan untukmu. Maka bertambah suka hati dan gembiralah dia. Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu neraka lalu dikata kepadanya: Ini adalah tempat tinggalmu dan tempat yang dijanjikan oleh Allah kepada kamu sekiranya kamu derhaka kepada-Nya. Maka bertambahlah rasa suka dan gembira. Kemudian kuburnya diperluaskan sebanyak 70 hasta”. Dia disinari cahaya di dalamnya dan jasadnya dikembalikan sepertimana pula permulaanya. Lalu dijadikan hembusan nyawanya dalam angin–angin sepoi bahasa. Ia adalah burung yang bergantung pada pokok syurga.


Firman Allah Taala dalam surah Ibrahim - 27 yang bermaksud:

Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Balasan untuk orang-orang kafir

Sesungguhnya orang kafir apabila didatangi malaikat dari arah kepalanya, tidak ada sesuatu di sisinya. Kemudian didatangi dari sebelah kananya, tidak ada sesuatu di sisinya. Kemudain didatangi dari arah sebelah kanannya, tidak ada sesuatu di sisinya. Kemudian dia didatangi dari arah dua kakinya, tidak ada sesuatu di sisinya.
Dikatakan kepadanya; “Duduklah kamu,” lalu dia duduk dalam keadaan ketakutan. Lalu dikatakan kepadanya:” Apakah kamu melihat lelaki ini yang berada di hadapan kamu?
Apakah pendapat kamu tentangnya dan apakah penyaksian kamu ke atasnya? Lalu dia berkata: “Lelaki mana?” Dia tidak mengenali namanya. Dikatakan kepadanya: “Muhammad”. Kemudian dia berkata: “Aku tidak tahu, aku tidak tahu”. Dalam satu riwayat dikatakan kepadanya kamu tidak tahu dan tidak dengar. Kamu mendengar manusia menyebut sesuatu lalu kamu menyebut apa yang disebut oleh mereka.Lalu diakatakan kepadanya: Diatas perkara tersebut kamu dihidupkan, dimatikan dan dibangkitkan, Insyaallah.
Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu neraka, dan dikata kepadanya: Inilah neraka tempat tinggalmu dan apa yang dijanjikan Allah kepada kamu. Lalu bertambahlah penyesalan dan kebinasaan. Kemudian dibuka kepadanya salah satu pintu syurga. Beliau (perawi) berkata: Lalu dikata kepadanya: Ini adalah tempat tinggal kamu dan apa yang dijanjikan Allah kepada kamu jika kamu taat dan patuh kepadanya. Lalu bertambahlah penyesalan dan kebinasaan. Selepas itu disempitkan kubur sehingga berselisih tulang rusuknya. Itulah kehidupan sempit yang disebut oleh Allah.


Firman Allah dalam surah Taha:124 yang bermaksud:

Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

Persoalan penting yang perlu kita tahu iaitu di mana roh kita akan ditempatkan selepas dihisab di didalam kubur?

Roh–roh para nabi akan diletakan ditempat paling tinggi.
Roh para syuhada’ akan berada dalam kantung burung hijau yang terbang di dalam syurga mengikut kemahuannya. Terdapat juga para syuhada’ rohnya ditahan dipintu syurga kerana belum menjelaskan hutangnya. Ada juga roh yang terkurung di bumi.
Roh yang bersama tiupan angin di tempat yang paling tinggi seperti roh orang soleh.
Roh berada di tempat pembakaran penzina lelaki dan perempuan, dan roh yang berenang di dalam sungai darah dan disumbat dengan batu.

Kita semua tahu bahawa diantara kita dan mereka ada satu penghadang yang boleh ditembusi hanyalah dengan kematian.

Oleh itu, marilah kita selalu memikirkan akan kematian kita kerana jika selalu mengingati mati maka hati kita menjadi lembut dan rasa takut kepada Allah. Jasad kita tidak malas untuk melakukan ibadat kepada Allah, tangan kita tidak loket untuk infak ke jalan Allah, berusah untuk belajar ilmu Allah dan juga masa kita tidak dibuang dengan perkara yang tidak berfaedah.

Bilakah iman kita akan meningkat kalau kita tidak cari dan terus mencari, marilah kita semua berhijrah dengan sebenar hijrah untuk meninggikan iman dan merasai hanya Allah sebagai Rab di setiap waktu agar bila Allah jemput kita nanti kita bukanlah tergolong dari kalangan orang-orang menyesal.



Ya Allah! Engkaulah sahaja Tuhan kami dan Engkaulah sahaja Pencipta kami serta Engkau sahaj memberi petunjuk kepada kami dengan Agama Islam, Engkaulah sahaja yang mengambil nyawa kami dan Engkau sahaja yang mengetahui rahsia kami yang tersembunyi dan nyata. Ya Allah! ampuni segala dosa kami, dosa anak kami Muhammad 'Ammar dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.

Ayuh! Jom kita hayati hijrah dengan sebenar2nya hijrah....


Wallahu’alam.

 

Pengorbanan

By Kalam Puncak

Alhamdullilah, syukur kepada Allah yang telah memberi kita nikmat dalam kehidupan ini dan di beriNya hidayah untuk sentiasa mengingati Nya. Harapan ummi agar anak-anak dan semua pembaca blog ini diberi rezeki yang murah agar dapat menunaikan ibadah korban ini dan pengorbanan ini mampu mendidik diri kita agar sentiasa mensyukuri nikmat dan sanggup berkorban demi mencapai cinta Allah swt dan menjadi hamba yang bertakwa, dan ia juga merupakan satu wasilah mendekatkan diri kepada Allah Taala.

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.“
Surah Al-Hajj: 37











Sekali lagi kita sebagai umat Islam Allah telah memberi hari kegembiraan menyambutnya dan bergembira serta merasai penghambaan kepadaNya serta mencari redhaNya. Hari umat Islam yang bertuah dapat menyambut seruan Allah untuk ke Tanah Suci dan menunaikan ibadat haji yang merupakan rukun Islam yang kelima bagi mereka yang mampu menunaikanya, maka telah lengkaplah rukun Islamnya. Tetapi rahmat Allah meliputi seluruh umatNya bukan sahaja yang berada di Tanah Suci malahan di mana-mana juga berpeluang menyambutnya dengan ibadah kurban ini.

Firman Allah dalan surah Al-Hajj: 34

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat; (34)

Sebagai umat Islam yang mampu kita di sunatkan untuk berkorban bagi memenuhi tuntutan Allah Taala. Bila disingkap kembali sejarah pengorbanan ini ia merupakan telah menjadi sunah yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. Bagaimana Nabi Ibrahim baginda melihat dalam mimpinya bahawa baginda menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s, dan apabila diberitahu kepada anaknya, beliau akur akan perintah ini kerana ianya datang daripada Allah swt.

As-Safaat: 102 - 103

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (102) Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami). (103)”

Kisah ini mengambarkan kepada kita akan kebenaran Islam dan keyakinan mereka terhadap janji Allah Taala. Inilah sebenarnya realiti Islam yang kita kena tanamkan dalam diri iaitu ketenangan, keredhaan dan satu perlaksanaan perintah Allah yang patut dicontohi oleh kita semua.

Pujian daripada Allah terhadap Nabi Ibrahim seperti FirmanNya yang bermaksud dalam surah As-Safaat: 104 -105

“Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! (104) Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (105)”

Sebagai satu muhasabah pada diri, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk meninggikan agama Allah, mendekatkan diri kepada Allah, pergorbanan dalam berukhuwah, pergorbanan kita dalam membantu umat Islam yang ditindas oleh musuh, infak kita sejauh mana yang kita telah keluarkan?



Mudah-mudahan Allah Taala memberi taufik dan hidayah kepada kita semua untuk berkorban demi agamaNya sehingga akhir hayat.

Ameen
Wallahu’alam

 

Ujian Allah sungguh luas mencangkup serba serbi dalam kehidupan kita, sehinggalah dalam keadaan senang pun merupakan ujian dan kadang-kadang kita tak sedar pun bahawa kita diuji.

Mari kita lihat sekeliling kehidupan kita ada manusia yang sabar dengan ujian dan tidak kurang juga mereka gagal untuk bersabar dengan ujian Allah sehingga sanggup menyalahkan orang lain dan juga sekeliling mereka.

InsayAllah ummi nak tunjuk sikit gambar yang mampu kami ambil tentang keadaan banjir yang melanda di utara Semenanjung Malaysia.

Perjalanan kami bermula apabila semua anak-anak Matri dibenarkan pulang kerana ketiadaan air dan masalah persekitaran yang menyebabkan keputusan menutup sekolah telah dikeluarkan. Semasa kami tiba di tol Alor Setar Utara dimaklumkan lebuhraya terpaksa seterusnya terpaksa ditutup kerana air naik sehingga 1.5 meter. Kami terpaksa berpatah balik ke Alor Setar Selatan melalui jalan Kuala Kedah, tetapi air di sana di kawasan Kuala Sungai juga dinaiki air tidak boleh lalu untuk kenderaan ringan. Maka kami terpaksa mencari jalan lain dan dimaklumkan ada satu lagi jalan yang terpaksa melalui batas ban yang dikenali orang utara. Di sinilah bermulanya kepayahan dan kesusahan yang perlu ditempuh untuk mencapai matlamat kami untuk sampai ke tempat untuk dituju.

Pengalaman ini telah memberi ummi satu peringatan yang berguna untuk muhasabah kehidupan kita, memang kita kena melalui satu kepayahan untuk mencapai matlamat dalam hidup kita. Ujian demi ujian terpaksa kita lalui untuk mencapai kejayaan selagi kita tidak berputus asa dan sabar dan ini merupakan satu anjakan untuk mencapai tahap keimanan kita.

Firman Allah dalam surah Al-Balad: 4 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami jadikan manusia (hidup) dalam perjuangan yang susah payah.

Berikut adalah gambar yang sempat dirakam semasa menempuh perjalanan ini, mudah-mudahan manfaat.




Berat mata memandang berat lagi bau memikul, mudah-mudahan mereka redha dengan ujian ini agar Allah dapat menghapuskan dosa-dosa...













Subhanallah, permandangan yang sgt cantik di sini...




Jurugambar amatur kami, adik kepada arwah Ammar...



Kenangan arwah Ammar dengan lensanya, mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa-dosanya.

 

Muhasabah jiwa...

By Kalam Puncak

Alhamdullilah setinggi kesyukuran dipanjatkan bagi Allah, Tuhan seru semesta alam yang menganugerahkan nikmatnya tidak terhingga kepada hambaNya. Selawat dan salam sejahtera bagi junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti sunnahnya.

Syukur pada Allah kerana diberi kesempatan untuk menghantar post di sini lagi kerana agak lama tidak bersembang2 di sini disebabkan masa berlalu agak pantas hari demi hari tak sempat nak update (sebenarnya ini adalah kelemahan ummi sendiri, sedar tapi tak mampu menepis).


Salah satu gambar kemalangan tragedi 101010 yang meragut 12 nyawa

Sekali lagi Malaysia dikejutkan dengan kemalangan maut yang amat ngeri pada 10.10.10 yang mana ada orang menunggu2 tarikh ini untuk melangsungkan perkahwinan tetapi kejadian sebaliknya berlaku, itulah namanya Qada’ dan Qadar Allah. Sebak rasa hati apabila melihat ibubapa mangsa yang kesedihan di muka depan Berita Harian. Ummi dapat merasai perasaan mereka dengan sebenar-benarnya selepas kejadian ini menimpa pada diri ini setahun yg lalu. Bila dilihat dalam internet pada gambar2 dan video2 mangsa kemalangan amat ngeri, rasa bersyukur sangat walaupun arwah anakanda ‘Ammar meninggal kemalangan tetapi Allah izin dia masih mempunyai jasad yang terpelihara, Alhamdullilah.


Pemergiannya benar2 memberi ummi satu kesedaran...

Marilah kita terus muhasabah dengan kematian ini, bayangkan itu terjadi pada kita, adakah kita cukup bersedia untuk bertemu dengan Allah?

Ummi menyeru marilah kita kembali kepada seruan Allah Taala dalam Al-quran dan kembali kepada sunnah Nabi Muhammad saw.

Marilah kita lengkapkan diri dengan Ubbudiah kpada Allah s.w.t yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa di seluruh ‘Alam, tidak mempersekutukanNya dengan yang lain.

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
( Adz- Dzaariyaat 51 : 56 )

Untuk menjadi hamba yang Rabbani kita perlulah mujahadah untuk melawan hawa nafsu. Oleh itu, ummi menyeru pada diri ini dan anak2 semua, marilah kita lihat bagaimana hendak mengubati penguasaan nafsu kita (jiwa ammarah) ke atas diri iaitu perlu muhasabah jiwa dan berusaha melawannya.

Riwayat Imam Ahmad( Isnadnya dhoif ttp dari segi hendak memahami sebabnya ):

“Orang yang cerdik ialah orang yang muhasabah dirinya dan bekerja untuk selepas mati. Orang yang lemah ialah orang yang membawa nafsunya mengikut hawa atau keinginan dan dia tidak ada rasa apa-apa terhadap balasan Allah.”



Kata Hassan:
“ Orang mukmin berkuasa di atas dirinya dan menghisap dirinya kerana Allah swt. Sesungguhnya ringan hisab pada Hari Kiamat ke atas kaum yang menghisap diri mereka di dunia dan berat hisabnya pada hari Kiamat ke atas kaum yang tidak mengambil kira hisab.”

Sebagai manusia kita akan tertarik pada sesuatu yang mewah dan dia akan merasa megah memperolehinya, tetapi orang mukmin akan terus muhasabah dan kembali berfikir jika menjadi mukmin yang sejati mestilah terpancar perasaan ini:
• kita merasai bahawa Al-quran itu dapat memberhentikan kita dari melakukan perbuatan2 yang menyalahi dan menghalangi kebinasaan diri.
• Kita menjadi tawanan di dunia dan berusaha melepaskan diri dari tawanan.
• Kita mestilah merasai tidak aman selagi tidak bertemu Allah.
• Kita bertanggungjawab ke atas pendengaran, lidah, anggota2 zahir dan semua sekali

Malik bin Dinar berkata:

“Allah memberi rahmat kepada seseorang hamba, dia berkata kepada dirinya, tidakkah kamu tuan? Kemudian dia caci jiwanya dan kuasai jiwanya serta dia perintahkan jiwanya ikut kitab Allah, barulah dia menjadi tuan kepada jiwanya.”
Menjadi hak ke atas orang mukmin yang tegas dan beriman pada Allah dan hari akhirat agar kita tidak lalai dari muhasabah diri dan ketatkan sedikit kegiatannya serta diamnya.

Marilah kita merasai setiap nafas umur kita amat berharga, mungkin dengannya kita boleh membeli sesuatu barang yg berharga dan dapat nikmatnya yang tidak putus2. Ingatlah bahawa jika kita melupai umur kita atau tidak peduli maka tergolonglah kita dalam kalangan orang yg paling jahil, bodoh, kerdil dan akal yang dangkal.

Ingatlah kita semua bahawa hakikatnya kita akan nampak pada hari kiamat kelak, fiman Allah yang bermaksud:

“Pada hari ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebajikan dihadapkan (kehadapanya), dan kejahatan yang telah dikerjakannya maka ia ingin sekiranya antaranya dengan Hari itu ada jarak masa yang jauh...”
(Surah Al-Imran ayat 30)

Ya Allah! Kau ampunilah dosa-dosa kami dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.

Ameen

Wallahu’alam.

 

Alhamdullilah dengan izinNya dapat kita bertemu lagi, Ramadhan telah berlalu, bagaimana iman kita? Adakah ia turut berlalu bersama-sama Ramadhan, marilah kita terus muhasabah sehingga Allah panggil pulang kepada Nya.


gambar diambil dari http://aljazary.blogspot.com

Sekali lagi berita sedih datang dalam hidup ini dan membuat ummi rasa tempias pada diri ini dan betapa kerdilnya kita sebagai hambaNya, bila-bila masa saja boleh dipanggil untuk kembali kepadaNya. Dato' Kaya Bakti Dahlan @ Dahaman Mohd Zain, pengasas dan mudir Maahad At-Tarbiyah Islamiyah (MATRI) telah kembali ke rahmatullah hari ini. Almarhum yang lebih dikenali sebagai Ustaz Dahlan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9:55 pagi di rumah beliau di Kg Kerisik sejurus dibawa pulang dari Hospital Tuanku Fauziah selepas berada di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) dalam keadaan tidak sedarkan diri selama 41 hari. Almarhum merupakan mudir arwah anakanda ‘Ammar dan merupakan insan yang menjadi Qudwah dan murabbi yang disayangi oleh pelajar Matri dan insan-insan yang berada disekelilingnya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Mahasuci Allah yang mengusai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan dia Mahaperkasa, Maha pengampun.”
(Surah Al-Mulk 1 -3)


Pusara Almarhum Ustaz Dahlan


Pusara anakanda 'Ammar

Bila saja menerima berita pemergiannya, Ummi terus mengingati pada 11 Jun 2009, lebihkurang jam 6:45 pg kami menerima satu panggilan telefon yang bila diangkat rupa-rupanya seorang insan yang hebat iaitu Ustaz Dahlan telah menghubungi kami. Beliau menasihati kami supaya bersabar kerana ini adalah takdir Allah, kita manusia nak kena redha apa yang Allah telah tentukan. Beliau berkata lagi, “memang kita menaruh harapan padanya, tapi Allah telah takdirkan begitu.” Sebak hati ini mendapat nasihat daripada seorang murabbi yang memang hebat qudwahnya dan tutur kata nasihatnya.
Sempat juga kami menziarahi ustaz dirumahnya pada bulan Mei yang lalu, walaupun beliau sakit tetapi masih mampu memberi nasihat kepada anak didiknya, Subhanallah inilah insan yang imannya cukup tinggi, qudwahnya terserlah, fikrahnya jelas dan macam-macam lagi ....

Mereka yang telah pergi tetap pergi, bagaimana kita yang masih hidup?
Berapa banyak bekalan yang kita nak bawa balik kepada Allah nanti?
Adakah kita masih ada masa untuk terus memburu redha Allah? Muhasabah terus muhasabah.

Kepada anak-anak didik Matri dan anak-anak didik disekilingnya marilah kita teruskan perjuangan dengan segala ilmu yang telah dikutip di sana. Jangan kita biarkan ianya tenggelam dalam arus pembangunan yang sedang kita kejar sekarang, biarlah kita tenggelam dalam ilmu, ilmu mengenal Pencipta dan mendekatkan diri padanya serta mendapat Redhanya supaya menjadi insan yang Rabbani.

Biarlah kerja-kerja yang kita lakukan bersungguh tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan mana-mana pihak atau diberi insentif. Bagi mereka yang yakin dengan janji Allah SWT , semua itu bukan pendorong sebenar. Biarlah kerja untuk islam yang kita lakukan tanpa disuruh-suruh dan was-was.

Keyakinan dengan janji Allah SWT, mardhotillah itulah dorongan yang sebenar. Ini tidak bermakna kita sama sekali tidak memberi hak kepada naluri kita; perut yang lapar perlu dikenyangkan dengan makanan.

Apabila takut kepada Allah SWT lebih daripada yang lain, seseorang itu dapat berkhidmat dengan lebih ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Naluri ingin memiliki kita jadikan wasilah agar menjadi ibadah. Kita hendak akhiratkan yang dunia dan akhiratkan yang akhirat. Harta dijadikan ibadah, zakat dijadikan sunnah, sedekah jariah dilazimi kerana apabila matinya anak Adam putuslah amalannya kecuali 3 perkara:
• Ilmu yang bermanfaat
• Sedekah jariah
• Doa anak yang soleh

Sabda Rasulullah saw : Harta tidak akan susut dengan mengeluarkan sedekah. Apa yang kamu makan akan habis, baju yang kamu pakai akan lusuh tetapi harta yang kamu beri sedekah akan tinggal.

Tetapi semua ini sukar untuk dilaksanakan jika tidak dilatih. Hati perlu sentiasa dipujuk, diasuh dan dididik.

Hati mana tidak sedih dan pilu bila orang yang kita sayang, pergi meninggalkan kita selama-lamanya dan tidak dapat bertemu dan berbicara dengannya, tetapi ingatlah tarbiyahlah hati kita dengan sabar dan redha dengan yang hilang. InsyaAllah jika kita mampu harungi semua ini suatu hari nanti kita akan dapat jawapanya dan betapa sayangnya Allah pada hambanya, cuma kita manusia tidak tahu rahsianya disebalik suatu kejadian.



Ummi rasa bersyukur pada Allah, terutama pada hari raya ini dan musim-musim anak-anak bercuti dan pulang bertemu keluarga, terdetik rasa rindu pada arwah ‘Ammar. Subhanallah, Allah Maha Pengasih pada hambanya, berdoalah padanya dan luahkan perasaan padanya, dengan izinnya juga ummi bermimpi bertemu dengan arwah anakanda ‘Ammar berbual dengannya dan dapat menatap wajahnya yang tersenyum dalam masa yang agak lama, alhamdullilah terubat juga rindu padanya.

Wahai Tuhan kami! Ampuni dosa kami dan tutuplah kesalahan kami serta wafatkanlah kami bersama-sama orang yang baik-baik. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami akan apa-apa yang telah Engkau janjikan dengan perantaraan rasul-rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat kelak.
Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau dan sediakanlah jalan yang lurus bagi kami untuk menjalankan urusan pekerjaan kami. Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta jauhkanlah kami dari azab neraka.
Ya Allah! Kau ampunilah dosa-dosa kami dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.


Ameen

Wallahu’alam.

 

Nafsu oh nafsu

By Kalam Puncak

Ramadhan telah menghampiri penghujungnya, marilah kita terus muhasabah Ramadhan kita selama 21 hari yang berlalu, adakah ia masih ditahap lama. Jangan lah kita berputus asa jika ianya masih belum memuaskan, marilah kita kejar 8 hari yang masih berbaki ini dengan apa yang telah dijanjikan Allah. Mudah-mudahan dengan tarbiyah Ramadhan ini mampu mendidik nafsu kita menjadi sebaik-baik jiwa yang di Rahmati Allah hendaknya, InsyaAllah.

Apa khabar nafsu kita, adakah kita tewas dengannya atau kita mampu melawannya? Nafsu juga dikenali sebagai jiwa penghalang antara hati untuk sampai kepada Allah jika kita mampu mengawalnya maka berjayalah kita.
Marilah diri ini dan pembaca blog ini semua agar kita mendidik dan mujahadah terhadap nafsu kita agar ia menjurus kearah kebaikan dan membawa hati-hati kembali kepada keredhaan Allah dan bila pulang kealam akhirat nanti kita ada bekalan untuk dipersembahkan kepada Allah, agar diri ini terselamat dengan azab Allah.

Oleh sebab itu manusia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu mereka-mereka terdiri daripada:
1. Hawa nafsu menguasai manusia, maka tewas dan rugilah mereka itu.
2. Manusia yang dapat menguasai hawa nafsunya, maka hawa nafsunya akan patuh dan taat kepada arahan manusia itu sendiri.
Wahai anak-anak di mana diri kita sekarang ini, adakah Ramadhan ini mampu menewaskan nafsu yang pertama ini?

Berikut adalah bayangan komunikasi syaitan (Abg Tan) dan nafsu ( Cik Su)
Abg Tan: Cik Su selama 1 bulan ni kamu jagalah manusia ni.
Cik Su: Janganlah Abg Tan risau dah 11 bulan saya dididik, 1 bulan ini bolehlah Abg Tan berehat.
Abg Tan: Saya risaulah takut kamu kalah.
Cik Su: Tak apalah tahulah saya menjaga depa ni.

Anak-anak semua marilah kita benteras dan mengalahkan syaitan ini dengan melawan hawa nafsu kita sebab kita tahu nafsu ini selalu mengajak kita kepada kezaliman dan mengutamakan kehidupan di dunia tapi Allah swt menyeru hambanya takut kepadaNya dan berusaha melawan dan menyekat nafsu dari keinginannya.

Kata al’arffin (orang bijak pandai dalam ilmu tasawuf) yang berbunyi seperti berikut:

“Sesiapa yang berjaya menguasai atau membawa jiwanya maka dia berjaya. Sesiapa yang jiwanya mengatasi dirinya maka dia gagal.”

Firman Allah dalam surah An Naziat ayat 37 – 40 yang bermaksud:

“Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata- mata. Maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu.”


Mudah-mudahan antaran 3 jenis nafsu ini, Allah akan bimbing kita kepada nafsu Mutmai'nah, InsyaAllah.

Allah swt sifatkan nafsu ini dalam Al-quran dengan 3 sifat iaitu:

1. Sifat Mutma’innah iaitu jiwa yang tenang, seronok dan puas dengan Allah yang sentiasa mencari keredhaan Allah, rindu hendak berjumpa dengan Allah dan berasa seronok dekat dengan Allah.

Jiwa ini akan diseru bila hendak mati seperti dalam surah Al Fajr ayat 27 – 28 yang bermaksud:

“Wahai jiwa yang Mutma’inah. Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha-meredhai.”
Al Mutmai’inah iaitu nafsu yang dimiliki oleh Mukmin yang diri mereka:
• Merasai puas atau tenang dengan apa yang dijanjikan oleh Allah
• Mereka merasai puas dengan makrifah nama-nama Allah dan sifat-sifatnya
• Mereka yakin dengan apa yang diceritakan oleh Allah tentang perkara-perkara selepas mati, alam Barzakh dan alam kiamat
• Mereka berpuas hati dengan Qadha dan Qadar Allah swt
• Patuh dengan semua ketetapan Allah
• Keyakinan kita dengan apa yang disampaikan oleh Allah tentang Syurga, Neraka, nikmat, azab dan lain-lain dan lahir dalam kehidupan kita seharian.

Kesimpulannya nafsu Mutma’inah ini adalah satu perpindahan dari syak sampai kepada keyakinan, dari jahil kepada ilmu (faham), dari lalai kepada ingat Allah, dari khianat kepada taubat, dari riak kepada ikhlas, dari bohong kepada benar, dari lemah (berfikir, bekerja, merancang) kepada cergas, dari ujub kepada tidak bangga diri dan dari sesat kepada tawadhu’.

Mudah- mudahan kita semua berusaha memperolehi nafsu ini, agar hidup kita di dunia dan akhirat berjaya

2. Nafsu Lawwamah iaitu jiwa ini sentiasa merasa kesal terhadap dirinya kerana kecuaian dalam mentaati Allah walaupun ianya telah berusaha. Orang begini dia tidak bertindak dalam kerja-kerja yang tidak diredhai oleh Allah dan tidak ada peningkatan dalam dirinya.
Jiwa-jiwa begini akan bersih dari kemurkaan Allah, tetapi sekiranya ianya redha dengan amalannya tanpa rasa kesal maka jiwa ini akan dicaci oleh Allah.

3. Nafsu Al Ammarah Bissuu’ iaitu jiwa yang dikeji, dicaci dan dihina kerana ianya mengajak melakukan kejahatan dan inilah tabiat jiwanya, kejahatannya tidak terlepas melainkan taufiq Allah swt.

Firman Allah da lam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:

“Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha pengampun lagi Maha Penyayang.”

Marilah kita terus muhasabah:
Dimanakah diri kita ini?
Adakah diri kita dapat mengawal nafsu?
Adakah Madrasah Ramadhan mampu mendidik kita menjadi insan bertakwa?
Ummi doakan kita semua akan berusaha mencapai jiwa kita ke peringkat Mutma’inah kerana kawannya Malaikat, manakala jiwa Ammarah ini kawannya adalah syaitan. Nafsu Ammarah ini akan menyekat jiwa Mutmai’nah, mudah-mudahan Allah akan tunjukkan kita kepada jalan yang lurus, insyaAllah.

Kata Ibnu Umar ra:

“Kalaulah saya tahu bahawa Allah menerima daripada saya satu sujud saja, maka tidak ada yang paling ghaib yang paling saya suka daripada mati.”

Ya Allah! Perbaikilah agama kami yang ianya menjadi ‘pemeliharaan segala urusan kami’, perbaikilah hal keduniaan kami yang ianya menjadi ‘tempat urusan hidup kami’ perbaikilah hal akhirat kami yang ianya menjadi ‘tempat kembali kami’, perbaikilah hubungan dan pergaulan kami serta perjinakkanlah hati di antara kami, jadikanlah hidup ini untuk kami menambah segala kebajikan serta jadikanlah mati itu sebagai tempat kelepasan (kerehatan) kami dari segala macam kesusahan (kejahatan).

Ya Allah! Kau ampunilah dosa-dosa kami dan dosa anakanda kami dan kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.


Ameen

Wallahu’alam.

 

Betulkan niat...

By Kalam Puncak



Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkan.Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya,maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu."

Assalammualaikum, syukur Alhamdullilah atas nikmat dan rahmatNya dapat kita merasai nikmat berada di bumi ini. Adakah Kita merasai diri kita ini lalai terhadap tuntutan dan tanggungjawab kita terhadap Islam, atau kita merasai sudah cukup menjalani tanggungjawab kita kepada islam, ini semua hanya diri sendiri yang dapat menjawabnya. Marilah kita terus bermuhasabah kerana ini adalah salah satu jalan mengenal diri dan apakah matlamat kita di bumi ini.



Ummi nak bawa diri ini, angah, acik dan semua anak-anak untuk menilai kembali ajaran islam ini, apakah ajaran Islam yang nak dibawa dalam hidup ini? Kita hidup di dunia ini mesti ada visi yang jelas untuk dibawa diri kemana sebenarnya. Tentulah visi kita adalah mendapat keredhaan Allah dan syurga Nya adalah pengakhiran kita yang akan hidup kekal abadi.
Dalan perjalanan untuk kita mencapai visi ini berbagai misi yang kita perlu tempuhi dan kadang-kadang kita tercicir di tengah jalan. Menuntut ilmu adalah salah satu misi kita untuk hidup dan dia merupakan hanya wasilah kita mencapai visi ini.
Oleh itu anak2 ummi teruslah berusaha agar kejayaan dunia kita capai dan akhirat juga adalah tempat raih yang kekal abadi.



Janganlah angah dan acik lupa tag along yang cukup memberi peringatan kepada kita iaitu "Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat". Teruslah berusaha dalam menuntut ilmu agar kejayaan cemerlang di Universiti dan visi kita ke akhirat jangan sekali ditinggalkan.


Along berjaya ke Universiti Kaherah


Angah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)


Acik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ingatlah apa saja U yang kita masuk itu bukanlah segala-galanya tetapi menegak deen Allah dalam diri dan masyarakat adalah tuntutan yang perlu juga kita utamakan. Firman Allah yang bermaksud:

“ Dan ummat yang sungguh-sungguh dan cinta kepada (ajaran) Kami, pasti Kami tunjukan jalan Kami.”
(Al-Ankabut :69)



Marilah kita lihat ajaran islam ini iaitu:

1. Ia adalah ajaran Illahi untuk mengatur kehidupan manusia, oleh ia mestilah direalilisasikan dalam kehidupan kita dengan usaha bersungguh-sungguh kita sendiri dengan batas kemampuannya dan lingkungan kehidupan yang kita lalui.

2. Ajaran ini akan berkesan jika kita menjadikannya sebagai keperluan pokok dalam hidupkita dengan bersungguh-sungguh. Kita mestilah melaksanakan setiap langkah perjalanan hidup dengan diwarnai oleh agama sampai batas terahkir.

3. Keistimewaan yang dimiliki Islam ini kita tidak boleh lalai walaupun sekejap dalam setiap langkah perjalanan hidup kita, kita mewarnai kehidupan kita dengan Islam pada setiap langkah hidup kita, sehingga tidak ada pokok atau peraturan yang lain selain islam. Oleh itu kita akan hidup dengan tenang, aman dan adil.

Allah telah menciptakan fitrah dalam diri manusia dan dengan fitrah ini Allah telah menurunkan hidayah yang dapat diraih dengan kesungguhan dan rasa cinta kepada ajaran Allah Taala.

Demikian ciptaan Allah agar fitrah manusia mempunyai fungsi dan tugas, tidak dibiarkan sia-sia tanpa manfaat, firman Allah yang bermaksud:
“ Dan demi satu jiwa yang menciptakannya. Lalu menunjukan kepada jiwa jalan kejahatan dan kebaikan. Sesungguhnya berbahagialah orang yang membersihkan diri, dan celakalah orang yang menipu Dia.”
(Asy-Syams :7 – 10)

Ummi dan abah amat berbangga anak-anak ummi telah berjaya memasuki menara gading, tetapi di hati ini amat bimbang jika di U anak-anak ummi hilang nilai-nilai yang sebenar kehidupan kita... muhasabah terus muhasabah...

Kenangan bersama along


Bersama angah


Bersama acik

Kita sebagai hamba Allah Swt tidak boleh melemparkan pertanyaan2 ini tentang:

- Mengapa Allah menciptakan manusia dengan mempunyai fitrah kemampuan yang terbatas?
- Mengapa fitrah manusia (yang terbatas ini) diberi fungsi dan tugas, tidak dibiarkan saja agar menerima taqdir dari Allah Swt?
- Mengapa Allah menurunkan agama sebagai peraturan hidup bagi manusia dan mengapa keberhasilan berlakunya dipengaruhi oleh kemampuan jiwa serta lingkungan yang membatasinya?
- Mengapa Allah Swt tidak menentukan saja agar peraturan hidup (agama)diberlakukan dengan kehendak dan kekuasaanNya, tidak harus dengan adanya sebab yang mendahuluinya?

Kita sebagai manusia mesti dapat menggali hikmah Allah untuk mengatur perjalanan hidup kita dan menyedari akan adanya takdir dariNya. Akibat dari ini jiwa manusia akan tunduk dan terbentuk oleh hikmah dan takdir Allah sesudah mendapatkan pemahaman yang benar.

Marilah anak-anak kita tampil berjihad melawan kelemahan dan kemalasan serta berjihad melawan dorongan hawa nafsu yang suka menentang jalan yang benar. Dengan usaha-usaha ini, maka peraturan Allah akan dapat dilaksanakan dan berjalan dalam diri kita.

Oleh itu anak-anak, iman itu tidak akan sempurna di dalam hati seseorang, apabila tidak ada usaha yang sungguh-sungguh dalam menghadapi tentangan di tengah-tengah masyarakat , dalam erti membenci kebathilan dan kebodohan mereka, serta bertekad merubah keadaan mereka kea rah kebenaran yang sesuai dengan ajaran Islam.

Akhir sekali marilah kita doakan roh Dalam Jiwa hamba ini sentiasa segar dan mendapat kerahmatan di alam sana.

Ya Allah kau ampuni dosa-dosa kami dan anakku Muhammad ‘Ammar dan kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal dan jadikan kubur-kubur mereka seluas-luas taman syurga Mu, Ya Allah.

Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para Sahabat Baginda semuanya.

Ameen, ameen, ameen…ya Rabbul'alamin.

Wallahu'alam.

 

Assalammualaikum semua, mudah2an dilindungi Allah dan diberikan kekuatan iman dan dalam rahmatNya hendaknya. Syukur kehadrat Illahi dengan nikmat Nya kita dapat hidup aman dan damai di dunia ini, tidak seperti sahabat2 kita di Palestin yang berada dalam keadaan daif pada pandangan kita, tapi iman mereka mungkin sebaliknya.

Hari ini merupakan genap setahun anakanda ‘Ammar telah kembali ke hadrat Illahi yang dia telah merasai segala-galanya apa yang dijanjikan Allah dan beliau telah merasai bagaimana malam pertama di alam kubur. Yang telah pergi tetap pergi meninggalkan kita walau pun kita tidak mahu berpisah dgnnya, pokoknya apakah persediaan diri yang telah dilakukan untuk kembali kepada Allah. Bila seorang anak Adam meninggal dunia bukan kita sedih atas apa yang dia tinggalkan di dunia ini tetapi dalam fikiran kita apa yang dia bawa “bekal” untuk dipersembahkan nanti setelah kedatangan malaikat.



Inilah tempat kita semua akan dikembalikan, so dah ada rumah besar-besar nanti janganlah kita lupa "rumah" ini kerana inilah tempat kita sebelum dibangkitkan semula.

Masuk saja bulan Jun sekali lagi ummi dikejutkan dengan kematian seorang remaja berusia 19 tahun, anak seorang shbt ummi yang juga lepasan Matri. Selang 3 hari kemudian dikejutkan lagi kematian 3 orang remaja adik-beradik yang berusia 22, 20 dan 14 tahun yang juga terlibat dalam kemalangan yang ada juga persaudaraan dengan ummi. Mereka dikebumikan dalam satu liang, juga di tanah perkuburan Taman Bertam Indah yang berdekatan dengan pusara arwah ‘Ammar.


“ Ya Allah kau ampuni mereka dan jadikan kubur mereka seluas-luas taman syurgaMu dan tempatkan mereka dikalangan orang-orang beriman.”

Dengan kematian ini, seorang hamba keluar dari dunia menuju syurga atau neraka. Tidak ada yang harus dikhuatirkan dalam kematian. Ia adalah pintu yang setiap seorang akan pasti akan memasukinya. Tetapi yang menjadi persoalan, apakah yang terjadi selepas kematian? Persoalannya apakah persediaan kita untuk kembali kepada Allah?



Inilah pusara arwah 'Ammar genap 1 tahun, dengan kunjungan ke pusara ini menyebabkan hati ini rasa lebih sensitif akan kematian, benarlah kematian adalah sebaik-baik peringatan...

Oleh itu ummi ingin memperingati diri sendiri dan semua, marilah kita hidup di dunia seperti jiwa-jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat, sehingga kita merasai hidup akhirat ini sebenar-benar kehidupan dan berusaha menjadi insan yang bertakwa.

Firman Allah dalam surah An-Nahl yang bermaksud:

“Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan". Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa." (30)

Mengimbas kembali kehidupan anakanda ‘Ammar yang usianya lebihkurang 20 tahun 10 bulan 16 hari (27 Julai 1988 – 11 Jun 2009)

Kelahiran nya telah diceritakan dalam post blognya pada bulan julai

Beliau telah dibesarkan di Pulau Pinang sehingga pada Jun 1990, selepas itu kami sekeluarga telah dipindahkan ke USM, Kelantan. Banyak kebaikan yang ummi dapat melalui kehidupan di Kelantan ini, kerana banyak sekolah rendah dan tadika yang lebih islamik boleh di dapati dengan mudah. Alhamadullilah, ummi telah menyerahkan kepada sahabat ummi untuk menjaga mereka (Mizjana) dan beliau telah didedahkan sejak kecil lagi kecintaan kepada Allah Taala dan kelebihan Rasullulah saw dan konsep keimanan.



Gambar kenangan arwah ketika berusia 1 tahun 10 bulan

Alhamdullilah, Allah beri peluang untuk ummi mengikuti model lengkap kursus Ibubapa Efektif (Parenting). Dari sini konsep yang dipelajari di aplikasikan dengan bersungguh2 (anak sulungkan) dan pengharapan yang tinggi diletakan untuk beliau mencapai tahap akhlak (http://kalam-puncak.blogspot.com/2008/08/sebuah-rumah-syaksiah.html), iman dan akademik yang tertinggi. Teringat lagi kata-kata shbt ummi “ Dia ni, nakkan anak dia dapat semua yang terbaik.” Ummi pun menjawab: “Insyaallah, kerana dia merupakan anak sulung yang mana akan menjadi contoh kepada adik-adiknya nanti.”





Bila teringat perbualan ini kembali, rasa sebak juga dan bersyukur kepada Allah yang telah memenuhi cita-cita seorang ibu ini yang cita-citanya sangat tinggi, ya Alhamdullilah memang benar dia benar-benar menjadi idola adik-adiknya selain meletakan Allah dan Rasul sebagai ikutan.



Mula-mula memang berhajat menghantar beliau di sekaloh Maahad Tahfiz Pulau Chondong, tetapi beliau tidak berjaya kerana bilangan pelajar diperlukan kalau tak silap hanya 30 orang dan bukan anak Kelantan hanya 1 kuota, maka beliau telah gagal. Takdir Allah lebih baik di aturkan maka beliau telah di hantar belajar ke Matri.

Berikut adalah gambar-gambarnya semasa di Matri, Alhamdullilah di sinilah bermulanya pembentukan akhlak dan ilmunya terhadap deen.







Perjumpaan ibubapa dan guru

Sejak kegagalan masuk ke situ, ummi telah tanamkan semangat kepada dia supaya belajar sungguh-sungguh suatu hari nanti along mesti masuk Darul Quran (DQ). Akhirnya alhamdullilah dia berjaya masuk DQ hanya selama 6 bulan sahaja kerana dapat tawaran ke Mesir.



Kenangan di DQ



Di Mesir

Alhamdullilah masanya hanya dihabiskan menuntut ilmu tanpa kerehatan yang panjang seolah-olah beliau tahu umurnya tidak panjang.

Memang kehidupan kita di dunia ini di janjikan oleh Allah dalam kesusahan seperti firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).”

(Surah Al-Balad: ayat 4)

Mudah-mudahan kematian ini membuka minda kita supaya sedar dan sentiasa beringat bahawa kematian boleh datang bila-bila saja.



Marilah kita hadiahkan al-fatihah untuk anakanda dan mudah-mudahan Allah tempatkanya bersama orang-orang beriman dan beramal soleh.

Ameen, Ya Allah.

Wallahu'alam.

 

Alhamdullilah, Tahniah LL4Gaza!!!



Sebenarnya ummi tak nak komen panjang2 sebab semua dah tahu tapi ummi pun ingin meninggalkan sesuatu di sini dan menyampaikan hasrat hati setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Taala dan kegembiraan yang teramat sangat kerana nasib Palestin telah kembali berada di hati penduduk dunia tidak tertinggal negara kita Malaysia yang mengadakan poster(Kami bersamamu Palestin di TV1). Ini satu petanda yang amat baik, Allah hendak kita berusaha maka Allah akan membantu kita semua, insyaAllah.



Walaupun kapal Mavi Marmara tidak mampu menyampaikan muatan di dalamnya ke Gaza tetapi Alhamdullilah hakikatnya mereka telah berjaya menyampaikan mesej yang sebenarnya. Tahniah kepada Turki kerana usaha mereka yang bersungguh-sungguh dan kekuatan yang Allah berikan dan juga semua sukarelawan Malaysia dan seluruh dunia yang berada di kapal ini. Mereka sebenarnya wira yang telah membuka laluan untuk misi ini, Allahuakbar!!!



Mengenangkan di blog dalam jiwa hamba ini 2 post anakanda yang terahkir adalah mengenai Palestin, oleh itu ummi amat berbangga dgn beliau walaupun beliau tidak sempat melihat misi ini yang beliau harapkan terhadap pembelaan dan bantuan terhadap rakyat Palestin, tapi sekurang2nya ummi cuba menyambung apa yg beliau amat hajati akan berlaku.

Marilah kita semua terus lontarkan doa dan solat hajat akan kejayaan misi ini tanpa jemu sehinggga kejayaan dan pembebasan Palestin dari cengkaman Israel laknatullah...