Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.
Showing posts with label Keraian. Show all posts
Showing posts with label Keraian. Show all posts

Hijrah Yang Bukan Tahunan

Posted In: , , , . By Kalam Puncak

Sedar tak sedar, hari ini sudah tanggal 30 Zulhijjah tahun 1429 hijrah. Sebenarnya, bukan tak sedar. Tak tahu pun. Masakan tidak, kesan globalisasi dan hentaman arus manusia yang berkiblatkan barat, kita lupa akan tahun Hijriah yang menjadi lambing warisan Islam.

Rupa-rupanya dah 1429 sejarah hijrah Nabi Muhammad S.A.W. berlalu. Dan tika ini, kita masih tidak pernah tahu secara terperinci seerah agung ini.

Saya bukan mahu cerita panjang-panjang akan seerah hijrah Rasulullah dan Abu Bakar. Cuma menghidangkan ibrah yang boleh kita kaji dan lihat, lalu dihadam dalam sedar, supaya yang lahir dari pembawaan peristiwa ini adalah kehendak diri untuk berubah dan melaksanakan pengorbanan.

Sudah terbukti Hijrah nabi membawa kesan yang amat besar kepada penyebaran Islam. Ia merubah pola dan rentak perjalanan Dakwah Islamiyah. Bagaimana kita melihat selama 13 tahun dakwah Rasulullah di Mekah yang mendapat tentangan yang cukup hebat, akhirnya Negara Islam pertama tertubuh di Bumi Madinah. Kesan dari kehendak untuk melakukan perubahan dan kesanggupan untuk melakukan tugas berat, Islam akhinya menyinar di seluruh alam.

Benar, nabi itu bukan orang biasa. Baginda manusia agung. Iman Rasulullah tiada taranya. Namun, apakah secebis pengorbanan daripada Rasulullah untuk setapak melakukan perubahan tiada mampu untuk kita titipkan?

Apakah kita hanya berani berubah bila ada sogokan?

Adakah yang kita tunggu adalah semua manusia itu mahu berubah, baru kita mahu berubah?

Jika itu yang ditunggu, tidak cukupkah sogokan kebaikan dari Tuhanmu atas anjakan Iman yang anda lakukan? Ataupun tidak cukupkah contoh-contoh mereka yang menjumpai bahagia dalam pertemuan mereka dengan hidayah Allah?

“Wahai orang-orang yang beriman , Adakah kamu suka Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.”
As-Sof : 10-11
PERUBAHAN DAN PERANCANGAN

Maka rancanglah perubahan anda demi diri anda sendiri. Tiada yang mendapat manfaat yang paling banyak apabila kebaikan yang dilakukan melainkan diri kita sendiri. Hijrah nabi menyaksikan betapa telitinya Nabi merancang. Bermula dengan bantuan Allah untuk keluar dari rumah baginda, Rasulullah dan sahabat karibnya, Abu Bakar meneruskan perjalanan ke selatan, mengarah ke Yaman. Walhal, Madinah itu di utara Mekah ia terletak.

Seterusnya, dengan persembunyian di Gua Tsur, pembahagian tugas kepada individu-individu tertentu, penghantaran utusan Nabi ke Madinah iaitu Musab Bin Umair sebelum peristiwa Hijrah berlaku, memberikan gambaran bahawa perubahan yang hendak dilakukan itu seharusnya didahului dengan perancangan yang rapi.

Kita selaku pelajar-pelajar memang menjadi satu kemestian untuk merancang perjalanan akademik kita. Diatur satu-satu, daripada ijazahnya di mana, sambung ijazah dalam bidang mana, malah ada yang sudah merancang kerjaya masing-masing. Itu belum lihat lagi, jadual studi harian, nota-nota yang dalam waiting list untuk dibaca, tempelan-tempelan nota dalam bilik dan macam-macam lagi.

Namun, pernahkan kita merancang perjalanan hidup kita sebagai seorang hamba Tuhan? Berapa juzuk Quran mahu dibaca, bila mahu mula istiqamah dengan qiamulail, mingguan ziarah kawan-kawan, berapa kali solat jamaah di surau, ataupun bahan bacaan tambahan ilmiah. Harus diingati yang dipersoalkan Allah nanti adalah sejauh mana kita mempersembahkan diri kita sebagai hamba Allah. Kerjaya doktor itu hanyalah alat kita mencapai tahap perhambaan yang dimuliakan Allah disisiNya.

Saya ulangi, doktor itu alat untuk menyelami jiwa perhambaan kepada Allah! Gunakanlah ia sebaiknya!

MEREKA YANG MERASAI DERITA

Tidak jauh dari kita di bumi Mesir ini, saudara-saudara kita di Palestin masih dirundung malang di bumi sendiri. Pedih derita mereka tidak pernah hilang sejak puluhan tahun dahulu. Terkini, mereka dihujani dengan serangan udara bertalu-talu yang setakat ini(pada 28 Disember 2008) meragut 280 nyawa dan mencederakan hampir 600 orang dalam masa 2 hari serangan Zionis laknatullah.


Klip video liputan Al-Jazeera di Palestin

Dalam dingin angin musim sejuk mereka diuji. Tidak cukup dengan embargo besar-besaran, keputusan bekalan elektrik, serta sekatan ekonomi, Palestin dijadikan sasaran untuk menunjukkan belang keangkuhan golongan Yahudi sialan. Kerana tidak mahu tunduk dengan desakan Israel, mereka menjadi mangsa. Akan tetapi, di mana kita dalam hal ini? Moga tahun baru yang bakal menjelang, menaikkan sensitiviti kita dalam derita umat sendiri.

Umat yang dimaksudkan bukan umat warna kulit atau tanah air. Tetapi, umat yang punya Ghayah yang sama, I’tiqad yang sama. Atas Iman yang sama, kita punya persamaan.

Saya masih ingat cerita sahabat saya, ada temannya yang bersungguh untuk turut merasa derita suadara-saudara di Palestin di dalam musim sejuk. Tiada beju tebal untuk menyarung tubuh, tiada kain bulu untuk berselimut. Teman sahabat saya ini, sanggup untuk tidur di atas lantai tanpa Saratoga(selimut tebal edisi Mesir) hanya kerna mahu berkongsi derita mereka. Moga Allah berkati beliau.

Pilu di bumi Al-Quds seolah-olah tanpa kesudahan. Gambar dari Berita Harian

Azam baru ini, bukan azam tahunan malah harian. Diperbaharui dan diperingatkan saban waktu agar tidak lupa. Moga roh Hijrah ini bersemarak saban waktu, tiap ketika.

Selamat datang 1430..selamat menjengah 2009.

 

Masih Ada Waktu

Posted In: , . By Kalam Puncak

Sedikit rasa kekesalan terpalit pada diri. Saya berkira-kira perjalanan Ramadhan saya kali ini, jauh bezanya. Kalau Ramadhan itu orang, serasa saya dia akan malu pada si Ramadhan tahun lepas. Oh, seharusnya saya malu pada diri saya sendiri.

Jika diimbau tahun lalu, saya melalui Ramadhan dalam kondisi yang betul-betul eager untuk memanfaatkannya semaksima mungkin. Mungkin kerana di Mesir, Ramadhan disambut dengan meriah dan penghayatannya begitu mendalam di kalangan masyarakat.

Bermula daripada tarawih, saya sendiri ghairah ke sana sini merasai nikmat solat di masjid famous sekitar Kaherah. Dari Masjid Amru di Misr Al-Qadimah ke Masjid Sayeda Zainab. Pernah bertandang ke Masjid Fatimah di Abbas Aqqad, Masjid El-Fath di Tahrir juga ke Masjid Salam di Hayyu El-Asyer. Kadang-kadang ke Majid Pasha di Manyal dan Masjid Azhar di Husein. Ditawaf masjid-masjid ini, menghayati bacaan para imam. Saya terlepas peluang untuk ke Masjid Rawwas di Abu Rish yang dikata orang enak dan sayu bacaan imamnya.

Sungguh mudah juga untuk melihat orang membaca Al-Quran. Di dalam tremco, metro di perhentian bas, apatah lagi di masjid-masjid, bahkan tidak keterlaluan dikatakan di mana-mana sahaja ada yang memegang Al-Quran. Wujud suasana berlumba-lumba untuk membacanya. Tambahan pula, orang-orang Arab, secara automatik menjadi baik. Seolah-olah disuluh cahaya Ramadhan yang basah dengan iman. Anda akan dapati mereka akan mudah mendoakan kita, memberi juadah berbuka puasa dan banyak juga hadiah akan diperolehi.

Iftar Jamaie

Di jalan-jalan akan direntangkan banner-banner meraikan Ramadhan. Merentangi blok-blok rumah dari kiri ke kanan, penuh di jalanan. Tambahan pula, jualang tanglung-tanglung Ramadhan yang seakan-akan mewarnai kota Mesir yang serba koko ini. Ada juga didirikan khemah-khemah untuk hidangan berbuka puasa dikenali sebagai Maidah Rahman yang akan penuh dengan marhaen tak kira bertaraf sederhana juga miskin serta masyarakat pelajar yang sememangnya bermalasan untuk masak.

Pendek kata, meriahnya Ramadhan di Mesir kerana Ramadhannya sendiri. Tetapi di Malaysia, meriahnya Ramadhan kerana persepsi masyarakat kita yang merayakan Eidul Fitri lebih dari Ramadhan.

Yang penuh, bazar Ramadhan dan shopping complex. Masjid penuh di awal Ramadhan sahaja, itupun setakat 8 raka'at.

Oh, rindunya Ramadhan di Mesir.

Rindu benar untuk Qiamullail di Masjid Amru. Bayangkan ramainya manusia hinggakan pada jam 3 pagi, akan bersesakan orang untuk menggunakan tandas seolah-olah pada waktu itu solat Jumaat! Walaupun puluhan tandas tersedia tapi ia tetap tidak mampu menampung hampir ribuan jemaah yang hadir terutama di penghujung Ramadhan.


Tanyalah mereka yang pernah berada di Mesir pada bulan Ramadhan. Apa istimewanya malam ke 27. Kalau mendirikan Terawih pada malam 27 anda terpaksa hadir selepas asar untuk mendapatkan tempat di dalam masjid. Jika tidak, anda terpaksa solat di bawah bumbungan langit malam. Kedatangan Syekh Jibril sebagai imam ditunggu-tunggu oleh masyarakat Mesir. Walaupun doa Qunutnya dibaca selama lebih sejam, tapi itulah yang melahirkan rasa keinsafan dan lahirnya kesungguhan untuk beramal. Semuanya berebut untuk mendapatkan ganjaran Ramadhan yang tidak ada pada bulan lain.

Kalau ikutkan hati, terasa enggan pulang ke Malaysia pada Ramadhan. Peluang meraikan Ramadhan di Mesir tidak datang selalu. Rugi rasanya tidak diraih peluang ini sebaiknya.

Lailalatul Qadr dalam buruan.

Tinggal 6 hari lagi berbaki. Masih ada waktu untuk mara lebih laju. Peluang meraih Lailatul Qadr masih ada.
"Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan. Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh)."
Al-Qadr; 1-5
Bak kata Taqeyyabella, "Jom cari lailatul qadar sape jumpe dia menang!!"

 

Badar Al-Kubro

Posted In: , . By Kalam Puncak

Hari ini hari yang benar-benar bersejarah bagi umat Islam. Malah ia merupakan turning point kejayaan Islam.

Hari ini tanggal 17 Ramadhan. Ulang tahun Badar Al-Kubro. Besar peristiwa ini dalam sirah kebangkitan Islam dan seharusnya diteliti oleh seluruh muslimin dan diambil inti patinya secara praktikal.

Mari kita soroti entri Roslan SMS berkenaan Badar Al-Kubro. Cukup berisi;

Kemenangan Badar yang ditunggu-tunggu

Esok 17 Ramadhan adalah hari Peperangan Badar, hari dimana Rasulullah saw mengetuai 313 orang sahabat untuk bertempur dengan lebih 1,000 orang musyrikin Mekah untuk mempertahankan aqidah Islam dan survival ummah. Badar berakhir dengan kemenangan buat Islam, Badar menyaksikan betapa saf Islam yang dipimpin Rasulullah dengan dinaungi pertolongan Allah swt telah mencapai kemenangan besar sehingga menundukkan musuh-musuh Allah, dan menyuburkan bumi Islam untuk berkembang luas.

Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang merakamkan di dalam kitabnya “Fiqh al Harakah dari Sirah Nabawiyyah”:

Peperangan Badar telah mempamirkan secara praktikal keteguhan iman para sahabat, satu tanzim yangs angat baik dan jihad yang penuh pengorbanan

Dan menurut Tuan Guru lagi antara pengajaran yang boleh dipetik dari peristiwan Peperangan Badar ini adalah bahawa:

Para Mujahid Islam berperang dengan penuh keimanan dan bersedia mengorbankan apa sahaja. Semua tugas dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dan berlumba-lumba mengerjakan amal salih tanpa terasa dipaksa.

Alangkah bertuahnya kita dalam gerakan Islam hari ini kiranya semangat dan pengorbanan Badar itu bersarang dalam hati kita masing-masing. Dizaman yang penuh mehnah dan pancaroba ini sudah pastilah kemenangan Badar sangat kita tunggu-tunggu dan nanti-nantikan. Badar membuktikan ketaatan para sahabat kepada Rasulullah selaku pemimpin dan kecintaan serta keimanan menebal terhadap Allah swt.

Di dalam kitanya itu Tuan Guru merakamkan:

Seorang sahabat yang bernama Auf bin Harith bin al Ghafra berkata (kepada Rasulullah saw): “Apakah perkara yang menggembirakan Tuhan apabila dilakukan oleh hambanya?” Rasulullah saw bersabda: “Mengeluarkan tangan menghadapi musuh dengan terbuka”.

Apabila mendengar jawapan Rasulullah beliau terus membuang perisainya dan mengambil pedang memerangi musuh sehingga gugur syahid (Allahuakbar!)

Arahan Rasulullah saw supaya menyerang musuh dilaksanakan dengan penuh keimanan.

Dalam ketiadaan Rasulullah saw, maka kepimpinan digalas pula oleh para ulamak, yang sewajarnya memimpin dengan tidak lekang jiwa dan semanagat serta komitmen mereka terhadap perjuangan suci ini. Segala tutur, fikir dan geraknya mestilah berpandukan al Quran dan Sunnah, sebagaimana yang diwarisi dari Rasulullah saw. Kita yang pasca Badar ini perlukan panduan, dorongan dan suntikan semangat dari mereka kerana medan tempur kita hari ini semakin luas dan gawat, jika tidak kita berhati-hati kita pasti tewas dan tergelincir sebelum bertempur.

Juga esok 17 Ramadhan dikenali dalam kalendar Islam sebagai Hari Nuzul Quran, esok menurut lipatan sirah adalah hari dimana al Quran diturunkan kepada Baginda Rasulullah saw di Gua Hira’ untuk disampaikan kepada umat manusia, bukan untuk sekadar dibaca dan disimpan di rak atau peti kaca, tetapi ia untuk dilaksanakan dijadikan hukum tertinggi untuk menyusan kehidupan masyarakat dan Negara.

Betapa indahnya jalinan Nuzul Quran dan Badar ini bagi kita yang berjuang menegakkan kalimah Allah swt ini. Quran inilah hukum tertinggi kita, kerana Quran inilah kita tegak berjuang pada hari ini, dan Badar adalah contoh komitmen dan kesediaan kita untuk berjuang mempertahankan al Quran ini walau apa yang bakal berlaku ke atas diri kita.

Benarlah firman Allah swt:

Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengans seribu malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya, dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah,s esungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Ayuh kita menuntut kemenangan sebenar sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya itu.

P/S: Entri ini dipos semalam dalam blognya. Kredit untuk beliau.

 

Rahmah Sudah Nak Berlalu

Posted In: . By Kalam Puncak


Yang jalan lenggang-lenggang
lincahkan melangkah
Yang naik basikal, tukar naik motor
takpun motokar
Yang guna gear 1, jangan tunggu-tunggu
naikkan gear
Biar sampai gear 10 pun tak apa
janji jangan turun balik

Ramadhan berlalu dah 10 hari
Perhebat amalan perkayakan kebaikan
Moga title celaka tak terlekat
di tubuh


Allahu Akbar, cabaran puasa di Malaysia..
tak terasa Ramadhan
tak semeriah di Mesir

 

Laungkan Slogan

Posted In: , . By Kalam Puncak

Berapa hari ya? Eh, ya Allah! Sudah 11 hari.

11 hari Dalam Jiwa Hamba dibiarkan berdebu. Maaflah aku oh Dalam Jiwa Hamba. Tak sempat hendak ceriakan dirimu sepanjang perkelanaan ini.

Harus diceritakan di sini, saya sebernarnya 11 hari tidak pulang ke rumah. Merantau dari rumah turun ke KL. Kemudian melintang sambil mendaki, langsung ke Kuala Terengganu. 2 hari di sana, kembara diteruskan ke Kelantan.

Alhamdulillah, walau ribuan duit dihabiskan, walau dalam kepenatan berpuasa saya bermusafir, walau hari pertama Ramadhan berbuka di rumah orang, walau terpaksa beberapa kali terawih di dalam bas, namun saya puas. Bertemu puluhan teman, juga mengutip mutiara berharga dari mereka.

Terima kasih sahabat-sahabat, pakcik makcik, kawan-kawan dan mereka yang mudahkan urusan musafir saya. Moga Allah ganjari jasa baik kalian serta gandakan dalam berkah Ramadhan ini.

YA RAMADHAN

Rupa-rupanya sekejap saja masa berlalu. Ramadhan yang lalu rasanya baru bertemu seketika lalu. Sedar-sedar hari ini sudah masuk hari kelapan kita berpuasa. Allahu Akbar! Apa yang sudah aku lakukan untuk Ramadhan ini?


Ramadhan ini datangnya dalam pakej. Kalau sudah datang dalam pakej tidak boleh hanya diambil satu tinggal yang lain. Hasilnya tidak setimpal. Impaknya tidak maksima.

Hari itu, di Pertama Kompleks, ketika lama menunggu henset dibaiki, si Cina itu suruh pergi minum dulu. Balas Sahel, "tak boleh la tokei, puase la."

"Oh ya ka, sori..sori. You puase penoh ka? Kasi tahu betul-betul".

"Ya la, kami olang baek-baek ma, tarak tinggal-tinggal".

"Bagus la, tapi you tak boleh tahan makan saja, you kena puase mate skali oo".

Kalau si cina tahu Ramadhan ini datang dalam pakej, apakah si Melayu Islam tidak sedar akan hal ini?

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka dia akan diampuni dosanya yang terdahulu"
(HR. Bukhari – Muslim)
LAUNGAN IHYA RAMADHAN

Ayuh kita laungkan slogan 'Ihya Ramadhan'. Perjuangkan ini dalam sebulan tempoh berkampung di dalam Madrasah Ramadhan. Kalau dalam PKR slogan 'REFORMASI' manakala dalam UMNO dengan 'HIDUP UMNO' telah menjadi pembakar semangat mereka untuk terus berjuang, maka semarakkanlah syu'ur kita dengan rasa penuh keimanan untuk terus bermujahadah dalam Ramadhan.

Laungkanlah dengan nada kamu sendiri. 'IHYA RAMADHAN'! 'IHYA RAMADHAN'! 'IHYA RAMADHAN'!
Ramadhan - Ramli Sarip

 

Belengu Jajahan

Posted In: , . By Kalam Puncak

Rupa-rupannya memang tempat kita menulis mempengaruhi karya kita. Saya memang tidak berapa percaya. Tapi sejak saya pulang ke Malaysia, saya rasa pendapat ini berasas.

Saya sendiri untuk meneruskan penulisan dalam blog ini agak kontang idea. Mungkin di Mesir, apabila kerap mendampingi kelas-kelas tafaqquh, juga melazimi pembacaan buku serta blog, ada saja yang terlintas untuk disampaikan. Patutlah Faisal Tehrani apabila menulis Bedar Sukma Bisu, sebahagian besar masanya dihabiskan di Chiang Mai. Ada mood, kata orang.

Tak apalah, tulis sahaja kalampuncak. Kalau ada manfaatnya, moga sahabat yang lain peroleh tempias hujan manfaat.

Sedikit semperna MERDEKA

****
MERDEKA

51 tahun usianya. Apa kata orang? Merdeka?

Ish, merdeka yang masih jauh. Kalau hanya bumi bertuah Malaysia ini, bebas secara rasmi dari cengkaman kapitalisme British 31 Ogos 1957, tapi belenggu sekularisme serta bahana nasionalisme ganas membaham jiwa dan pemikiran anak bangsa, khasnya yang Muslim, jangan bilang inilah kemerdekaan yang kita agung-agungkan.

Juga kalau diri ini terasa masih terus merdeka tanpa ada rasa perhambaan dan ketundukan pada Rabbu Jalil, kalianlah yang pada malam 31 Ogos nanti akan terjerit-jerit seperti lagak manusia bodoh kerana tidak memahami erti kata merdeka yang sebenarnya!

Pada teman-teman sekalian, selamilah rasa merdeka ini dengan rasa perhambaan pada Tuhanmu. Dengan itu, kalian menjadi mulia. Mulia di sisi Rabbi.

 

Cerita Malam Ajaib

Posted In: , . By Kalam Puncak


Kala sedih Nabi bersulam duka
Dek hilang tempat kongsi segala rasa
Sang isteri si peneman hidup
Juga paman penjaga setia

Buat penawar tahun yang lara
Utusan Allah datang menjengah
Undang Nabi menunggang bura'
Nun ke Aqsa pergi tak lengah

Bumi Isra dijejak nabi
Kiblat pertama seluruh umat
Dihidang Nabi arak dan susu
Apakah ujian atau santapan tetamu?

Lalu terpilih susu jadi minuman
Ujar Jibril;
"Sesungguhnya engkau telah memilih fitrah".

Ke Sidratul Muntaha nabi diangkat
Habis dijengah segala syurga
Disambut mesra para rasul
Sanjugan buat Imam para Umat

Ditatap pula neraka akhirat
Seksa segala seksa
Azab segala azab
Buat sempadan mereka yang alpa

Lalu ke Gusti Allah dibawa menghadap
Tuntutan solat diperturun
Dipandu Musa rakaat termampu
Dari lima puluh junam ke lima
Yang lima ini pun cicir tak sudah

Akhir kembara Nabi malam itu
Esok dikisahkan pada umat
Isra Misraj hanya sehari
Penyaring terbaik Iman umat

Bagi yang benar Iman
Dibenarkan
Bagi yang ragu-ragu
Hilang percaya.
"Mahasuci (Allah), yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat".
Al-Isra; 1
P/S: Percubaan membuat puisi. Akhirnya cacamerba ini yang tertulis. Tak apa yang penting substances. Moga Isra' Mikraj ini jadi penambah bekal taqwa juga pengikat lilitan utuh iman.

 

Hari Itu

Posted In: . By Kalam Puncak

Hari Rabu, tanggal 27 Julai 1988, dia telah selamat diputerakan. Kelahirannya disambut dengan laungan azan zohor tepat jam 1.25 petang. Wad Bersalin, Hospital Besar Pulau Pinang menjadi tempat berlakunya peristiwa bersejarah ini.

Si dia sewaktu masih tidak reti merangkak lagi

Tanda-tanda kenakalan terpancar

Dia dibesarkan dengan penuh penuh kasih sayang tanpa mengharapkan timbal balik oleh kedua ummi dan abahnya. Cuma satu sahaja. Saham mereka tatkala terpisah sudah roh dari jasad. Kerna itu, curahan kasih sayang tidak pernah henti. Baik dengan kayu rotannya, cubit geramnya, penyangkut bajunya, tapak tamparannya atau jerkahnya. Semua itu tanda sayang. Agar yang bengkok itu kembali lurus.

Ummi dan abah yang buat-buat tak tahu gambar mereka sedang dipukul

Bangun saja tidur awal pagi semalam, inbox terisi dengan mesej dari Ummi. Bunyinya begini;
"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke 20. Mudah2an angka 2 menyebabkan along lebih matang dalam iman dan takwa"
Oh, bahagia. Yang pertama ucapkan. Yang kedua angah dan yang ketiga Fayyadh. Hehehe.

Si dia itu adalah saya. Saya yang sibuk menghitung hari pulang ke bumi Malaysia. Tak terbendung rasanya rindu ini pada mereka. Sudah tidak sabar-sabar lagi rasanya.

Bersama-sama kita menuju ke daerah hakiki. Moga berada dalam lembayung rahmahnya.

Terima kasih kepada Ummi dan Abah. Moga Allah mengganjari segala bakti dalam asuh didikku. Tak terbalas olehku anak yang hanya tahu susahkan Ummi dan Abah. Juga adik-adikku, moga bersama kita buru gelaran anak soleh itu.

Sahabat-sahabatku yang bersama-sama kita kongsi nikmat Tarbiyah ini, moga kalian Allah tsabatkan jiwa dan hati kalian atas jalan ini. Teman-teman dan rakan-rakan, moga perkenalan dan pertemuan kita tiada yang lain mengurniakan keredhaan kecuali keredhaanNya.

Moga hidup lebih bererti dalam jiwa hamba!