Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.
Showing posts with label Semasa. Show all posts
Showing posts with label Semasa. Show all posts

Hijrah Yang Bukan Tahunan

Posted In: , , , . By Kalam Puncak

Sedar tak sedar, hari ini sudah tanggal 30 Zulhijjah tahun 1429 hijrah. Sebenarnya, bukan tak sedar. Tak tahu pun. Masakan tidak, kesan globalisasi dan hentaman arus manusia yang berkiblatkan barat, kita lupa akan tahun Hijriah yang menjadi lambing warisan Islam.

Rupa-rupanya dah 1429 sejarah hijrah Nabi Muhammad S.A.W. berlalu. Dan tika ini, kita masih tidak pernah tahu secara terperinci seerah agung ini.

Saya bukan mahu cerita panjang-panjang akan seerah hijrah Rasulullah dan Abu Bakar. Cuma menghidangkan ibrah yang boleh kita kaji dan lihat, lalu dihadam dalam sedar, supaya yang lahir dari pembawaan peristiwa ini adalah kehendak diri untuk berubah dan melaksanakan pengorbanan.

Sudah terbukti Hijrah nabi membawa kesan yang amat besar kepada penyebaran Islam. Ia merubah pola dan rentak perjalanan Dakwah Islamiyah. Bagaimana kita melihat selama 13 tahun dakwah Rasulullah di Mekah yang mendapat tentangan yang cukup hebat, akhirnya Negara Islam pertama tertubuh di Bumi Madinah. Kesan dari kehendak untuk melakukan perubahan dan kesanggupan untuk melakukan tugas berat, Islam akhinya menyinar di seluruh alam.

Benar, nabi itu bukan orang biasa. Baginda manusia agung. Iman Rasulullah tiada taranya. Namun, apakah secebis pengorbanan daripada Rasulullah untuk setapak melakukan perubahan tiada mampu untuk kita titipkan?

Apakah kita hanya berani berubah bila ada sogokan?

Adakah yang kita tunggu adalah semua manusia itu mahu berubah, baru kita mahu berubah?

Jika itu yang ditunggu, tidak cukupkah sogokan kebaikan dari Tuhanmu atas anjakan Iman yang anda lakukan? Ataupun tidak cukupkah contoh-contoh mereka yang menjumpai bahagia dalam pertemuan mereka dengan hidayah Allah?

“Wahai orang-orang yang beriman , Adakah kamu suka Aku tunjukkan kepadamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.”
As-Sof : 10-11
PERUBAHAN DAN PERANCANGAN

Maka rancanglah perubahan anda demi diri anda sendiri. Tiada yang mendapat manfaat yang paling banyak apabila kebaikan yang dilakukan melainkan diri kita sendiri. Hijrah nabi menyaksikan betapa telitinya Nabi merancang. Bermula dengan bantuan Allah untuk keluar dari rumah baginda, Rasulullah dan sahabat karibnya, Abu Bakar meneruskan perjalanan ke selatan, mengarah ke Yaman. Walhal, Madinah itu di utara Mekah ia terletak.

Seterusnya, dengan persembunyian di Gua Tsur, pembahagian tugas kepada individu-individu tertentu, penghantaran utusan Nabi ke Madinah iaitu Musab Bin Umair sebelum peristiwa Hijrah berlaku, memberikan gambaran bahawa perubahan yang hendak dilakukan itu seharusnya didahului dengan perancangan yang rapi.

Kita selaku pelajar-pelajar memang menjadi satu kemestian untuk merancang perjalanan akademik kita. Diatur satu-satu, daripada ijazahnya di mana, sambung ijazah dalam bidang mana, malah ada yang sudah merancang kerjaya masing-masing. Itu belum lihat lagi, jadual studi harian, nota-nota yang dalam waiting list untuk dibaca, tempelan-tempelan nota dalam bilik dan macam-macam lagi.

Namun, pernahkan kita merancang perjalanan hidup kita sebagai seorang hamba Tuhan? Berapa juzuk Quran mahu dibaca, bila mahu mula istiqamah dengan qiamulail, mingguan ziarah kawan-kawan, berapa kali solat jamaah di surau, ataupun bahan bacaan tambahan ilmiah. Harus diingati yang dipersoalkan Allah nanti adalah sejauh mana kita mempersembahkan diri kita sebagai hamba Allah. Kerjaya doktor itu hanyalah alat kita mencapai tahap perhambaan yang dimuliakan Allah disisiNya.

Saya ulangi, doktor itu alat untuk menyelami jiwa perhambaan kepada Allah! Gunakanlah ia sebaiknya!

MEREKA YANG MERASAI DERITA

Tidak jauh dari kita di bumi Mesir ini, saudara-saudara kita di Palestin masih dirundung malang di bumi sendiri. Pedih derita mereka tidak pernah hilang sejak puluhan tahun dahulu. Terkini, mereka dihujani dengan serangan udara bertalu-talu yang setakat ini(pada 28 Disember 2008) meragut 280 nyawa dan mencederakan hampir 600 orang dalam masa 2 hari serangan Zionis laknatullah.


Klip video liputan Al-Jazeera di Palestin

Dalam dingin angin musim sejuk mereka diuji. Tidak cukup dengan embargo besar-besaran, keputusan bekalan elektrik, serta sekatan ekonomi, Palestin dijadikan sasaran untuk menunjukkan belang keangkuhan golongan Yahudi sialan. Kerana tidak mahu tunduk dengan desakan Israel, mereka menjadi mangsa. Akan tetapi, di mana kita dalam hal ini? Moga tahun baru yang bakal menjelang, menaikkan sensitiviti kita dalam derita umat sendiri.

Umat yang dimaksudkan bukan umat warna kulit atau tanah air. Tetapi, umat yang punya Ghayah yang sama, I’tiqad yang sama. Atas Iman yang sama, kita punya persamaan.

Saya masih ingat cerita sahabat saya, ada temannya yang bersungguh untuk turut merasa derita suadara-saudara di Palestin di dalam musim sejuk. Tiada beju tebal untuk menyarung tubuh, tiada kain bulu untuk berselimut. Teman sahabat saya ini, sanggup untuk tidur di atas lantai tanpa Saratoga(selimut tebal edisi Mesir) hanya kerna mahu berkongsi derita mereka. Moga Allah berkati beliau.

Pilu di bumi Al-Quds seolah-olah tanpa kesudahan. Gambar dari Berita Harian

Azam baru ini, bukan azam tahunan malah harian. Diperbaharui dan diperingatkan saban waktu agar tidak lupa. Moga roh Hijrah ini bersemarak saban waktu, tiap ketika.

Selamat datang 1430..selamat menjengah 2009.

 

Belengu Jajahan

Posted In: , . By Kalam Puncak

Rupa-rupannya memang tempat kita menulis mempengaruhi karya kita. Saya memang tidak berapa percaya. Tapi sejak saya pulang ke Malaysia, saya rasa pendapat ini berasas.

Saya sendiri untuk meneruskan penulisan dalam blog ini agak kontang idea. Mungkin di Mesir, apabila kerap mendampingi kelas-kelas tafaqquh, juga melazimi pembacaan buku serta blog, ada saja yang terlintas untuk disampaikan. Patutlah Faisal Tehrani apabila menulis Bedar Sukma Bisu, sebahagian besar masanya dihabiskan di Chiang Mai. Ada mood, kata orang.

Tak apalah, tulis sahaja kalampuncak. Kalau ada manfaatnya, moga sahabat yang lain peroleh tempias hujan manfaat.

Sedikit semperna MERDEKA

****
MERDEKA

51 tahun usianya. Apa kata orang? Merdeka?

Ish, merdeka yang masih jauh. Kalau hanya bumi bertuah Malaysia ini, bebas secara rasmi dari cengkaman kapitalisme British 31 Ogos 1957, tapi belenggu sekularisme serta bahana nasionalisme ganas membaham jiwa dan pemikiran anak bangsa, khasnya yang Muslim, jangan bilang inilah kemerdekaan yang kita agung-agungkan.

Juga kalau diri ini terasa masih terus merdeka tanpa ada rasa perhambaan dan ketundukan pada Rabbu Jalil, kalianlah yang pada malam 31 Ogos nanti akan terjerit-jerit seperti lagak manusia bodoh kerana tidak memahami erti kata merdeka yang sebenarnya!

Pada teman-teman sekalian, selamilah rasa merdeka ini dengan rasa perhambaan pada Tuhanmu. Dengan itu, kalian menjadi mulia. Mulia di sisi Rabbi.

 

P. 44

Posted In: , . By Kalam Puncak

Oh, begitu susah sekali rasanya untuk update. Saya berkira-kira untuk sentiasa kemas kini blog ini setiap 3 hari. Namun, atas sikap malas dan istiqamah yang masih tidak kukuh lagi, inilah akibatnya. Mujur saja tidak berhabuk.

Sekarang ini cuti 2 bulan saya. Juga cuti sekolah di Malaysia dan musim kenduri. Jemputan hingga 3 ke 4 kenduri sehari. Kalau sudah 8 saya ingat buleh celen Phelps. Tak lupa juga musim kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, kampung saya.

Saya ini bukan peminat tegar politik. Bukan jua pejuang barisan depan Anwar Ibrahim. Cuma bila orang sekeliling saya, termasuklah sepupu-sepupu, mak dan ayah saudara serta kerabat keluarga yang lain, dah semangat-semangat sangat, saya juga terpaksa ambil pusing.

Rasa masing-masing dah boleh agak suasana di sini. Cukup panas.

Kini, perang bendera sengit berlaku di kawasan P. 44 Permatang Pauh. Tak lupa dengan tertubuhnya bilik-bilik gerakan serta ceramah-ceramah. Hinggakan saya pun duk pulun datang ceramah DSAI.

Huhu, saya harap tak ada pembaca yang kata saya ini hard-core fan DSAI. Nak buat macam mana, kampung saya.

Saya cuba nak beli baju ini, tapi saiz saya sold-out. Design oleh AMK Kg Belah Dua.
Bahagian hadapan


Bahagian belakang

Cuma saya risau satu saja, bila dah kelam kabut ambil cakna tentang pilihanraya kecil ini lupa pula tentang persediaan Ramadhan yang tinggal tak berapa hari lagi. Kacau benar rasanya fokus menempuh Madrasah Tahunan ini.
"Ya Allah, sampaikan kepadaku Ramadhan!"

 

Tremco, Minyak Dan Rakyat

Posted In: . By Kalam Puncak

Terik mentari musim panas terasa pedih membakar kulit. Pijar rasanya. Kerap kali ulang alik dari Sayeda Zainab ke Hayyu Asyier menjadikan perjalanan terasa amat meletihkan.

Turut sama membebankan adalah kos pengangkutan yang bertambah. Masakan tidak. Kalau dulu tambang tremco Ghamra-Asyier hanya LE 1.25 sekarang sudah LE 1.50. Kalau ke Sabie dulu LE 1.00 kini LE 1.25. Kemudian sambung ke Asyier dulu LE 0.50 sekarang sudah LE 0.75. Itu belum dilihat lagi harga tambang bas pendek daripada LE 1.10 melonjak kepada LE 1.50. Mujur sahaja bas panjang yang seperti tin sardin itu statik harganya.

Mungkin kita bagi pelajar-pelajar perubatan di bumi Mesir kalau setakat naik rubu3(satu perempat) atau nus(setengah) tidaklah terasa sangat. Tetapi, bagi pelajar-pelajar Malaysia tanpa penaja atau masyarakat Mesir setempat, keadaan ini amat membebankan mereka.

Bagi mereka yang selalu menggunakan jaringan pengangkutan terbaik di Mesir (hanya aspek kepantasan sahaja) iaitu tremco, mungkin seringkali melihat pertengkaran antara penumpang dan pemandu. Bertikai harga, minta diberi murah dan sebagainya. Tak tahan gamaknya.

HARGA MINYAK

Hal ini gara-gara kenaikan harga minyak yang agak melampau di Mesir. Sama halnya dengan di Malaysia.

Di Mesir, harga minyak melambung tinggi dengan mencatatkan Petrol 90 mencecah LE 1.75 dari LE 1.00, Petrol 92 mencecah LE 1.85 manakala Petrol jenis 96 sehingga LE 2.75. Kenaikan ini nyata menggoyahkan ekonomi keluarga masyarakat setempat sekaligus memberi kesan besar dalam kehidupan seharian mereka.


Nilai harga minyak mungkin nampak keci nilainya, tapi harus dingat Mesir bukan negara semaju Malaysia. Masih ketinggalan dalam kemajuan teknologi dan beribu-ribu rakyat yang tidak terbela hak mereka.

Bila minyak naik harga, tentu sahaja semua barang terkesan sama. Kenaikan berantai. Lantas rakyat diheret ke dalam hidup yang melarat, membebankan juga menyesakkan. Yang miskin tidak terbela yang kaya kekal larut dalam kayanya, hasil korupsi.

Kalau teman-teman menyusuri jalan dari Nadi Sikah menghala ke Sayeda Aesya, kalian akan mendapati seolah-olah keluar dari Kaherah sebentar. Kawasan perkuburan sekitar kawasan itu bukan sahaja dihuni oleh jasad-jasad kaku dan tulang belulang, malah mereka yang hidup melarat berteduh di balik dinding binaan kubur. Sedih melihatnya. Tiada terbela.

Apa untung cukai di Terusan Suez tidak upaya menampung hidup rakyat yang miskin? Bukan jutaan, bahkan bilion dolar yang terpungut. Tiada beza dari kisah rakyat di bumi sendiri. Entah mana perginya untung yang diraih Petronas. Tak sepadan manfaat yang dirasai rakyat dari syarikat gergasi emas hitam Malaysia.

DUSTURUNA

Saya bukan hendak sibuk-sibuk komen berkenaan isu politik negara orang, tapi ingin berkongsi apa yang saya nampak. Moga kita lebih faham realiti Mesir sendiri. Kita sering dakwa bejatnya rakyat Mesir datang dari hancurnya akhlak mereka. Tapi mereka ini jadi mangsa perangkap negara yang belakangkan hukum Allah.

Bila yang memerintah itu dusturnya bukan Al-Quran, sasar hala tujunya. Kepentingan diri jadi intipati. Hambatan nafsu kuasi diri. Bila Islam itu yang diambil hanyalah saduran, tiadalah Islam itu telah tertegak. Akhirnya, negara menuju kerosakan.

Yang nampak maju itu bukan maju jika kayu ukurnya sekadar material. Besar hajat diri ini bahkan satu keyakinan suatu hari nanti Islam menjadi Mahaguru kepada alam.

"Dirikanlah negara Islam dalam diri kamu, nescaya tertegak di negara kamu."
-Hasan Hudaibi-