Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.

Pengalaman travelog haji 1

By Kalam Puncak


Disepanjang perjalanan menuju ke lapangan terbang, penduduk kampung melambai-lambai kepada rombongan jemaah haji dan dibawa masuk pintu khas ke kapal terbang, terasa seperti kami tetamu khas (Insyaallah mudah-mudahan benar2 menjadi Dhuyuf AlRahman)

Alhamdullilah, perjalanan ummi ke Tanah Suci dan telah selamat pulang dengan sikit ujian terhadap pakcik yang retak pada pegelanggan tanganya. Mungkin ini di namakan ujian untuk menguji kekuatan kita untuk meneruskan program2 yang telah kita lalui di Tanah Suci.



Mudah-mudahan keberangkatan ummi dan pakcik ke Tanah suci ini merupakan pengembaraan menuju kepada Allah dan membawa iman yang ada pada kita dan di translate di sana sebagai bekalan untuk menjalankan urusan2 di sana.



Bekalan dari ibadah haji ini adalah bekalan yang besar dan banyak yang dikurniakan Allah kepada orang yang menziarahi Baitullah.
Limpahan kurnia dari Allah tatkala menunaikan syiar2 ini adalah limpahan yang penuh dengan nur, hidayah, takwa, rahmat, sakinah (ketenangan), keamanan terutama akan dirasai oleh para jemaah haji yang sejahtera hatinya, yang jernih lagi ikhlas kerana Allah semata-mata.

Sesungguhnya bagi orang yang menunaikan haji dari waktu keluarnya dari rumah, kita akan hidup semata-mata kerana Allah, bebas dari segala kesibukan urusan dunia. Kita menghayati ibadah haji dengan perasaan, dengan hati, dengan akal, dengan tubuhnya dengan segala anggotanya dan dengan seluruh dirinya.Diserahkan seluruh waktunya, usahanya, hartanya dan segala apa yang ada padanya untuk urusan ibadah haji. Demikianlah kita menyerahkan segala nikmat Allah untuk Allah, untuk taat kepada Allah dan menjauhi segala maksiat. Di dalam penyerahan yang sedemikan, kita mendapat bekalan, diberi didikan dan pengajaran yang berterusan, kesan dan pengaruhnya sepanjang hidupnya. (Buku Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah – Mustafa Masyhur)

Sebelum menunaikan haji buku ini di baca tetapi ummi tidak dapat merasai sepenuhnya, Alhamdullilah bila telah melaluinya barulah merasai di sebalik penulisan ini.



Bila kita hendak keluar dari rumah perlu mandi sunat ihram, dan memakai pakaian ihram dan telah meninggalkan urusan dunia dengan sepenuh hati serta ikhlas kerana Allah.
Kita meninggalkan anak-anak, sanak saudara serta rakan2 dan meninggalkan harta serupalah seperti kita meninggalkan dunia ini menemui Tuhannya. Mandi kita seperti mandinya mayat, memakai ihram serupalah orang yang dikapankan. Meninggalkan urusan dunia seperti keluarnya dari dunia untuk memasuki alam kubur dan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, harta dan rumah untuk ibadah haji serupalah dengan perihal orang yang mati meninggalkan dunia ini.


Dilapangan terbang Jeddah

Mudah-mudahan perjalanan ini memberikan satu pengajaran kepada diri ummi untuk muhasabah bahawa suatu hari nanti kematian ini benar-benar terjadi pada diri. Harta, anak-anak dan semua kesenangan dunia akan ditinggalkan dan harta yang paling berharga adalah anak-anak yang soleh yang dapat mendoakan kita, Insyaallah.

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
(Surah Ibrahim :40)


Insyaallah bersambung di lain kali jika dikurniakan Allah kesempatan dan umur yang panjang, ummi ingin berkongsi cerita2 yang dapat menjadikan pengajaran dan muhasabah diri.

 



Alhamdullilah, dapat meninggalkan sedikit peringatan untuk diri di sini. InsyaAllah Ummi dan suami akan menunaikan panggilan haji pada 15 oktober ni, doakan kami supaya mendapat haji mabrur.

Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan haji yang mabrur, dosa yang diampun dan usaha yang dipuji, amalan soleh yang di terima dan perniagaan yang tidak rugi.

Hati ini mulai rasa berdebar, tetapi tidak tahu kenapa. Ummi biasa berpergian meninggalkan tanah air tetapi perasaan yang datang ni tidak pernah dirasai sebelum ini.

Ya Allah, Kau permudahkan urusan kami di Malaysia dan juga di Tanah Haram.

Muhasabah Haji

Apakah disebalik pengertian haji itu sendiri iaitu mengunjungi Baitullah al-haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Terlintas di hati ini adakah sudah cukup memahami erti haji itu sebenar, atau ia lebih daripada itu. Adakah ummi dapat menggali pengertiannya dan merasainya sehingga dapat membina sakshiah dan hidup dengan penghayatan Islam seterusnya selepas kembali dari menunaikannya?

Adakah diri di ampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan dengan banyaknya terhadap Allah Taala?

Mampukah diri ini mendapat haji mabrur seperti yang dijanjikan Allah iaitu balasannya Syurga?

Ya Allah Kau bantulah hambaMu ini mencari dan menggali pengertian haji supaya hambaMu ini benar2 merasai Kau sentiasa dekat dengan kami setiap saat dan kami tidak rasa takut untuk kembali kepadaMu, Ya Allah. Ya Allah, jadikan kematian kami sebaik-baik kematian dalam husnul khathimah.

Hambu-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hambu-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.


Doakan ummi supaya memperolehi haji mabrur dan sentiasa sabar, ikhlas dan berbaik sangka dengan semua orang.


Tidak sabar menatapnya...

Kelebihan Mekah (Abd Basit Abd Rahman)

1. Makkah ialah Tanah Haram dan pengharamannya sehingga hari kiamat.
2. Nabi Ibrahim mengisytiharkan Tanah Haram Makkah.
3. Makkah ialah sebaik-baik neger dan tempat yang paling disayangi oleh Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w.
4. Makkah tidak dimasuki dajal.
5. Ancaman daripada melakukan kejahatan di Tanah Haram.
6. Kelebihan tawaf.
7. Rahmat kepada orang yang tawaf, solat dan memandang Kaabah.
8. Kelebihan solat di Makkah.

Masjid Nabawi




Kami rindu pada mu Ya Rasullulah...

Doa musafir

Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga keselamatan kaum keluarga, harta benda, anak pinak dan sahabat handai. Ya Allah peliharalah kami dan mereka dari keburukan dunia dan kerosakannya. Ya allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini dan juga amalan-amalan yang Engkau redhai.
Ya Allah, kami memohon supaya didekatkan dan dimudahkan perjalanan kami dan kurniakanlah kami di sepanjang perjalanan ini keselamatan tubuh badan, agama dan harta benda. Sampaikanlah maksud kami mengerjakan haji dan mengunjungi maqam Nabu Mu Muhammad S.A.W.


Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan Mu daripada segala mara bahaya di dalam perjalanan dan perkara-perkara yang mendukacitakan, jauhilah buruk pandangan pada kaum keluarga, harta benda, anak pinak dan sahabat handai kami.

Ya Allah, letakkanlah kami dan mereka sekelian di dalam peliharaan Mu, janganlah Engkau lucutkan nikmat Mu dari kami dan mereka, janganlah Engkau mengubahkan kesihatan yang ada pada kami dan pada mereka. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Ummi doakan semua pembaca blog ini akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat dan tidak lupa juga doa ummi khas untuk tuan punya blog ini arwahyarham Muhammad ‘Ammar agar Allah mengampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan beliau di dalam taman-taman syurga Mu, Ya Allah!

Ameen Ya Rabbal’lamin

Sehingga bertemu lagi selepas ini, Insyaallah jika dipanjangkan umur. Akhir sekali ummi mohon ampun dan maaf kepada anak-anak dan semua sahabat handai arwah dan anak2 ummi yg lain yang sentiasa membaca blog ini dan juga semua pengunjung blog ini yang datang dan pergi sebelum ummi berkembara menjadi tetamu Allah.

Akhir kalam dari Kalam Puncak ini dgn lafaz Assalammualaikum.

 


Al-quran adalah merupakan sumber yang utama untuk audit diri kita...

Alhamdullilah, telah diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis lagi di blog ini. Ummi doakan kita semua mempunyai kesedaran hati yg tinggi dan masih terus berada dalam lindungan dan kerahmatan Allah.

Tiba-tiba ummi rasa terpanggil untuk memberi sedikit pengkongsian dengan pembaca semua tentang survellience audit ISO15189 yang dijalankan pada hari ini dan kelmarin di tempat kerja ummi. Kenapalah hati ini terasa sangat apabila diri diaudit oleh auditor yang mahir dan pakar dalam bidang tempat kerja ummi iaitu bidang sitogenetik. Soalan demi soalan ditanya untuk memastikan bahawa ujian yang dijalankan mengikut prosedur yang betul dan semua rekod yang perlu difailkan untuk rujukan akan datang dan bermacam2 soalan ditanya mengikut klausa yang ditetapkan oleh Standard Malaysia dan standard antarabangsa.

Alhamdullilah semuanya berjalan dengan jayanya dan tahniah untuk semua demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit dalam rangka untuk beribadat kepada Allah, mudah2an Allah berikan kerahmatan kepada kami semua.

Berbalik kepada audit ini untuk mencapai kejayaan di dunia perlu ada usaha dan muhasabah bagi capai kualiti, tapi marilah juga kita janganlah lupa audit diri kita untuk membawa bekalan kepada Allah apabila di jemput nanti. Kematian itu pasti dan apa bekalan kita, pernahkah kita audit diri kita tentang amal-amal yang akan dipersembahkan nanti. Jika audit di dunia kita boleh buat pembetulan tetapi di sana nanti tidak ada pembetulan lagi..... muhasabahlah terus muhasabah....

Berikut adalah contoh2 yang boleh digunakan untuk audit diri dan banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk audit diri, Insyaallah.





Mari kita audit diri ....

Mari kita menguji iman kita dan sejauh mana kefahaman kita terhadap Islam yang dituntut oleh Allah Taala dan mengukur kehidupan kita dengan sinaran criteria Islam sebenar.

Firman Allah dalam surah Al-Alaq: 1-5

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

Maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)




Jika kita mengaku Islam dan menyatakan iman kepadaNya:

Apakah benar bahawa hidup dan mati kita adalah benar-benar untuk Allah saja?

Apakah akal fikiran , tenaga yang ada pada jiwa dan raga kita, waktu dan usaha-usaha kita diabadikan hanya untuk Allah semata-mata?

Apakah yang harus kita kerjakan untuk menunjang untuk tercapainya tugas yang telah Allah tetapkan?

Apakah kita telah memberikan sepenuh kepatuhan dan pengabdian kepada Allah?
Apakah pelayanan hawa nafsu dan pengabdian selain Allah telah sebenarnya terhapus dalam jiwa kita?

Adakah kebencian yang kita letakan seluruhnya tergantung kepada Allah sahaja?

Adakah kita selalu memeriksa diri bahawa mencintai dan membenci seseorang hanya seluruhnya sandaran kepada Allah?

Adakah tindakan kita memberi atau tidak memberi sesuatu kepada seseorang adalah kerana Allah?

Benarkah kita merasakan apa yang kita belanjakan untuk diri sendiri ataupun diberi untuk orang lain adalah ketatapan Allah, dan hanya untuk mendapat keredhaan Allah. Demikian juga jika kita tidak memberi sesuatu, apakah ianya datang dari ketetapan Allah yang melarangnya?

Jika perasaan ini ada dalam diri kita, maka marilah kita bersyukur pada Allah banyak-banyak kerana dibukaNya hati kita dan telah dianugerahi rahmat iman dalam kepenuhanya.

Marilah diri ummi ini dan pembaca di sini semua, jika kita merasai kekurangan lagi maka kita berusahalah untuk menghilangkan kekurangan ini , kerana kesejahteraan kita di dunia ini dan keselamatan kita di akhirat nanti bergantung kepada usaha kita kearah ini untuk mencapai tahap keimanan yang mantap.

Tidak perlulah kita mengharapkan orang lain menilai diri kita, biarlah nilaian yang sebenarnya datang dari Penguasa Yang Maha Agung dan Tinggi.

Kejayaan yang sebenarnya terletak dalam penilaian yang diberikan oleh Allah Taala, semada kita ini seorang mukmin, bukannya seorang munafik dan seorang yang beriman, bukannya seorang kafir.

Tarbiyah Madrasah Ramadhan


Ramadhan telah menghampiri kita semua, marilah kita berdoa kepada Allah agar dipanjangkan umur agar sempat bertemu dengan Ramadhan ini yang sentiasa ditunggu dan dirindui oleh setiap orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

Marilah kita sambut Ramadhan dengan perasaan penuh rasa gembira dan rasa lapang jiwa.
Orang-orang Muslim perlu sedar daripada lena mereka dan awas agar puasa tidak menjadi semata-mata penahan lapar dan dahaga sahaja, tetapi puasa ini adalah rangka untuk kita berubudiyah (penghambaan) sebenar kepada Allah swt dan mendapat keredhaanNya (Fadhilah as Syeikh Darwis Mustafa Hasan).

Puasa ini merupakan wasilah untuk mencapai ketakwaan kepada Allah seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah:183

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (183)

 

Marilah berinfaq...

By Kalam Puncak

Alhamdullilah, post ummi kali ini akan membincang mengenai infaq dan membuka pasaran saham yang tiada untungnya di sini, asalkan kita semuanya ikhlas, InsyaAllah kita akan memetiknya di akhirat nanti...


Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 261

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ۬ مِّاْئَةُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ (٢٦١)

Maksudnya:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (261)

Infaq fi sabillilah - berjihad harta kepada jalan Allah merupakan bukti yang paling tepat menunjukan keadaaan jiwa yang bersih dan sihat dalam bentuk amal.

Ayat-ayat Allah dalam Al-quran mengalakan kita berinfaq sebagai satu cara untuk mendidik jiwa supaya cenderung kepada kebaikan, mengutamakan orang lain, suka membuat kebajikan dan peka terhadap kesengsaraan orang lain dan petanda yang nyata tentang imannya.

Firman Allah surah Al-Baqarah : 254

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ يَوۡمٌ۬ لَّا بَيۡعٌ۬ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌ۬ وَلَا شَفَـٰعَةٌ۬‌ۗ وَٱلۡكَـٰفِرُونَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٢٥٤)

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (254)



Kedermawan Abdul Rahman bin Auf

Kita telah mengetahui bagaimana Abdul Rahman bin Auf memperoleh kekayaannya, iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh dan tidak merasa tamak, sehingga harta itu memancar berlimpah ruah di hadapannya. Sampai diriwayatkan bahawa ia pernah mengatakan: `Seandainnya saya mengangkat batu dari tempatnya, niscaya saya akan menemukan harta di bawahnya`.

Sementara itu setengah sahabat pernah bertanya kepadanya;
“Apakah rahsia kejayaanmu dalam perniagaan”?
Dia menjawab: Kerana saya tidak pernah menjual barang yang cacat, dan tidak mengharapkan keuntungan yang banyak, tetapi memadai dengan untung yang sedikit, kerana Allah akan memberkatinya!”

Anas bin Malik r.a pernah meriwayatkan bahwa ketika Siti Aisyah r.a berada di rumahnya, tiba-tiba ia mendengar suara riuh-rendah di luar, maka ia bertanya: “Suara siapa ini”?`
”Para Sahabat menjawab: Kafilah Abdul Rahman bin Auf baru sampai dari Syam membawa sebanyak 700 ratus unta yang sarat dengan barang-barang dagangan di belakangnya”.

Maka Siti Aisyah r.a berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah pernah berkata: Saya lihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan MERANGKAK!" Apabila berita itu sampai ke telinga Abdul Rahman, ia lalu datang kepada Siti Aisyah seraya bertanya tentang berita itu. Maka diterangkannyalah oleh Siti Aisyah apa yang didengari oleh beliau, maka Abdul Rahman berkata: “Saksikanlah! Bahawa 700 unta dengan muatannya itu adalah di sedekah pada jalan Allah". Ditambahkan pula menurut riwayat daripada Ibnu Abbas r.a berkata: sekali peristiwa telah datang kafilah Abdul Rahman dari Syam, lalu diserahkan kesuluruhannya ke tangan Rasulullah untuk disedekahkan. Lantaran itu Rasullah mendoakan baginya supaya dibalas dengan syurga.
Kemudian datang Jibril a.s. mebawa berita dari langit: `Sampaikanlah salam kepada Abdul Rahman bin Auf dan gembirakanlah dia dengan syurga.

Dari sirah ini telah memberi kita satu gambaran dan kesedaran bahawa sahabat Rasullulah hatinya sangat sensitif apabila dikhabarkan bahawa beliau masuk ke Syurga dengan merangkak dengan sebab kekayaanya. Lantas beliau menambah lagi infaq hartanya sehingga dikhabarkan oleh Rasullulah dengan nikmat syurga untuknya.

Jadi post ummi kali ini ingin membuka peluang kepada pembaca blog ini untuk sama-sama berinfaq kepada jalan Allah. Marilah kita infaq sebanyak mana yang mampu agar dengan ini akan membantu kita di akhirat nanti, insyaAllah.

Ummi dan pak cik telah ditugaskan untuk mendapatkan kutipan sebanyak RM6000 untuk Sekolah Menengah Agama 'Ibrah (IBRAH)(http://www.ibrah.moonfruit.com/), ini adalah untuk menyediakan prasarananya. Sekolah ini sekarang beroperasi dibangunan sementara iaitu 2 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas tingkatan 2, jumlah pelajarnya sekarang lebihkurang 94 orang. Saham ini dibuka untuk semua walaupun bermula dengan RM1 atau sebanyak mana yng ikhlas dan mampu diberi.
Kutipan ini mengunakan kupon yang telah mendapat kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kutipan derma, InsyaAllah.

Jika anak-anak ingin turut infaq bolehlah terus masuk ke akaun ummi (Siti Fatimah Ramli) GIRO: 07100-29-88584447-5





Ummi doakan semuga kita mendapat kebaikan dan dikurniakan Allah rezeki yang murah dan bahagia dunia dan akhirat, ameen.

Updated:
Alhamdullilah, sumbangan diterima. Ummi doakan semoga infaq yg diberi ini akan diganti kembali dengan rezeki yang melimpah ruah dunia dan akhirat, ameen ya Allah.


Wallahu'alam.

 

Dua tahun berlalu...

By Kalam Puncak


Alhamdullilah kerana di kurniakan Allah umur yang panjang dan diberi kesedaran untuk mencari erti cinta yang sebenar kehadratNya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad saw kerana telah membawa Islam serta kerahmatan seluruh alam.

Tanggal 11 Jun (Malaysia) atau 10 Jun (Mesir) merupakan tarikh yang tidak dapat ummi lupakan selagi hayat di kandung badan, insyaAllah. Hari yang merupakan tiada perkataan yang boleh dilemparkan dan kesedihan yang tidak boleh digambarkan yang merupakan hari peperangan perasaan untuk menerima takdir Illahi iaitu hari pemergian anakanda 'Ammar bertemu Illahi.



Sudah 2 tahun dia pergi meninggalkan kami dan semua sahabatnya, dan 2 tahun jugalah ummi belajar menulis di dalam blog ini, bukan dirancang inilah takdir Illahi. Ummi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung setia blog ini walaupun penulis blog ini telah bertukar tangan tapi pengunjungnya tetap ada, Alhamdullilah.



Sudah 2 tahun along pergi
Tapi ummi rasa ianya seperti baru berlalu
Panggilan telefon yg diterima dari Mesir masih terngiang2 di telinga
Sms takziah dan kata semangat dari sahabat along dan ummi serta abah masih segar di ingatan
Hati ummi hiba dan rindu
Kami sekeluarga masih merinduimu
Permergianmu menemui Illahi mendahului ummi dan abah
Tapi wahai anak, permergianmu tidak sia-sia
Allah kurniakan kesedihan dengan kegembiraan
Kelukaan dengan penawar
Kealpaan dengan dengan ketakutan
Hati ini kadang2 tergetar dengan ayat2 Allah
Hati yang keras menjadi lembut
Kubur menjadi tempat ziarah selalu
Agar mengingati kematianku
Diri ini terasa ada insan memerhati umminya dijendela akhirat
Buku mengenai akhirat diselak tanpa jemu
Bagaimana kematian ummi
Bagaimana malam pertama ummi di kubur
Bagaimana ummi diakhirat nanti
Ya Allah Kau kurniakan kepada kami hati yang hidup
Kau jadikan kami hamba yang cintanya kepada akhirat
Sentiasa mengingati Mu dan yakin dengan azab Mu
Kau jadikanlah kami insan dibawah keredhaanMu
Dalam keampunanMu
Kau ampuni anakku Muhammad ‘Ammar dan kaum muslimin dan muslimat yang telah pergi dahulu. Kau jadikan kubur mereka seluas taman-taman syurgaMu


Firman Allah:

إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ ٨

Sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Al-Alaq 96: 8)

Marilah anak2 dan pembaca blog ini kita mencari kebahagian akhirat dengan memberi motivasi pada diri dan peringatan agar membangkit hati kepada cinta akhirat.
Yang pergi tetap pergi dan mereka tidak akan pulang lagi tetapi kita yang hidup ini akan pergi jua nanti.



Marilah kita merungkai kehidupan kita yang lara dan leka ini dengan memikirkan tempat kembali kita dan jalan keselamatan.

1. Sesungguhnya kehidupan kita ini walaupun panjang maka akan punah akhirnya juga, dan kesenangannya walaupun besar sesungguhnya sedikit dan hina.


Firman Allah dalam surah Al-Kahfi 18:45

وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا كَمَآءٍ أَنزَلۡنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخۡتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلۡأَرۡضِ فَأَصۡبَحَ هَشِيمً۬ا تَذۡرُوهُ ٱلرِّيَـٰحُ‌ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ مُّقۡتَدِرًا ٤٥)

Bermaksud:
Dan berilah perumpaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah seperti air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tummbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudiaan tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.



Firman Allah dalam surah Al-Ankabut 29:57:

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ ٥٧)

Maksudnya:
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati.

2. Sesungguhnya semua makhluk akan kembali kepada Allah dan mereka akan dipertanggungjawaban atas perbuatan mereka, dan mereka akan ditempatkan di dalam syurga atau pun neraka.

Firman Allah dalam surah Al-Mukminum 23: 115

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَـٰكُمۡ عَبَثً۬ا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ ١١٥)

Maksudnya:
Maka apakah kalian mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kalian secara main-main, dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?

3. Sesungguhnya kenikmatan syurga itu melupakan kepayahan dan kepahitan di dunia, dan begitu pula siksa neraka itu melupakan semua kenikmatan dan kemanisan hidup di dunia ini.

Firman Allah dalam surah Asy-syura 26: 205 – 207:

فَرَءَيۡتَ إِن مَّتَّعۡنَـٰهُمۡ سِنِينَ (٢٠٥) ثُمَّ جَآءَهُم مَّا كَانُواْ يُوعَدُونَ (٢٠٦) مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يُمَتَّعُونَ ٢٠٧)

Maksudnya:

Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad)? Jika Kami berikan mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun, (205) Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan kepada mereka, (206) (Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan. (207)

4. Sesungguhnya manusia setelah kehancuran dunia dan setelah mereka bertempat di syurga atau neraka, akan mengalami silsilah yang dari bencana.

Firman Allah dalam surah Al-Hajj 22: 1 – 2

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّڪُمۡ‌ۚ إِنَّ زَلۡزَلَةَ ٱلسَّاعَةِ شَىۡءٌ عَظِيمٌ۬ (١) يَوۡمَ تَرَوۡنَهَا تَذۡهَلُ ڪُلُّ مُرۡضِعَةٍ عَمَّآ أَرۡضَعَتۡ وَتَضَعُ ڪُلُّ ذَاتِ حَمۡلٍ حَمۡلَهَا وَتَرَى ٱلنَّاسَ سُكَـٰرَىٰ وَمَا هُم بِسُكَـٰرَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ ٱللَّهِ شَدِيدٌ۬ (٢)

Maksudnya:

Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. (1) Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. (2)


Berikut adalah salah catatan komen di blog yg ummi masukan ruang sini untuk dijadikan sebagai motivasi mencari erti hidup sebenar dan diakhir hayat kita mendapat rahmat Allah. (Disini ummi masukan utk motivasi diri bukan utk rasa megah ataupun lain-lain perasaan negatif, ummi harap pembaca faham niat ikhlas ummi, mudah2an manfaat)

Pak cik tak pernah melihat dan bagitu takjub satu suasana kematian seorang remaja pada masa ini yang diselubungi satu suasana dan perasaan yang amat menyentuh hati, satu kematian yang pak cik anggap insyaallah satu "Bayangan Ahli Syurga" . dari suasana ini dapat pak cik bayangkan siapa ammar dimata sahabat-sahabat beliau, remaja yang bagini yang dunia perlu....semoga akan lahir banyak lagi ammar dikalangan sahabat ammar yang ada. kehadiran anak2 semua membantu urusan jenazah amat menyentuh hati pak cik dan penduduk qaryah taman bertam indah, kepala batas....selain itu apa yg pak cik nampak network atau blog anak2 bagitu membantu menyebar berita dengan pantas, disinilah nampaknya perbezaan ICT yg anak2 manfaatkan berbanding remaja lain yang mana mereka akan guna hanya sebagai alat hiburan yg sia2, teruskan segala usaha anak2 dalam perjuagan islam....pak cik doakan sentiasa dirahmati dan dipermudahkan segalanya... Insyaallah dpd:Abdul Rahman Abdullah Setiausaha Qaryah Masjid Tmn.Bertam Kepala Batas, SPU.



Salah satu email yang diterima sahabat kenalan abahnya arwah 'Ammar:

Aslm wrh wbth,

Entah kenapa.. bila menyusuri web mencari apa-apa yang berkaitan dengan Allayarham Ammar, teringat kisah yang tersurat di dalam surah al-buruj - Kisah seorang pemuda beriman dengan seorang Raja yang berakhir dengan kisah "Ashabul Ukhdud."

Kematian pemuda yang disangka Sang Raja mematikan dakwah kepada Allah ternyata meleset terus. Bahkan hampir kesemua, jika tidak semua, yang melihat peristiwa Raja berjaya membunuh pemuda beriman dengan lafaz "Dengan Nama Allah, Tuhan pemuda ini" selepas gagal sebelumnya walau dengan iringan tentera lengkap bersenjata, telah beriman dengan Tuhan Sekelian Alam dan bukan lagi bertuhankan Raja.

Ammar mungkin sudah pulang, tetapi dakwah dan qudwah anak soleh yang sinonim dengan dirinya terus berlegar di jiwa, di hati dan di pemikiran - bukan sahaja di kalangan yang mengenali beliau; bahkan juga yang tidak pernah kenal maupun bertemu dengan Ammar.




Untuk pengetahuan pembaca blog ini semua, hari ini tanggal 10 Jun 2011 ummi telah menerima surat dari Tabung Haji dijemput menunaikan haji pada tahun ini, Alhamdullilah. Ini merupakan satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kami setelah Allah uji dengan ujian yang berat 2 tahun lalu. Tidak terkata gembiranya kerana dikurniakan Allah untuk melaksanakan rukun Islam yang ke-5,Alhamdullilah doakan ummi...

Jazakillah juga khas untuk insan-insan yang masih sms ummi sehingga sekarang, mudah2an Allah permudahkan urusan antum dunia dan akhirat.

Akhir kata, Ummi doakan untuk diri ini dan pembaca semua, mudah-mudahan Allah kurniakan kita hati yang hidup dan sentiasa hangat mencari akhirat sehingga akhir hayat dan berjaya di dunia dalam mencapai cita-cita, ameen, ameen, ameen...

Wallahu'alam

 

Pengkongsian pengalaman....

By Kalam Puncak

Alhamdullilah bertemu kembali, insyaAllah hari ini ummi nak beri sedikit pengkongsian pengalaman dalam diri ummi lalui minggu ini. Mudah-mudahan ini akan menambahkan amal ummi dan memberi pengajaran yang berharga dalam hidup ini.



Kehidupan kita sebenarnya mesti malalui keadaan kesenangan dan kesusahan agar menemui kematangan dan supaya sentiasa muhasabah diri.

Ceritanya bermula pada hari jumaat (9/4/11), kakak telah masuk hospital kerana masalah tak dapat buang air kecil dan bila makan sentiasa muntah, beliau dimasukkan di A&E pada ptg jumaat (3 ptg) dan dimasukan ke wad pada tengahmalamnya . Prosedur utk dimasukan ke wad amatlah lambat dgn alasan wad penuh (hospital kerajaankan). Bila dah masuk ke wad hari sabtu dan ahad tak dapt buat apa-apa kerana tiada pakar dan tak boleh scan tiada radiologis, beliau hanya di observe dan sedikit rawatan membantu meringankan kesakitan. Sedikit sebanyak ujian tumour marker yg ummi buat telah membantu Dr mencari punca penyakit beliau. Tumour marker result sgt tinggi dan beliau memang menghadapi penyakit kanser. Bila dr buat pemeriksaan breast didapti ada ketulan disebelah kanan dan scan dilakukan disahkan kakak ummi telah mengidap breast cancer stage 4 (Invasive Alveolar carcinoma). Kansernya telah merebak kehati dan peringkat akhir bone metastasis.



Pada hari isnin beliau mengadu sakit pinggang yang teramat sangat dan perutnya membesar kerana masalah ascitis disebabkan kegagalan hati, beliau juga disahkan renal failure dan heart attack. Perutnya ditebuk dan ascitis fluid dikeluarkan drp abdomennya (prosesnya amat sakit). Keadaannya bertambah teruk dari hari kehari sehinggalah hari selasa beliau tidak mahu buka mata dan bila dipanggil namanya dan disuruh menyebut kalimah Allah beliau menyebutnya dan lain-lain dia tak respon. Akhirnya hari rabu beliau telah dinasihatkan dipindahkan ke Hospital lain yang ada wad pallative agak jauh perjalanan kena naik ambulan, ummi pun akur.

Malangnya apabila tiba di hospital tersebut pallative ward penuh dan kakak dihantar ke wad medical dan di situ mulalah history pesakit di tanya balik drp mula (letih nak cerita). Sepatutnya beliau ke sana untuk observe saja bukan terima rawatan yang intensif. Bila ummi berjumpa dengan dr, kami dipanggil masuk bilik dan dr mencadangkan pesakit dibawa balik dan tiada harapan lagi (yang sedihnya anak dia bertanya adakah mak dia dapat bercakap kembali, maka dr dgn penuh berlapik memberi jawapannya). Apa yang dikesalkan sampai di situ kakak ummi hanya dibuang oksigen, intravenous drip dan diberi ubat penahan sakit, kenapa tidak diberitahu di hospital pertama tadi dan boleh terus bawa balik rumah (kadang2 pendapat dr ini berbeza – Ya Allah masa ni teruslah teringatkan arwah ‘Ammar).

Kami sekali lagi naik ambulan dan balik kerumah dengan kakak yang tidak sedarkan diri, berat sungguh ujianMu ya Allah. Setelah 2 malam dia berada dirumah dalam keadaan tidak sedarkan diri akhirnya jam 11:30 mlm jumaat kakak ummi telah kembali bertemu Illahi dan keadaan semua ahli keluarga mengelilinginya, Alhamdullilah.
Sesungguhnya kematian ini adalah satu peristiwa yang amat menyedihkan kerana kita terpaksa berpisah dengan orang tersayang, mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita dan dosanya.

Firman Allah dalam surah Al-Mulk:2

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (٢

Maksudnya:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (2)

Yang sebenarnya sebagai orang yang beriman kita perlu muhasabah bahawasanya tidak ada yang harus dikhawtirkan dalam kematian. Ia adalah pintu yang setiap orang pasti akan memasukinya. Tetapi menjadi masalah serius adalah, apa yang terjadi setelah kematian? Marilah kita sama-sama fikirkan, apakah berupa taman dan sungai yang mengalir, dalam tempat yang dijanjikan Allah, ataukah berupa kesesatan dan api yang mengelojak?


Arwah Ammar hampir 2 tahun meniggalkan kami sekeluarga dan gambar ini menunjukan tika ia mencapai usia 2 tahun (kenangan pahit dan manis dalam kehidupan.

Sebuah keniscayaan

Marilah kita mencermati kematian, niscaya kita akan tahu ia adalah perkara yang amat besar iaitu ia lebih dekat daripada kiamat yang selalu kita cari tanda-tandanya, mungkin esok lusa giliran kita pula.... Ia adalah piala bergilir bagi setiap orang yang berdiam di suatu tempat maupun yang suka berjalan-jalan ke merata tempat. Dengannya manusia akan keluar dari dunia menuju syurga atau neraka.
Kalaulah tak ada erti kematian selain kehilangan, hancurnya tubuh dan terlupakanya keindahan siang dan malam.

Niscya ada kekeruhan bagi mereka yang suka bersenang-senang, dan perubahan bagi mereka yang tenggelam dalam kenikmatan.

Marilah kita semua mencari, iaitu mencari erti hidup yang sebenar dan apabila kita menghadapi kematian dengan jiwa yang tenang dan mati dalam keadaan yang di redhai oleh Allah seperti dalam firman Allah dalam surah Ali-Imran:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ(١٠٢

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (102)

Ya Allah! Engkaulah sahaja Tuhan kami dan Engkaulah sahaja Pencipta kami serta Engkau sahaja memberi petunjuk kepada kami dengan Agama Islam, Engkaulah sahaja yang mengambil nyawa kami dan Engkau sahaja yang mengetahui rahsia kami yang tersembunyi dan nyata. Ya Allah! ampuni segala dosa kami, dosa anak kami Muhammad 'Ammar, dosa kakakku dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.

Wallahu'alam.

 

Teruslah berfikir...

By Kalam Puncak



Bertemu lagi, ummi doakan pengunjung blog ini semua dilindungi Allah dan diberi kefahaman Deen Allah Taala dengan sebenar-benarnya. Syukur Alhamdullilah kerana diberi kesempatan untuk menulis lagi di sini walaupun telah lama dibiarkan sepi bukan tidak ingat tetapi tiada kekuatan untuk menulis.

Kita selalu berfikir, iaitu berfikir untuk makan apa, nak buat apa, nak menonton filem apa dan macam-macam lagi dan kadang2 kita terus lupa untuk fikir apa makanan yang perlu diberi kepada jiwa untuk mendekatkan diri pada Allah Taala.



Ummi menyeru diri ini, marilah kita semua sebagai seorang muslim untuk mendorong dan mengalakkan berfikir dan merenung bagi kebaikan diri sama ada ketika hidup di dunia, lebih-lebih lagi kelak di akhirat, dalam setiap masa dan tempat.

Marilah kita terus muhasabah diri sejauh mana kita selalu berfikir:
Berfikir tentang susunan dan keunikan anggota yang kita ada.
Berfikir tentang kepelbagaian warna.
Berfikir melalui permandangan yang indah
Berfikir ketika berdepan dengan kesukaran dalam pekerjaan atau pun belajar.
Berfikir ketika memandang orang mengusung keranda dan banyak lagi…

Dan apa saja yang kita pandang dan peristiwa yang berlaku disekelliling kita semuanya ada ibrahnya jika kembali balik akan kebesaran Allah dan betapa kerdilnya kita, marilah kita terus muhasabah…

Anak-anak, marilah kita terus berada di jalanNya agar hidup kita selamat, insyaAllah.
Bagaimana kita sebagai seorang muslim sepatutnya? Jawapannya telah digariskan oleh Allah Taala firmaNya dalam Surah Ali Imran, 3:191

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ (١٩١)

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (191)

Contohnya berfikir tentang susunan dan keunikan anggota yang kita ada. Kadang-kadang kita terleka untuk berfikir anggota badan kita sendiri bagaimana Allah telah menjadikan susunan tulang, otot, tisu penghubung dan kulit yang membaluti anggota badan kita. Itu tidak termasuk lagi organ di dalam badan kita sendiri dengan urat sarafnya dan salur darahnya serta darah itu sendiri yang mengandungi kromosom dan didalamnya mengandungi gen-gen yang menentukan sifat dan rupa bentuk seseorang. Maka yang mana satu nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang manakah kamu nak dustakan? Itu pertanyaan Allah Taala kepada kita… fikirkanlah siapa kita ini bila dibandingkan penciptaan-penciptaan Allah yang lain?



Ini merupakan contoh kromosom yang terdapat dalam badan kita, dengan izin Allah juga kecacatan manusia bergantung kepada keabnormalannya (perlu dilihat dengan pembesaran mikroskop). Mana hebatnya manusia sekecil ini pun kita tidak mampu merubah, fikirkanlah.... Sebenarnya inilah kerjaya ummi yg sentiasa melihat ciptaan Allah sekecil ini.

Bagaimana kita berfikir bila melihat melalui permandangan yang indah, adakah kita hubungkan ini dengan Allah? Marilah sama- sama kita renungkan kembali dan hubungkan hati kita dengan Allah akan semua keindahah ini, kita tidak mampu mencipta sesuatu pun yang hidup hatta sayap nyamuk pun fikirkan di mana kehebatan kita yang selama ini sentiasa ingkar akan perintah Allah ….







Inilah keindahan permandangan Taman Bertam Indah (tempat tinggal ummi)terutamanya pada setiap bulan Februari. Maha Tinggi dan Agong menciptakan semua ini.(Gambar diambil dari Flickr Qaryah Taman Bertam Indah)

Bagaimana pula bila kita melihat keranda diusung, adakah hati kita tersentuh atau biarkan ia berlalu tanpa apa-apa perasaan. Bagi orang yang berfikir tentulah ini akan mengingatkan mereka akan kematian, mungkin esok lusa kita pula akan berada dalam keranda itu.


Maka ketika ini kita menjadi insan yang kaku, dan pada masa ini juga kita telah berhenti berfikir...fikirkan sebelum Allah memanggil kita pulang kepadaNya.

Kita melihat kejadian ini marilah kita menghayati firman Allah dalam surah Al-Ankabut: 57-59:
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ (٥٧) وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَنُبَوِّئَنَّهُم مِّنَ ٱلۡجَنَّةِ غُرَفً۬ا تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَا‌ۚ نِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَـٰمِلِينَ (٥٨) ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَعَلَىٰ رَبِّہِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٥٩)

Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh;(Iaitu) mereka yang sabar dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.

Marilah anak-anak semua kita terus berfikir…

 

Kembali bertemu lagi, ummi doakan agar kita semua berada dalam keadaan sihat fizikal dan mental serta jiwa kita yang hangat mencari erti sebagai seorang hamba yang bahagia di akhirat sana.

Marilah kita terus muhasabah diri di mana diri kita sekarang dan ke mana nak dibawa diri selepas berpisah roh dan jasad.

Sekali lagi ya bumi Mesir di kejutkan dengan kamatian seorang remaja yang niatnya ikhlas untuk menuntut ilmu yang tidak kesampaian. Kematiannya hampir sama dengan kematian tuan punya blog ini iaitu arwah ‘Ammar. Waktu hampir sama iaitu semasa sedang menjalani peperiksaan dan sedang menuntut sebagai pelajar perubatan tahun 3 juga, itulah namanya kematian tidak kira umur dan di mana serta bagaimana kematiannya. Ummi ucapkan takziah kepada sahabat-sahabatnya, mudah2an Allah tempatkannya rohnya bersama-sama orang-orang beriman.


Kematian ini telah mengingatkan kembali akan pemergian arwah...

Alhamdullilah, kerana diberi peluang oleh Allah akan kesihatan yang sihat, marilah kita juga kuatkan jiwa kita supaya berjaya mencari cinta Allah agar bekalan ini menyelamatkan kita di alam sana.

Firman Allah dalam hadis Qudsi yang bermaksud:

Mereka yang berteman satu sama lain kerana aku, berhak memperoleh cintaKu dan mereka yang saling membantu antara sesamanya, kerana Aku, berhak memperoleh cintaKu. Dan tiadalah seorang Mukmin, (lelaki atau wanita) berserah diri kerana Allah atas kematian tiga orang anak kandungnya yang belum dewasa , pasti Allah memasukannya ke dalam syurga dengan limpahan kurnia rahmatnya.

(HQR Thabarani dalam kitab al-Ausath dan as-Shaghir dari ‘Amr, ‘Anbasah r.a)

Cinta kasih Allah kepada hambanya bermakna diberiNya limpahan nikmat kepada hambaNya serta akan diberi pahala akan kebaikan yang dilakukan. Kita juga akan dinaungi dan perlindungan oleh Allah pada hari kiamat nanti serta Allah akan memelihara dari siksaan dan melimpahkan berbagai kesenangan dan nikmat.


Orang yang dicintai dan dikasihi oleh Allah seperti firmanNya dalam al-quran adalah seperti berikut:

1. Orang yang sabar
وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٤٦)….
Allah benar-benar mengasihi orang yang sabar.
(Ali-Imran – 146)

2. Orang-orang yang bersatu padu berperang di jalan Allah
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّ۬ا كَأَنَّهُم بُنۡيَـٰنٌ۬ مَّرۡصُوصٌ۬ (٤)
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
(As-Shaf – 4)

3. Orang yang adil.
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٩)…
...sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Hujarat – 9)

4. Orang yang bertawakal
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ (١٥٩)…
...sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali-Imran - 159)

5. Orang yang berbuat baik
إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)…
...sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Surah al-Baqarah – 195)

6. Orang yang bertakwa.

وَٱتَّقَىٰ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ (٧٦)…
...maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Ali-Imran - 76)



Perkembangan terbaru di Bumi Mesir memberi kita satu gambaran yang amat menakutkan di mana manusia kadang-kadang perlu bertindak di luar pemikiran kita yang normal untuk mendapatkan satu “kebebasan hidup” di dunia ini. Ummi doakan mudah-mudahan anak2 yang belajar di Mesir dapat menghadapi dugaan ini dengan tenang dan sentiasa bersabar atas kesusahan dan kepahitan yang di alami.
Sebentar tadi menziarahi jiran yang anaknya menuntut dalam bidang perubatan di Kaherah, menghubungi anaknya di sana yang di maklumkan mereka berada di ARMA dalam keadaan ramai pelajar berkumpul di sana. Hati ibubapa mana yang tidak risau bila anak berjauhan dan dalam keadaan huru hara……, mudah2an Allah permudahkan segala urusan mereka.

Akhir kalam, ummi menyeru diri ini dan pembaca blog ini agar kita mencari cinta Allah dengan sebenar-benar cinta agar bila kita kembali kepada Allah menjadi insan yang dicintaiNya.

Marilah kita mendoakan agar Allah kurniakan syurganya dan perkara yang menghampirinya...

Ya Allah! Sesungguhnya kami mohon kepada Engkau akan syurga dan perkara-perkara yang boleh menghampiri diri kami kepadanya iaitu dalam hal pertuturan, perbuatan, niat dan akidah; sebaliknya kami mohon perlindungan dengan Engkau daripada seksaan api neraka dan perkara-perkara yang boleh menghampirkan diri kami kepadanya iaitu hal pertuturan , perbuatan, niat dan akidah.

Wallahu’alam

 

Pulau Pinang tiada lagi pertunjukan bunga api yang ditaja oleh kerajaan tetapi pertunjukan bunga api ini masih ditaja oleh pihak swasta. Maka ramailah anak-anak muda Pulau Pinang yang masih mengunjungi tempat strategik disekitar Buterworth seperti R&R Bangan Ajam, Taman Robina dan kawasan sekitar pantai. Inilah yg diberitahu oleh penceramah kuliah subuh pada tahun baru 2011 ini. Ada beberapa NGO yang telah bersungguh-sungguh untuk berdakwah dan mengedarkan poster anti maksiat pada awal tahun ini.




Menurut beliau lagi dalam Malaysia ini ada 3 hari yang merupakan selepas 9 bulan daripada tarikh itu maka kadar kelahiran anak luar nikah akan meningkat. Hari-hari tersebut adalah sambutan tahun baru, valentine day dan 31 ogos.



Persoalan ini merupakan satu tamparan kepada kita sebagai umat Islam yang telah dianugerahkan oleh Allah Al-quran dan al-Hadith sebagai panduan, tetapi ramai dikalangan kita umat Islam telah mengabaikan.

وَكَذَٲلِكَ أَنزَلۡنَـٰهُ قُرۡءَانًا عَرَبِيًّ۬ا وَصَرَّفۡنَا فِيهِ مِنَ ٱلۡوَعِيدِ لَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ أَوۡ يُحۡدِثُ لَهُمۡ ذِكۡرً۬ا (١١٣

Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertakwa atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka. (113) (Surah Thaha)

Kenapa kita tidak takut akan ancaman Allah di dalam ayat-ayat Nya?
Kenapa kita sebagai umat Islam masih berpegang kepada konsep jangan jaga tepi kain orang, tetapi sebagai org Islam konsepnya kita kena saling ingat mengingati.

Marilah anak-anak semua kita renungkan kembali masalah umat ini agar hidup kita lebih terjurus kepada jalan diredhai Allah dan jauh dari kekufuran. Marilah kita menjaga Allah, mudah2an dengan ini kita akan mendapat rahmat dariNya dan diberi lindungan dunia dan akhirat.

Ayat dari surah Ali-Imran ini telah mengingatkan kita dan memberikan penekanan yang begitu menyentuh hati org2 yang hatinya hidup. Marilah kita sambut dan pegang kuat-kuat ayat ini agar kematian kita tidak rugi, walaupun bagaimana kematian kita nanti dan bila kematian kita pun.....

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ (١٠٢) وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ (١٠٣

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (102) Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya. (103)

Marilah kita semua bertakwa kepada Allah agar mencapai tahap kemuncak yang tertinggi, iaitu semakin dekat seseorang itu mendekati Allah dengan takwanya, semakin kuat keinginannya untuk mencapai maqam dan martabat yang lebih tinggi dari apa yang dicapainya dan ia terus bercita-cita untuk sampai ke maqam yang membuat hatinya sentiasa jaga dan tidak tidur.

Tentang kematian tiada siapa tahu bila umurnya akan berakhir, mungkin esok, lusa atau bila-bila masa saja.

Contohnya kita lihat masuk saja tahun 2011 seorang artis dlm lingkungan 30an yang masih aktif berlakon telah dipanggil balik oleh Allah dalam keadaan mengejut, ummi mengingatkan diri ini akan kematian mungkin datang bila-bila saja... apa yang nak dibawa balik, tiada lagi kematian kali kedua tetapi hidup kita ada ke dua kalinya, muhasabah terus muhasabah....

Akhir kalam ummi ucapkan selamat tahun baru 2011 dan marilah kita terus istiqamah pada jalanNya...

Ummi doakan kita semuanya sentiasa dalam lindungan Allah dan sentiasa mendapat kerahmatanNya setiap waktu.


Wallahu’alam