Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.

Bedah Siasat

Posted In: . By Kalam Puncak

Cuti kali ni saya ingat padat dengan daurah dan kelas tafaqquh, rupa-rupanya penuh dengan jaulah.

Saya yang sedia gelap ini kini sudah sebatang arang. Baca elok-elok, batang arang, bukan batang kara. Hangit! Penangan mentari mesir yang membakar kulit.

Belum pun sempat saya kisahkan Jaulah Matruh dan Siwa, Jaulah Damanhur-ALex-Mansoura tersenarai sudah di list item untuk dimuatkan di Dalam Jiwa Hamba. Entah bila boleh tercatat di sini.

EXAM: AN ANALITIC REVIEW

Saya berkira-kira untuk melakukan post mortem berkenaan exam tahun ini yang teruk merudum. Terjunam sedikit sebenarnya, tapi Alhamdulillah masih dihadiahkan Allah Jayyid Jiddan.

Sepanjang sesi 2007/2008 saya duga banyak silap salah yang saya lakukan. Semua ini hasilkan natijah yang saya raih sekarang. Mindsetting, cara study dan macam-macam lagi saya bedah siasat.

Sebelum itu saya tayangkan result yang tak seberapa ini pada pembaca. Malu sebenarnya.

Result yang tak seberapa. Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas.

PERTAMA: MATLAMAT YANG TERSASAR

Sekiranya perkara pokok tidak menepati yang sepatutnya, rosak segalanya. Pohon yang tumbuh dari baka yang buruk, buahnya tidak lebat lagi buruk tuaiannya. Kerap kali saya lari dari matlamat Mardhatillah. Datang kelas bukan mencari hambatan redha ilahi, tapi kerana nak jumpa si dia. Selak buku bukan kerana Allah, tapi dek sibuk kejar silibus.

Gagal jawabnya. Sia-sia.

Penat yang kerugian. Hasilnya tiada berkah.

KEDUA: FOKUS YANG SERING LARI

Bukan salah fokus. Salah saya. Tidak mampu untuk kekal dalam fokus unggul. Saya selalu impi fokus waktu di DQ dulu. Ya, hafal Qur'an perlu akan fokus yang kekal lama lagi jitu. Kini, buka buku fikiran terbang melayang. Berangan!

Dasar pisang berangan. Berangan pisang sedap dimakan. Berangan manusia tiada guna.

Baca apa pun susah masuk.

Berangan-angan

KETIGA: MULA LAMBAT

Ini kesilapan yang sering dihambur kutuk dan maki pada diri. Kerana ia mengundang keluh kesah di akhir waktu.

"Ish, awat la Ammar hang mula study lambat? Aih, apa nak jadi ni"bukan orang lain cakap. Diri ini juga.

Sudah maklum sebenarnya bahawa tahun dua di Universiti Kaherah ini jalannya sukar, panjang dan berliku. Tapi susahnya, jauhnya, bengkang-bengkoknya tak tertanding dengan jalan dakwah. Tapi menempuh kehidupan di tahun dua ini ringan jika sedia dari awal.

Sungguh, tak tipu. Tanya sapa-sapa.

KEEMPAT: MASUK KULIAH TANPA PERSEDIAAN

Rugi andai kata susah payah kita ke kuliah tidak memadai dengan apa yang kita perolehi di dalam kelas. Persediaan yang mantap, preview sebelum ke kelas, saya kira hasilannya lebih maksimum.

Sudahlah ke kuliah kosong, balik review pun tidak. Kosong-kosong.

Lalu bila diselak kembali topik-topik lama, dirasakan seolah-olah yang ditatap itu ilmu baru. Langsung tiada idea dalam benak fikiran. Insaf la Ammar.

KELIMA: LATIH TUBI SOALAN

Ini antara perkara yang saya tak buat melahirkan kekesalan.

Tambahan lagi, struktur soalan baru-baru ini dalam semua subjek berbentuk perangkap. Mungkin ada beberapa soalan ihsan yang diajukan.

Sebagai contoh, soalan Fisiologi yang menghendaki disenaraikan hormon yang mempengaruhi kawal atur Glukosa. Jawapannya tidak akan didapati pada satu muka surat sahaja. Berhajatkan belekan dan selakan.

Fahami dan kuasai kehendak soalan. Insya Allah akan mudah menjawabnya.

Kata Isa,"Kadang-kadang ana bukan baca semua sangat. Tapi cuma terer sket dalam spot dan faham soklan."

Itu sahaja yang saya mampu kongsi
Apalah sangat diri ini yang serba kurang
Cuma punya silap untuk dikoreksi
Yang sudah dibedah kita laporkan
Moga yang lain dapat tumpang sekaki.

Seronok rasanya bila buka emel baru-baru ini dalam folder perubatan_mesir. Jemputan walimatul urus dari Tuan Presiden PERUBATAN, Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin dengan pasangan pilihan serta Ahmad Syazwan Ahmad Nordin dengan Asma Abdullah. Masing-masing mengadakan kenduri atau bekwah pada awal dan pertengahan Ogos.

Tertunggu-tunggu emel dari saudara Ahmad R****** mengundang teman-teman gen6 ke walimatul urus anjurannya.

Wallahu'alam.

Berlatarbelakangkan pantai di Hamam Cleopatra

 

Disudahi dengan Alhamdulillah

Posted In: . By Kalam Puncak

Alhamdulillah, sudah punya masa untuk kemas kini weblog Dalam Jiwa Hamba.

Alhamdulillah, saya baru pulang dari Jaulah Matruh dan Siwa. Sarat dengan pengalaman dan 'ibrah yang saya kira punya impak yang besar pada diri saya.

Alhamdulillah juga, kerana keputusan peperiksaan sudah keluar akhirnya. Syukur, dengan Jayyid Jiddan ini. Tak kempunan Mumtaz kerana inilah yang selayaknya bagi saya. Padan dengan usaha.

Segalanya harus disambut dengan syukur. Kerana dengan syukur akan Allah gandakan kurniaannya.

"Jika kamu bersyukur, nescaya akan Aku gandakan kepada kamu nikmatku. Dan jika kamu kufur, ketahuilah bahawa azabKu amatlah pedih."
Ibrahim: 7
Pernah saya terbaca dalam Tarbiyah Dzatiyah, Solikhin Abu 'Izuddin mengisahkan bahawa seorang korporat memasuki motokar mewahnya lalu ditanya pemandunya, "Bagaimana cuaca hari ini?"

"Cuaca hari ini amat saya sukai", jawab pemandunya.

Kerana penasaran dengan jawapan tersebut, si korporat tersebut bertanya kembali,"Bagaimana kamu terlalu yakin dengan jawapan kamu?"

Sambil tersenyum pemandunya menjawab,"Begini tuan. Saya sudah belajar bahawa saya tak selalu dapat apa yang saya sukai. Oleh itu, saya menyukai apa yang saya dapati."



MENGAPA KUFUR?

Kadang-kadang kita terlalu memfokuskan apa yang kita impikan. Kerana itu, kecewa itu datang menerpa tatkala yang diimpi tidak tercapai.

Kadang-kadang kita terlalu sasau membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain. Kenapa dia begitu, kita begini? Gusar. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Ayuh kawan-kawan syukur dengan nikmatnya. Pasrah dengan aturannya. Kejayaan mungkin belum sampai lagi, mungkin kerana usahanya belum sampai pada limit yang Allah tetapkan. Mungkin jua Allah tangguhkan kemenangan kita. Siapa tahu. Allahu wa rasuluhul a'lam.

Namun, tiadalah yang saya syukuri lebih melainkan nikmat Iman dan Islam ini.

Terasa hina, kerana syukur ini belum sampai kemuncaknya. Jauh dari yang selayaknya.

 

Bangunkan Diri Kamu

Posted In: . By Kalam Puncak

Baru-baru ini saya dengar satu peringatan yang menjentik hati saya. Terbuka mata yang mamai dalam tidur leka.

Akibat menyesal pulang lambat ke Malaysia, saya adu pada teman-teman terdekat. Tak larat nak tunggu sebulan lagi, rindu tak terbendung. Baik pada keluarga juga masakan umi. Namun, hati ini tersentuh dengan nasihat abang Idil. Tak rugi, ilmu katanya.

TAWWIR NAFSAK

Tiga bulan cuti berbaki, termasuk yang lajak pulang berhari raya di Malaysia. Saya masih berkira-kira apa yang nak dilakukan sebulan di Mesir. Alhamdulillah, setakat ini terisi dengan kelas tafaqquh bersama Ustaz Fawwaz dan tasmi' Al-Quran.

Syekh Muhd Al-Ghazali dalam kitabnya Jaddad Hayaatak, menyebut dalam salah satu topik supaya bersama-sama untuk meningkatkan diri kita. Beliau mengemukakan contoh andai dua orang diberi peluang yang sama selama dua bulan untuk dimanfaatkan. Seorang rajin mengunjungi kelas tafaqquh, mendampingi orang-orang saleh, melazimi pembacaan dan sebagainya. Manakala seorang lagi khayal dalam mabuk hedonisme, terperangkap dalam jerat kelapangan dan gagal dalam mengkoreksi diri.

Pasti, dua bulan yang dilalui membuahkan hasil yang berbeza bagi kedua-dua individu. Pemikiran, tsaqafah, pengalaman juga watak yang berlainan. Adalah amat merugikan jika kita yang tergolong dalam mereka yang rugi lagi celaka, tiada peningkatan diri. Mabuk, khayal akibat meneguk arak hedonisme. Sebut sahaja. Filem?Drama?Game? Mana yang tak teratah..

"Sungguh beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang sia-sia."
Al-Mu'minun: 1-3
KIKIS KEAIBAN DIRI

Menyedari diri ini diselubungi aib dan cela, jadi tanggungjawab untuk koreksi. Benar, turning point itu susah dicari, tapi malu berubah bukan penyelesaian.

Saya kemukan apa yang saya pernah baca dalam Tarbiyah Dzatiyah, karangan Solikhin Abu Izuddin, seorang penulis terkenal Indonesia yang menggariskan tahap-tahap yang seseorang itu perlu cari dalam membaca aib diri;

1. Duduk bersama-sama syekh-syekh.
Berdampingan dengan para syekh ini, kita akan memperoleh tausiyah dan taujihah yang amat berguna bagi diri kita. Kefaqihan mereka serta keikhlasan dalam beramal menjadikan mereka ini golongan yang sangat ihsan dalam menyampaikan kebenaran. Namun, syekh-syekh ini sulit dicari dewasa ini lantaran sedikitnya mereka yang ikhlas. Kerana itu saya mencemburui Baihaqi.

2. Mendatangi sahabat-sahabat yang soleh.
"Sebaik-baik orang di antara kamu ialah mereka yang kamu lihat akan mengingatkan kamu kepada Allah"

Abu Musa Al-Asy'ari sangat gemar menatap wajah Abdullah Bin Mas'ud. Begitu juga Ibnu Qayim amat suka melihat wajah Ibnu Taimiyah. Kerana bila diperhati sahabat-sahabat mereka ini berputik iman, berbuah amal.

Daripada sahabat-sahabat yang soleh ini, dikurnia Allah kepada kita basirah diniah (pandangan deen). Insya-Allah daripada mereka akan terjelas persepsi mungkar. Sudah menjadi kewajiban ke atas kita agar dikenali kebatilan. Garis panduan agar tak tergelinicir dari landasan syara'.

3. Mendengar cercaan musuh.
Kerana mata orang ini lebih tajam dalam menjejaki jelek orang. Jangan didengar dari corong amarah tapi dengan akal yang terpimpin.

4. Interaksi dengan setiap golongan manusia.
Seharusnya menggauli manusia berbagai ragam yang ditemui. Apabila yang jahat itu ditemui maka jauhilah!

"Jiwa kamu jika tidak disibukkan dengan ketaaatan akan disibukkan dengan kemaksiatan."
Ali Bin Abi Thalib

 

Tremco, Minyak Dan Rakyat

Posted In: . By Kalam Puncak

Terik mentari musim panas terasa pedih membakar kulit. Pijar rasanya. Kerap kali ulang alik dari Sayeda Zainab ke Hayyu Asyier menjadikan perjalanan terasa amat meletihkan.

Turut sama membebankan adalah kos pengangkutan yang bertambah. Masakan tidak. Kalau dulu tambang tremco Ghamra-Asyier hanya LE 1.25 sekarang sudah LE 1.50. Kalau ke Sabie dulu LE 1.00 kini LE 1.25. Kemudian sambung ke Asyier dulu LE 0.50 sekarang sudah LE 0.75. Itu belum dilihat lagi harga tambang bas pendek daripada LE 1.10 melonjak kepada LE 1.50. Mujur sahaja bas panjang yang seperti tin sardin itu statik harganya.

Mungkin kita bagi pelajar-pelajar perubatan di bumi Mesir kalau setakat naik rubu3(satu perempat) atau nus(setengah) tidaklah terasa sangat. Tetapi, bagi pelajar-pelajar Malaysia tanpa penaja atau masyarakat Mesir setempat, keadaan ini amat membebankan mereka.

Bagi mereka yang selalu menggunakan jaringan pengangkutan terbaik di Mesir (hanya aspek kepantasan sahaja) iaitu tremco, mungkin seringkali melihat pertengkaran antara penumpang dan pemandu. Bertikai harga, minta diberi murah dan sebagainya. Tak tahan gamaknya.

HARGA MINYAK

Hal ini gara-gara kenaikan harga minyak yang agak melampau di Mesir. Sama halnya dengan di Malaysia.

Di Mesir, harga minyak melambung tinggi dengan mencatatkan Petrol 90 mencecah LE 1.75 dari LE 1.00, Petrol 92 mencecah LE 1.85 manakala Petrol jenis 96 sehingga LE 2.75. Kenaikan ini nyata menggoyahkan ekonomi keluarga masyarakat setempat sekaligus memberi kesan besar dalam kehidupan seharian mereka.


Nilai harga minyak mungkin nampak keci nilainya, tapi harus dingat Mesir bukan negara semaju Malaysia. Masih ketinggalan dalam kemajuan teknologi dan beribu-ribu rakyat yang tidak terbela hak mereka.

Bila minyak naik harga, tentu sahaja semua barang terkesan sama. Kenaikan berantai. Lantas rakyat diheret ke dalam hidup yang melarat, membebankan juga menyesakkan. Yang miskin tidak terbela yang kaya kekal larut dalam kayanya, hasil korupsi.

Kalau teman-teman menyusuri jalan dari Nadi Sikah menghala ke Sayeda Aesya, kalian akan mendapati seolah-olah keluar dari Kaherah sebentar. Kawasan perkuburan sekitar kawasan itu bukan sahaja dihuni oleh jasad-jasad kaku dan tulang belulang, malah mereka yang hidup melarat berteduh di balik dinding binaan kubur. Sedih melihatnya. Tiada terbela.

Apa untung cukai di Terusan Suez tidak upaya menampung hidup rakyat yang miskin? Bukan jutaan, bahkan bilion dolar yang terpungut. Tiada beza dari kisah rakyat di bumi sendiri. Entah mana perginya untung yang diraih Petronas. Tak sepadan manfaat yang dirasai rakyat dari syarikat gergasi emas hitam Malaysia.

DUSTURUNA

Saya bukan hendak sibuk-sibuk komen berkenaan isu politik negara orang, tapi ingin berkongsi apa yang saya nampak. Moga kita lebih faham realiti Mesir sendiri. Kita sering dakwa bejatnya rakyat Mesir datang dari hancurnya akhlak mereka. Tapi mereka ini jadi mangsa perangkap negara yang belakangkan hukum Allah.

Bila yang memerintah itu dusturnya bukan Al-Quran, sasar hala tujunya. Kepentingan diri jadi intipati. Hambatan nafsu kuasi diri. Bila Islam itu yang diambil hanyalah saduran, tiadalah Islam itu telah tertegak. Akhirnya, negara menuju kerosakan.

Yang nampak maju itu bukan maju jika kayu ukurnya sekadar material. Besar hajat diri ini bahkan satu keyakinan suatu hari nanti Islam menjadi Mahaguru kepada alam.

"Dirikanlah negara Islam dalam diri kamu, nescaya tertegak di negara kamu."
-Hasan Hudaibi-

 

Marhaban Ya Ragab

By Kalam Puncak


Lembaran baru bulan Rejab bermula hari ini.
Tanda Ramadhan menjelma tak lama lagi.
Sedia ruhi, aqli dan jasmani agar terpacu segala kudrat termampu diri.
Dalam memenangi redha Ilahi.


Oh ALLAH! Bless us in the month of Rejab and Sya`ban, and make us reach Ramadhan.