Dalam Jiwa Hamba
Mencari erti hina...hina sebagai hamba...hamba disisi Rabbi.

 Syukur kehadrat Illahi yang memberi kita peluang untuk bernafas dan  dapat duduk muhasabah diri akan kekurangan dan apa yang perlu di tambah agar dunia ini benar-benar menjadi ladang untuk ke akhirat.

"Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat"- petikan kata2 keramah Muhammad Ammar Zulkifli


11 Jun 2009 - 11 Jun 2014 telah genap 5 tahun 'Ammar telah pergi meninggalkan alam yang fana ini. Beliau telah melalui segala-galanya  yang kita semua belum tempuhi lagi. Kematiannya telah benar-benar menghidupkan hati kami sekeluarga, banyak meninggalkan pahit dan manis yang tidak boleh digambarkan tetapi bila melaluinya barulah kita merasai situasi ini. 

Mengimbau kembali catatan salah seorang blogger terhadap anakanda Ammar, mudah-mudahan ia memberi motivasi dan menghidupkan kembali hati yang alpha...



 Sy x pernah berjumpa beliau…first time mengenali beliau semasa sy membaca catatan blog dibawah pengendalian beliau beberapa bulan dahulu...w/pun beliau jauh lebih muda dr sy tp sy amat kagum ngan tazkirah n pandangan beliau dlm setiap entry blog beliau "Dalam Jiwa Hamba"...

Jiwa beliau amat sensitive terhadap nur islam…penulisan beliau amat manis utk dihayati…skrg nie jasad beliau tlh pun bersemadi dipangkuan asal usul kejadian manusia…tanah…namun begitu rohnye tidak kesunyian… ianye digembirakan oleh malaikat2 yg menyambut beliau…malahan amal ibadat beliau menjadi teman setia yg sentiasa mengharumkan nama beliau di alam bazarkh tu…insyaallah…

w/pun prospek kerjaya beliau nanti akan bergelar bakal seorang doktor tp keperibadian beliau x skali2 menggambarkan gelaran tersebut menjadikannye seorg yg tenggelam punca…kerendahan hati beliau amat sy sanjungi…
catatan beliau dlm blog ttg bakal kerjayanye sebagai doktor "Kerjaya doktor itu hanyalah alat kita mencapai tahap perhambaan yang dimuliakan Allah disisiNya.Saya ulangi, doktor itu alat untuk menyelami jiwa perhambaan kepada Allah! Gunakanlah ia sebaiknya!"

Utk membentuk seorg pemuda berjiwa seperti beliau amat sukar…Untung kedua ibu bapa almarhum yg berjaya mendidik serta melaksanakan amanah Allah dgn cara yg paling sempurna…Tahniah juga wat para guru2 almahum krn pernah dikurniakan seorg anak didik yg berjiwa kental n manja dgn perjuangan Islam…Kpd sahabat2 beliau pula…ikatan teman sejati tu nanti akan bersambung di syurga firdausi….

Almarhum Ammar bukanlah seorg yg tlh mencipta nama besar dinegara kita…tp catatan2 diblog beliau pantas kita mengenali bhw beliau delah seorg anak muda yg amat mencintai agamanye dlm dunia remaja yg penuh dugaannye…Kehilangan mujahid muda nie merupakan kehilangan sebutir permata yg layak dianugrahkan gelaran putra terbaik Malaysia….

Alhamdulillah sempat bergambar bersama-sama Ibu Ahmad Ammar yang mana kematian anaknya benar-benar menghidupkan ramai orang. Kemataian mereka hampir sama, terlibat dalam kemalangan jalanraya pada usia  20 dan 21 tahun dan kematian di bumi perantauan. Hebatnya percaturan Allah tetapi kita sebagai hamba perlu redho dengan ketentuannya....



Adik kepada Almarhum Ammar Zulkifli di beri peluang menjadi moderator dalam program bersama ibubapa Almarhum Ahmad Ammar di UPNM

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.Dan sesungguhnya pada hari kiamat nanti segala pahalamu akan disempurnakan. Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya dia telah mendapat kejayaan yang sebenarnya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan" ( Aali Imran: 185 )


"sesungguhnya kematian yg kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yg mengetahui yg ghaib dan yg nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yg telah kamu kerjakan".(Al-Jumu'ah :8)

Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan ditempatkan mereka dikalangan orang-orang beriman dan dijadikan kubur mereka seluas-luas taman syurga...Ameen Ya Rabbul'alamin...

 

Bertemu kembali, setelah sekian lama blog ini dibiarkan sepi, bukan tak ingat tetapi kematian ideal. Alhamdulillah hanya idea yang mati bukan orangnya yang mati. Marilah kita sama-sama muhasabah kematian sebab inilah satu2nya yang mampu mengegarkan jiwa dan membangunkan iman. Jom muhasabah....

Mati


Mati itu adalah pasti untuk setiap manusia, maka setiap anak Adam berpisahnya jiwa dengan jasad maka terhentilah segala amal yang dilakukan selama jasadnya boleh pergerak. Tiada manusia yang dapat lari dari kematian, semuanya pasti untuk setiap makhluk Allah yang bernyawa. Cuma kita sebagai manusia perlu ada persediaan untuk menghadapi kematian ini. Sebagai manusia yang beriman kita menghadapi sakaratul maut berbekalkan  Tauhid, jiwa pergi dari jasad membawa Tauhid. Jika kesadaran telah dipenuhi dengan “Tauhid” kehidupan kita akan bebas dari azab ALLAH, demikian juga dengan kematian kita.

            Mati pada hakikatnya adalah terbebasnya ruh (ruhani) dari jasad (jasmani). Jadi jadikanlah dalam kehidupan ini ruh (ruhani) kita tidak terkawal oleh jasmani atau tidak terkawal oleh hawa nafsu. Jadilah ruh (ruhani) kita mengendalikan hawa nafsu bukan hawa nafsu yang mengendalikan ruh (ruhani) kita.

Sebenarnya  di sini bukanlah untuk kita melihat matinya jasad tetapi perbincangan yang sebenarnya adalah matinya hati. Adalah beberapa langkah untuk mengawal hati agar ianya tidak mati sebelum jasad yang sebenarnya mati. Kita amat bimbang jika hati kita yang mati kerana orang yang mati hatinya akan berada dalam kegelapan dan tidak mendapat nur Illahi, oleh itu agalah hati agar tidak mati.

Marilah kita sama-sama membina jiwa agar dapat melawan nafsu yang sentiasa mengajak kita untuk menentang Allah kerana hati tidak akan sampai kepada Allah selagi kita melawan nafsu ini.

Hati yang hidup merupakan tempat pandangan Allah di bumi ini dan tempat terpancarnya cahaya Allah.

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah melihat kepada hati kamu” (Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah Taala:

“Pada hari Qiamat nanti, harta dan anak-anak tidak berguna kecuali orang-orang yang datang menemui Allah dengan hati yang sejahtera.” (Surah As-Syura: 88-89)

Oleh itu hati kita perlu dididik  sungguh-sungguh dengan Al-Quran dan Al- Hadith supaya hati sentiasa hidup, sentiasa ada hubungan dengan Allah, hati yang  yakin bahwa kita akan bertemu Allah, hati yang yakin bahawa Allah akan mengira segala amalanya, hati yang sentiasa mengharap rahmat Allah dan hati yang takut azab Allah Subhanahu Wata’ala.

Jika dibiarkan hati kita tanpa iman sehingga ianya mati begitu saja, inilah punca menjadi hati yang sangat keras sehingga tidak tidak pernah memikirkan mati dan tidak pernah menitiskan airmata mengingatkan kelemahan diri serta memikirkan azab Allah dan kebesaranNya.

Inilah rahsia kejayaan  Rasulullah di mana Rasulullah berjaya menorentasikan hati para sahabat beliau dengan iman kepada Allah dan iman kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain. Sesungguhnya Allah telah menguji iman mereka sehinggalah lahirlah orang-orang yang benar-benar  beriman kepada Allah.


 Akhir kalam, kita memohon perlindungan Allah dari hati yang keras dan mata yang tidak pernah menitiskan air mata dan memohon bantuan Allah agar menjadikan kita hati yang hidup. 

 

Alhamdulillah syukur pada  Allah setinggi-tinggi syukur akan nikmat dan rahmatNya diberi pinjam kesihatan dan kudrat serta dapat bernafas di alam fana ini. Selawat dan salam ke atas junjunggan Rasulullah SAW, keluarga baginda serta para sahabat dan tabein semuanya.
Allahyarham'Ammar
Selagi bernama manusia berbagai rencah kehidupan akan ditempuhi, pokoknya setakat mana kita merasai itu sebagai ujian atau pun nikmat. Resam kehidupan manusia ada kegembiraan menerima kelahiran cahaya mata dan tidak kurangnya juga ada yang kesedihan kehilangan orang tersayang. Semua ini asam garam kehidupan, Cuma cara kita menerimanya yang menjadi asas dan pokok yang menguji keimanan kita.

Allah izin bagi ummi hari ini 11 Jun merupakan hari dan detik sejarah sedih menyelubungi keluarga kami atas kehilangan anakanda Ammar yang merupakan telah 4 tahun dia meninggalkan kami. Terasa sudah lama sangat telah berlalu kenangan ini dan ia sentiasa menjadi ingatan dan pembakar semangat untuk ummi membuat kerja2 Islam. Jiwa ini terasa seolah-olah arwah membisikan, “ Ummi jangan tinggalkan kerja2 Islam, ajak remaja-remaja kembali kepada Islam”.

Mengimbau kembali detik sejarah ini  rasa hiba dan pilu sangat tetapi bila dihubungkan dari sudut keimanan ianya mampu  islah diri bagi mendekatkan diri dengan Allah dan merupakan satu yg positif untuk mecapai redha Allah.

Ya Allah rupanya ada hikmah disebalik kejadian ini, ya selepas 4 tahun banyak perkara yang didoakan pada hari kematiannya telah termakbul. 


 Kami kerja bersama mencari rezeki untuk hidup di bumi yang fana, Alhamdulillah, Allah juga mengikat hati kami untuk mendapat Redha Allah - Ummi sayang antum kerana Allah.

Anak di Universiti yang hebat.... Ummi juga sayang kamu kerana Allah

Ya Allah syukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan terhadap kami. Alhamdulillah, Ya Allah,  Engkau benar-benar kurniakan kepada diri hamba Mu yang hina ini dengan mengurnaikan anak-anak untuk sama-sama mengislahkan diri untuk kembali kepadaMu serta mendapat keredhaan Mu.

Ummi sayang mereka semua kerana Allah, mudah2an apa yang kita lakukan selama ini mendapat Redha Allah...

Ya Allah! Engkaulah sahaja Tuhan kami dan Engkaulah sahaja Pencipta kami serta Engkau sahaja memberi petunjuk kepada kami dengan Agama Islam dan Engkaulah yang mempu mengikat hati kami, Engkaulah sahaja yang mengambil nyawa kami dan Engkau sahaja yang mengetahui rahsia kami yang tersembunyi dan nyata. Ya Allah! ampuni segala dosa kami, dosa anak kami Muhammad 'Ammar, dosa kakakku dan dosa kaum muslimin dan muslimat yang telah meninggal jadikan kubur mereka dan kubur kami nanti seluas-luas taman syurga Mu.

 

Bertemu kembali...

By Kalam Puncak

Alhamdulillah bertemu kembali setelah sekian lama membisu.

 

 Syukur, Alhamdulillah atas nikmat yang telah Allah anugerahkan dan masih boleh bernafas di dunia yang fana ini. Selawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad Rasulullah saw, serta keluarga, sahabat2 baginda semuanya.

Sudah hampir 4 tahun arwah 'Ammar meninggalkan kami, tetapi semuanya terasa amat pantas dan hati ini tidak pernah rasa putus merinduinya.

" Ya Allah Engkaulah tempat kami memohon pertolongan dan tempat mengadu. Hanya Engkaulah yang mengetahui bagaimana perasaan kami dan hanya pada Engkau sahaja tempat kami kembali. Ya Allah, jika Engkau mengambil ku kembali kepada Mu, ambillah aku dalam keadaan husnul khatimah." Ameen Rabb.

Jom kita muhasabah kembali kehidupan kita ini, akhirnya kita akan kembali menuju Allah. Persoalannya adakah kembalinya kita kepada Allah dalam keadaan diredhai oleh Allah?

 Wahai anak-anak semua marilah kita muhasabah diri diri biarlah perjalanan kita menuju Allah dibawa dengan hati yang sihat, sejahtera, hidup dan basah mengingatiNya. Kita perlu sentiasa menilai, mempersiapkan diri dan berbekalah dengan bekalan takwa.

 Firman Allah dalam surah Al-Baqarah: 197

  وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰ‌ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٧)...

Maksudnya: ...dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (197)

 Ibnu Jauzi menyebut: "Jalan menuju Allah bukanlah jauhnya perjalanan kaki, namun ia adalah perjalanan hati."

 Sebab itulah hati merupakan tempat kepada sasaran tarbiyah, wahai anak-anak semua jangan dibiarkan hati kita kosong tanpa diintai dan dibelai oleh tarbiyah. Biarkanlah hati kita ditarbiyah kerana dengan hati yang suci inilah akan lahir insan yang bertakwa, sentiasa takut dan meninggalkan apa yang dilarang dan menyuruh kepada yang maaruf. Maka hati yang bersih inilah akan lahir cahaya iman yang sentiasa menerangi kehidupan dan akan hadir ketenangan dalam hidup. Oleh itu, kebahagiaan dan kesejahteraan akan tercapai dalam kehidupan yang panjang ini dan dirasai nikmatnya dalam rangka perjalanan menuju akhirat. Jadilah dunia ini sebagai ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya dituai di akhirat nanti, In sha Allah.


 

 

Muhasabah kembali....

By Kalam Puncak


Alhamdullilah bertemu kembali setelah sekian lama tidak berbicara di sini, syurkur atas nikmat dan rahmatNya dapat lagi kita menghirup udara yang diberi oleh Allah tanpa bayaran dan nikmat kita diberi peluang untuk melakukan ibadat dan menambahkan bekalan untuk ke alam yang kekal abadi ini.

Tersentak ummi membaca akhbar pada 4/9/12 atas pemergian 2 orang pelajar perubatan yang belajar di Rusia yang sedang berada di tahun 5. Tanpa disedari air mata menitis dan sebak sangat mendengar peristiwa begini. Ummi dapat merasai bagaimana perasaan dan pilunya hati ibubapa mereka, tetapi apa-apa pun kita mestilah redha dan sabar. Itulah yang mampu ummi katakan, sekalung takziah diucapkan kepada kedua-dua ibubapa, keluarga dan sahabat2  pelajar iaitu Hanisah Muhd Shah dan  Adzreen. 

Mudah-mudahan roh mereka di tempatkan bersama-sama orang beriman dan para solihin, Ya Allah kurniakan kepada mereka kubur yang luas seluas taman-taman syurgaMu.

سُوۡرَةُ الزُّمَر
ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلۡأَنفُسَ حِينَ مَوۡتِهَا وَٱلَّتِى لَمۡ تَمُتۡ فِى مَنَامِهَا‌ۖ فَيُمۡسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيۡہَا ٱلۡمَوۡتَ وَيُرۡسِلُ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ مُّسَمًّى‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ (٤٢)

Maksudnya:
Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (42)

Selepas mendengar pengkhabaran ini, hati terasa untuk membelek-belek kembali blog-blog  yang ditulis  selepas ‘Ammar kembali ke rahmatullah pada 11 Jun 2009 lepas. Terasa hati untuk post kembali  blog  yang ditulis oleh seorang sahibah yang tidak dikenali oleh arwah, mudah-mudahan akan membuka minda dan selalu beringat untuk kita kembali muhasabah bahawa kematian tidak kira umur tetapi amal yang kita lakukan semasa hidup dapat menyelamatkan kita...

Terus muhasabah.....

dengan namaMu ya Allah..ku mulakan penulisan..moga apa yang dicoretkan, sentiasa di bawah bimbingan Mu..

khabar yang datang..satu persatu di mesej ym..awalnya, aku sekadar membaca sekilas..innalillahi wainna ilaihi rajiun..
kalimah itu lancar ditutur..mesej itu lalu dipadam..

tidak lama kemudian, datang lagi mesej dari ym..isi nya tetap sama..kalimah tadi, meluncur lagi dari lidah ku..melayari facebook..melihat sekilas note dan juga blog di wall seorang teman. hati kuat untuk membuka. Lantas penulisan itu di baca. Tergamam. Insan yang pergi ini bukan insan biasa.

Semasa hayatnya dia, aku tidak pernah mengenali si arwah. tp membaca bait kata-kata di dalam diari mayanya itu, membuat aku cukup kagum..

Jiwanya mereka yang hangat cintanya mencari akhirat, laksana anak-anak
akhirat..melihat dunia dari jendela akhirat.


itu prinsip semasa hidupnya aku kira..prinsip yang membuat aku cukup-cukup terkesan. Sebak dalam dada pasti sakit sekali. namun hati ku yakin sekali, dia bahagia di sana. apa tidaknya, andai tiap amal dan kata yang dia cernakan, di analisa agar tetap menjadi hambaNya..lalu itu yang dilakar sebagai heading blog, Mencari erti hina, hina sebagai hamba, hamba di sisi Rabbi..
Hadith :
Dari Abu Qatadah bin Rabi’ r.a beliau menceritakan bahawa pada suatu
ketika, satu jenazah berlalu di hadapan Nabi SAW, lalu baginda bersabda:”Senang
dan menyenangkan” Para sahabat bertanya:” Apa maksud ucapan tuan itu Ya
Rasulullah?” Jawab nabi SAW:”Apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka dia
telah senang (istirehat) dari kesusahan dunia. Dan apabila seorang jahat yang
meninggal, maka dia menyenangkan (mengistirehatkan) seluruh hamba Allah, seluruh negeri, pohon-pohon dan binatang daripada kejahatannya.”(al-Bukhari)
:: "put aside ur pride, set down ur arrogance, and remember ur grave" -Ali ibn Abu Talib r.a ::

termenung kaku. kematian yang datang tidak pernah kenal usia. tidak mengenal tempat dan waktu. mengapa sukar untuk hati ini menerima. itu hakikatnya kematian. aku tunduk merenung kembali dalam diri.. cukup sudahkah aku bergelar hamba? cukupkah aku mengakui aku hanya seorang hamba? cukupkah aku mengabdikan diri demi agama Dia pd Tuan ku dan juga Tuhan ku sebagai seorang hamba? titik kesyukuran yang puas ku cari titik hentinya..namun tak ketemu.. terlalu hebat rahmat dan mahabbah Mu ya Allah pd kami yang cukup2 hina.

Cukup ya Allah andai redha Mu yang menuntun ku di sepanjang perjalanan dan sisa baki hidup yang masih ada. Jadikan aku, hamba yang bersyukur atas tiap nikmat yang Kau berikan. Agar aku menghargai tiap saat dan ketika yang aku punyai. Aku sedar, kematian itu di tangan Mu. Cuma, aku jua akur, nisyan atau manusia itu sifatnya pelupa dan alpa.Satu pohonan ku ya Allah, andai tiba saat kematian ku. Matikan aku dalam redha dan kasih sayang Mu. mati kan aku dalam pohonan taubat aku pada Mu. terlalu banyak yang melekakan..terlalu banyak yang membawa aku hanyut dari mengingati MATI yang pastikan datang di pintu kehidupan.

aku hayati prinsip ini.
 MELIHAT DUNIA DARI JENDELA AKHIRAT. namun, serasa ianya bukan sesuatu yang mudah. berjalan di City, langkah kaki terus laju seiring akal yang ligat berputar. bagaimana sahabat ini bisa berpegang dgn prinsip yang bukan mudah untuk di adaptasi dalam kehidupan nyata.

tiap penulisan si arwah, di belek dan diambil inputnya.. jelas, tiap kata-katanya tak pernah lari dari kembali kepada fitrah manusia..kembali kepada insan yang punya jiwa hamba..yang bernafas dengan nafas seorang hamba..mencari dan berpegang kembali pada kalimah yang Maha Kuasa di atas sana. Jendela akhirat itu jendela 'dunia kedua' yang bakal kita tempuh sebaik sahaja habis tempoh hidup kita di dunia sini. andai manusia terlalu mencari redha dan kasihnya manusia, lalu dia temui kepuasannya di dunia. Andai dia bijak menilai dan membezakan, melalui pandangan di jendela dunia satu lagi itu..samaada tiap yang dilakukan ini bisa memberi sesuatu untuk bekalannya di sana..sudah pasti redha Rabbul Izzati itu yang digilai dan didamba. dan sudah pasti di saat kematiannya, dia tersenyum..kerana tiap yang dilakukan awal2nya sudah di 'guide' untuk memperoleh Cinta dan Redha Yang Maha Halus.

perginya dia, tapi bukan semangat juangnya, ayuh teman-teman, kita hirup nafas perjuangan yang saudara Ammar tinggal kan buat kita yang masih di dunia fana..jejak kita pasti bakal menyusul saudara Ammar. Cuma masa penentu segala. sedikit ingatan dari penulisan beliau yang baik dan cantik untuk di kongsi bersama..


Harus diingati, yg dipersoalkan Allah nanti adalah sejauh mana kita
mempersembahkan diri kita sebagai hamba Allah. Kerjaya doktor itu hanya alat
kita mencapai tahap perhambaan yang dimuliakan Allah



sama-sama bermuhasabah..
andai saudara Ammar pergi tatkala dia sudahpun
mempersiapkan diri untuk menyembah diri sebagai hamba kepada Rabbul
Jalil,bagaimana kita pula?..

andai dia pergi di saat dia sedar yang sijil
yang sedang dia cuba gapai itu hanya sekadar alat demi mencapai redha
Allah..lantas kerja dakwahnya tak pernah di tinggalkan lantaran kesibukkan kehidupan sebagai seorang yang bergelar 'student medic'..apakah kita punya nilaian yang sama? renungkan


AlFatihah buat allahyarham Ammar Zulkfili, moga selalu
berada di bawah lembayung kasih Ar Rahman Ar Rahim. Moga Jannah Nya yang selalu didambakan itu jadi milik mu..amin..
Posted 13th June 2009 by Ana Farhanah

Mudah-mudahan kita semua dalam lindungan dan sentiasa dalam rahmat Allah hendaknya dan sentiasa mencari mencari erti seorang hamba .....


Salam Mujahadah semua.....

 

Arwah 'Ammar 3 tahun dalam kenangan
Assalammualaikum semua, hari ini 11 Jun 2012 yang merupakan detik sejarah ummi dan keluarga diuji oleh Allah dengan ujian yang hebat dan terkesan sehinggalah hari ini walaupun telah 3 tahun peristiwa ini berlaku.

Masih teringat2 lagi dan kadang-kadang hati terasa pilu dan hiba mengingatkan peristiwa ini, walaupun ‘Ammar  telah pergi  dah 3 tahun adalah menjadi rutin ummi  setiap jumaat akan mengunjungi ke pusaranya kecuali keuzuran, berdoa dan muhasabah diri kerana ummi juga akan ke sana suatu hari nanti, insyaallah.
Kubur arwah setelah 3 tahun

Sejak peristiwa pemergian arwah, kematian orang yg ummi kenali selalu saja mengunjungi  terutama sekitar April sehingga Jun, contohnya pada 2010 pelajar Matri meninggal dan biras juga meninggal pada bulan November 2009. Tahun 2011, pelajar Matri sekali lagi meninggal dalam kemalangan sekitar bulan Mei dan kakak sulong meninggal bulan April dan akhir sekali pada tahun ini iaitu 2012 sekitar bulan April pelajar SMA Ibrah meninggal juga akibat kemalangan dan pada awal Mei kakak Ummi kedua pula meninggal pada usia 63 tahun juga seperti kakak sulong.

Arwah kakak Ummi yang kedua baru meninggal pada 4 Mei 2012 pada usia 63 tahun

Ya Allah, memang hebat peringatan Mu tentang kematian pada diri ini, tak tahu giliran siapa pula lepas  ini sebab kematian itu pasti tetapi yang tak pasti siapa pula lepas ini, Ya Allah jadikan kematian ku sebaik-baik kematian iaitu dalan keadaan husnul khatimah.

Mari kita hayati hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibn Majah yang bermaksud:

Dan dari Anas, r.a, katanya: “Rasullulah SAW, telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu”? Pemuda itu menjawab: “Aku berharap kepada (rahmat Allah) Ya Rasullulah, dan aku takutkan (balasan buruk) dari dosa-dosa ku”. Mendengarkan yang demikian Rasullulah SAW, bersabda: “Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikanya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."

Ummi mendoakan kesejahteraan dan kebahagian  dunia dan akhirat kepada semua sahabat-sahabat arwah ‘Ammar  yang masih diberi peluang oleh Allah untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri agar kebahagian akhirat jangan dilupakan walaupun kehidupan dunia yang dicari.

Sahabat arwah

Kepada semua anak-anak Gen6 selamat menghadapi tahun akhir antum sebagai pelajar perubatan dan mudah-mudahan kejayaan menanti antum semua. Tidak lupa juga kepada sahabat arwah yang belajar Medic di Jordan, tahniah atas kejayaan tahun akhir yang akan menjadi Dr tidak lama lagi, Insyaallah.

“Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat...melihat dunia dari jendela akhirat.”

Anak ummi ‘Ammar sekarang benar-benar menjadi anak akhirat yang memang melihat kita semua melalui jendela akhirat, mudah-mudahan Allah ampunkan segala dosa-dosanya, Ya Rabb jadikan kuburnya seluas taman-taman syurgaMu dan tidak lupa untuk semua saudara-saudara ku kaum muslimin dan muslimat dan selawat serta salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, ameen Rabb.

 


Penyampaian Allayarham Ustaz Dahlan yang merupakan murabbi kepada Arwah 'Ammar, mudah-mudahan memberi peringatan kepada kita semua

Assalamualaikum,apa khabar anak-anak dan semua pengunjung blog ini, ummi mengharapkan agar berada dalam keadaan sejahtera dan iman yang sentiasa sihat berkembang hari demi hari sehinggalah dipanggil pulang oleh Allah.

Dah lama tak tulis diblog ini tiba-tiba rasa nak tinggal sikit kesan pada tahun 2012 ini, mudah-mudahan ini memberikan satu kebaikan pada diri ummi hendaknya, Insyaallah.

Marilah kita memupuk dan membajai iman kita supaya ianya menjadi subur dan hati sentiasa takut kepada Pencipta. Mudah-mudahan kita semua mendapat kasih sayang Allah sentiasa dan dikurniakan kebahagiaan dunia dan akhirat serta mencapai keperibadian muslim yang sebenar. Adakah keimanan kita ini meresap dalam hati kita dan bertakhta di jiwa, dan mampu mengerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah? Adakah menjadikan perkara- perkara ghaib seolah-olah hadir di depan mata?

Memenuhkan jiwa kita dengan perasaan tenang, tabah, ikhlas dan tetap pendirian, memudahkan sesiapa yang mempunyai iman seperti berkorban apa sahaja demi jalan Allah. Memanglah kehidupan kita banyak dugaan yang perlu kita tempuhi dari aspek masa, tenaga sehinggalah wang ringgit dan semua ini memerlukan pengorbanan. Tanpa keimanan yang teguh siapalah kita untuk hidup di dunia ini, maka jadilah kita orang –orang yang rugi dunia dan akhirat.
Jika keimanan yang teguh dia akan memberi kita pengaruh dan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat kita. Kehidupan di dunia kita akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang menerangi hati seseorang muslim dan kehidupan diakhirat kita akan tuai kemanisan Iman ini dengan kehidupan kekal abadi dalam keadaaan yang selamat.

  Kemanisan Iman


Tanda-tanda lahir kemanisan iman:
 • Kecintaan seseorang mukmin untuk melakukan ibadah
 • Merasa tenang dan selesa melakukanya disertai dengan perasaan rindu dan lapang dada melakukanya.
 • Apa yang lebih penting dengan kemanisan iman ini dapat dirasai oleh Ruh kita juga.

 Hadis Nabi Sallahu’alaihiwasallam yang mulia menyebut bermaksud:

 “Jika terdapat perkara ini pada seseorang, beliau akan merasakan kemanisan iman: beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah.”

 Akhir kalam untuk pesanan diri dan semua , marilah kita mencari dan menyuburkan iman kita.

Bagaimana ya, marilah kita mencari sahabat-sahabat yang boleh memperingati diri kita dan ukhuwah serta berkasih sayang hanya kerana Allah, tidak ada kepentingan diri dan hati yang sentiasa lapang dengan kita. Selalulah berfikir akan nikmat dan kebesaranNya, sentiasa melihat alam dan manusia sekeliling, di situ memberi kita pengajaran.

Lihat kepada manusia yang melakukan keingkaran apa yang mereka dapat selain daripada kemurkaan Allah dan lihat kepada manusia yang melakukan kebaikan, alangkah bahagianya mereka mendapat kasih sayang, ketenangan dan keberkatan Allah. Semua jalan ini kita yang pilih, oleh itu anak-anak semua marilah kita semua menjadi insan yang sentiasa mencari hak Pencipta sehinggalah dipanggil balik oleh Allah kerana kematian itu boleh datang bila-bila tanpa ada sebarang signal.

 Marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala:


Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kami di sisi Engkau. Berilah keutamaan ke atas kami dengan keutamaan Engkau. Cucurilah ke atas kami akan rahmat Engkau. Turunkanlah ke atas kami akan keberkatan Engkau. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohonkan daripada Engkau akan petunjuk, ketakwaan, kawalan nafsu serta kekayaan.


 Ya Allah! Pimpinlah kami dengan petunjuk, sucikanlah kami dengan sifat-sifat takwa serta ampunilah dosa kami di dunia dan akhirat nanti. Ya allah! Perkenankanlah kami untuk menuju ke arah petunjuk Engkau dan peliharalah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan kebodohan dan kerosakan diri kami, selamatkan kami daripada sifat-sifat keburukan hawa nafsu kerana ia adalah sejahat-jahat musuh. Jadikanlah kami apa yang Engkau kabulkan itu supaya berpaling daripada kami sifat-sifat keburukan dengan berkat limpah kurnia-Mu wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau palingkan hati kami selepas kami menerima pimpinan daripada Engkau dan kurniakanlah Rahmat dari sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Rahmat.


Ya Allah ! Sesungguhnya kami memohon kepada Engkau akan nikmat yang sempurna pada tiap-tiap suatu daripadanya serta bersyukur kepada Engkau kerananya sehingga Engkau reda selepas engkau meredainya; juga kami pohonkan sesuatu yang ada kebajikan yang Engkau jadikan itu akan mendatangkan kebajikan pula kepada kami; permudahkanlah setiap urusan kami dan janganlah pula Engkau jadikan ianya susah bagi kami, wahai Tuhan yang Maha Mulia.

Ameen, Ya Rabul'alamin.

 

Pengalaman travelog haji 1

By Kalam Puncak


Disepanjang perjalanan menuju ke lapangan terbang, penduduk kampung melambai-lambai kepada rombongan jemaah haji dan dibawa masuk pintu khas ke kapal terbang, terasa seperti kami tetamu khas (Insyaallah mudah-mudahan benar2 menjadi Dhuyuf AlRahman)

Alhamdullilah, perjalanan ummi ke Tanah Suci dan telah selamat pulang dengan sikit ujian terhadap pakcik yang retak pada pegelanggan tanganya. Mungkin ini di namakan ujian untuk menguji kekuatan kita untuk meneruskan program2 yang telah kita lalui di Tanah Suci.



Mudah-mudahan keberangkatan ummi dan pakcik ke Tanah suci ini merupakan pengembaraan menuju kepada Allah dan membawa iman yang ada pada kita dan di translate di sana sebagai bekalan untuk menjalankan urusan2 di sana.



Bekalan dari ibadah haji ini adalah bekalan yang besar dan banyak yang dikurniakan Allah kepada orang yang menziarahi Baitullah.
Limpahan kurnia dari Allah tatkala menunaikan syiar2 ini adalah limpahan yang penuh dengan nur, hidayah, takwa, rahmat, sakinah (ketenangan), keamanan terutama akan dirasai oleh para jemaah haji yang sejahtera hatinya, yang jernih lagi ikhlas kerana Allah semata-mata.

Sesungguhnya bagi orang yang menunaikan haji dari waktu keluarnya dari rumah, kita akan hidup semata-mata kerana Allah, bebas dari segala kesibukan urusan dunia. Kita menghayati ibadah haji dengan perasaan, dengan hati, dengan akal, dengan tubuhnya dengan segala anggotanya dan dengan seluruh dirinya.Diserahkan seluruh waktunya, usahanya, hartanya dan segala apa yang ada padanya untuk urusan ibadah haji. Demikianlah kita menyerahkan segala nikmat Allah untuk Allah, untuk taat kepada Allah dan menjauhi segala maksiat. Di dalam penyerahan yang sedemikan, kita mendapat bekalan, diberi didikan dan pengajaran yang berterusan, kesan dan pengaruhnya sepanjang hidupnya. (Buku Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah – Mustafa Masyhur)

Sebelum menunaikan haji buku ini di baca tetapi ummi tidak dapat merasai sepenuhnya, Alhamdullilah bila telah melaluinya barulah merasai di sebalik penulisan ini.



Bila kita hendak keluar dari rumah perlu mandi sunat ihram, dan memakai pakaian ihram dan telah meninggalkan urusan dunia dengan sepenuh hati serta ikhlas kerana Allah.
Kita meninggalkan anak-anak, sanak saudara serta rakan2 dan meninggalkan harta serupalah seperti kita meninggalkan dunia ini menemui Tuhannya. Mandi kita seperti mandinya mayat, memakai ihram serupalah orang yang dikapankan. Meninggalkan urusan dunia seperti keluarnya dari dunia untuk memasuki alam kubur dan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, harta dan rumah untuk ibadah haji serupalah dengan perihal orang yang mati meninggalkan dunia ini.


Dilapangan terbang Jeddah

Mudah-mudahan perjalanan ini memberikan satu pengajaran kepada diri ummi untuk muhasabah bahawa suatu hari nanti kematian ini benar-benar terjadi pada diri. Harta, anak-anak dan semua kesenangan dunia akan ditinggalkan dan harta yang paling berharga adalah anak-anak yang soleh yang dapat mendoakan kita, Insyaallah.

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
(Surah Ibrahim :40)


Insyaallah bersambung di lain kali jika dikurniakan Allah kesempatan dan umur yang panjang, ummi ingin berkongsi cerita2 yang dapat menjadikan pengajaran dan muhasabah diri.

 



Alhamdullilah, dapat meninggalkan sedikit peringatan untuk diri di sini. InsyaAllah Ummi dan suami akan menunaikan panggilan haji pada 15 oktober ni, doakan kami supaya mendapat haji mabrur.

Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan haji yang mabrur, dosa yang diampun dan usaha yang dipuji, amalan soleh yang di terima dan perniagaan yang tidak rugi.

Hati ini mulai rasa berdebar, tetapi tidak tahu kenapa. Ummi biasa berpergian meninggalkan tanah air tetapi perasaan yang datang ni tidak pernah dirasai sebelum ini.

Ya Allah, Kau permudahkan urusan kami di Malaysia dan juga di Tanah Haram.

Muhasabah Haji

Apakah disebalik pengertian haji itu sendiri iaitu mengunjungi Baitullah al-haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya. Terlintas di hati ini adakah sudah cukup memahami erti haji itu sebenar, atau ia lebih daripada itu. Adakah ummi dapat menggali pengertiannya dan merasainya sehingga dapat membina sakshiah dan hidup dengan penghayatan Islam seterusnya selepas kembali dari menunaikannya?

Adakah diri di ampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan dengan banyaknya terhadap Allah Taala?

Mampukah diri ini mendapat haji mabrur seperti yang dijanjikan Allah iaitu balasannya Syurga?

Ya Allah Kau bantulah hambaMu ini mencari dan menggali pengertian haji supaya hambaMu ini benar2 merasai Kau sentiasa dekat dengan kami setiap saat dan kami tidak rasa takut untuk kembali kepadaMu, Ya Allah. Ya Allah, jadikan kematian kami sebaik-baik kematian dalam husnul khathimah.

Hambu-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hambu-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.


Doakan ummi supaya memperolehi haji mabrur dan sentiasa sabar, ikhlas dan berbaik sangka dengan semua orang.


Tidak sabar menatapnya...

Kelebihan Mekah (Abd Basit Abd Rahman)

1. Makkah ialah Tanah Haram dan pengharamannya sehingga hari kiamat.
2. Nabi Ibrahim mengisytiharkan Tanah Haram Makkah.
3. Makkah ialah sebaik-baik neger dan tempat yang paling disayangi oleh Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w.
4. Makkah tidak dimasuki dajal.
5. Ancaman daripada melakukan kejahatan di Tanah Haram.
6. Kelebihan tawaf.
7. Rahmat kepada orang yang tawaf, solat dan memandang Kaabah.
8. Kelebihan solat di Makkah.

Masjid Nabawi




Kami rindu pada mu Ya Rasullulah...

Doa musafir

Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan Engkaulah penjaga keselamatan kaum keluarga, harta benda, anak pinak dan sahabat handai. Ya Allah peliharalah kami dan mereka dari keburukan dunia dan kerosakannya. Ya allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini dan juga amalan-amalan yang Engkau redhai.
Ya Allah, kami memohon supaya didekatkan dan dimudahkan perjalanan kami dan kurniakanlah kami di sepanjang perjalanan ini keselamatan tubuh badan, agama dan harta benda. Sampaikanlah maksud kami mengerjakan haji dan mengunjungi maqam Nabu Mu Muhammad S.A.W.


Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan Mu daripada segala mara bahaya di dalam perjalanan dan perkara-perkara yang mendukacitakan, jauhilah buruk pandangan pada kaum keluarga, harta benda, anak pinak dan sahabat handai kami.

Ya Allah, letakkanlah kami dan mereka sekelian di dalam peliharaan Mu, janganlah Engkau lucutkan nikmat Mu dari kami dan mereka, janganlah Engkau mengubahkan kesihatan yang ada pada kami dan pada mereka. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Ummi doakan semua pembaca blog ini akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat dan tidak lupa juga doa ummi khas untuk tuan punya blog ini arwahyarham Muhammad ‘Ammar agar Allah mengampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan beliau di dalam taman-taman syurga Mu, Ya Allah!

Ameen Ya Rabbal’lamin

Sehingga bertemu lagi selepas ini, Insyaallah jika dipanjangkan umur. Akhir sekali ummi mohon ampun dan maaf kepada anak-anak dan semua sahabat handai arwah dan anak2 ummi yg lain yang sentiasa membaca blog ini dan juga semua pengunjung blog ini yang datang dan pergi sebelum ummi berkembara menjadi tetamu Allah.

Akhir kalam dari Kalam Puncak ini dgn lafaz Assalammualaikum.

 


Al-quran adalah merupakan sumber yang utama untuk audit diri kita...

Alhamdullilah, telah diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis lagi di blog ini. Ummi doakan kita semua mempunyai kesedaran hati yg tinggi dan masih terus berada dalam lindungan dan kerahmatan Allah.

Tiba-tiba ummi rasa terpanggil untuk memberi sedikit pengkongsian dengan pembaca semua tentang survellience audit ISO15189 yang dijalankan pada hari ini dan kelmarin di tempat kerja ummi. Kenapalah hati ini terasa sangat apabila diri diaudit oleh auditor yang mahir dan pakar dalam bidang tempat kerja ummi iaitu bidang sitogenetik. Soalan demi soalan ditanya untuk memastikan bahawa ujian yang dijalankan mengikut prosedur yang betul dan semua rekod yang perlu difailkan untuk rujukan akan datang dan bermacam2 soalan ditanya mengikut klausa yang ditetapkan oleh Standard Malaysia dan standard antarabangsa.

Alhamdullilah semuanya berjalan dengan jayanya dan tahniah untuk semua demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit dalam rangka untuk beribadat kepada Allah, mudah2an Allah berikan kerahmatan kepada kami semua.

Berbalik kepada audit ini untuk mencapai kejayaan di dunia perlu ada usaha dan muhasabah bagi capai kualiti, tapi marilah juga kita janganlah lupa audit diri kita untuk membawa bekalan kepada Allah apabila di jemput nanti. Kematian itu pasti dan apa bekalan kita, pernahkah kita audit diri kita tentang amal-amal yang akan dipersembahkan nanti. Jika audit di dunia kita boleh buat pembetulan tetapi di sana nanti tidak ada pembetulan lagi..... muhasabahlah terus muhasabah....

Berikut adalah contoh2 yang boleh digunakan untuk audit diri dan banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk audit diri, Insyaallah.





Mari kita audit diri ....

Mari kita menguji iman kita dan sejauh mana kefahaman kita terhadap Islam yang dituntut oleh Allah Taala dan mengukur kehidupan kita dengan sinaran criteria Islam sebenar.

Firman Allah dalam surah Al-Alaq: 1-5

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

Maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)




Jika kita mengaku Islam dan menyatakan iman kepadaNya:

Apakah benar bahawa hidup dan mati kita adalah benar-benar untuk Allah saja?

Apakah akal fikiran , tenaga yang ada pada jiwa dan raga kita, waktu dan usaha-usaha kita diabadikan hanya untuk Allah semata-mata?

Apakah yang harus kita kerjakan untuk menunjang untuk tercapainya tugas yang telah Allah tetapkan?

Apakah kita telah memberikan sepenuh kepatuhan dan pengabdian kepada Allah?
Apakah pelayanan hawa nafsu dan pengabdian selain Allah telah sebenarnya terhapus dalam jiwa kita?

Adakah kebencian yang kita letakan seluruhnya tergantung kepada Allah sahaja?

Adakah kita selalu memeriksa diri bahawa mencintai dan membenci seseorang hanya seluruhnya sandaran kepada Allah?

Adakah tindakan kita memberi atau tidak memberi sesuatu kepada seseorang adalah kerana Allah?

Benarkah kita merasakan apa yang kita belanjakan untuk diri sendiri ataupun diberi untuk orang lain adalah ketatapan Allah, dan hanya untuk mendapat keredhaan Allah. Demikian juga jika kita tidak memberi sesuatu, apakah ianya datang dari ketetapan Allah yang melarangnya?

Jika perasaan ini ada dalam diri kita, maka marilah kita bersyukur pada Allah banyak-banyak kerana dibukaNya hati kita dan telah dianugerahi rahmat iman dalam kepenuhanya.

Marilah diri ummi ini dan pembaca di sini semua, jika kita merasai kekurangan lagi maka kita berusahalah untuk menghilangkan kekurangan ini , kerana kesejahteraan kita di dunia ini dan keselamatan kita di akhirat nanti bergantung kepada usaha kita kearah ini untuk mencapai tahap keimanan yang mantap.

Tidak perlulah kita mengharapkan orang lain menilai diri kita, biarlah nilaian yang sebenarnya datang dari Penguasa Yang Maha Agung dan Tinggi.

Kejayaan yang sebenarnya terletak dalam penilaian yang diberikan oleh Allah Taala, semada kita ini seorang mukmin, bukannya seorang munafik dan seorang yang beriman, bukannya seorang kafir.

Tarbiyah Madrasah Ramadhan


Ramadhan telah menghampiri kita semua, marilah kita berdoa kepada Allah agar dipanjangkan umur agar sempat bertemu dengan Ramadhan ini yang sentiasa ditunggu dan dirindui oleh setiap orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

Marilah kita sambut Ramadhan dengan perasaan penuh rasa gembira dan rasa lapang jiwa.
Orang-orang Muslim perlu sedar daripada lena mereka dan awas agar puasa tidak menjadi semata-mata penahan lapar dan dahaga sahaja, tetapi puasa ini adalah rangka untuk kita berubudiyah (penghambaan) sebenar kepada Allah swt dan mendapat keredhaanNya (Fadhilah as Syeikh Darwis Mustafa Hasan).

Puasa ini merupakan wasilah untuk mencapai ketakwaan kepada Allah seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah:183

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (183)

 

Marilah berinfaq...

By Kalam Puncak

Alhamdullilah, post ummi kali ini akan membincang mengenai infaq dan membuka pasaran saham yang tiada untungnya di sini, asalkan kita semuanya ikhlas, InsyaAllah kita akan memetiknya di akhirat nanti...


Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 261

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ۬ مِّاْئَةُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ (٢٦١)

Maksudnya:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (261)

Infaq fi sabillilah - berjihad harta kepada jalan Allah merupakan bukti yang paling tepat menunjukan keadaaan jiwa yang bersih dan sihat dalam bentuk amal.

Ayat-ayat Allah dalam Al-quran mengalakan kita berinfaq sebagai satu cara untuk mendidik jiwa supaya cenderung kepada kebaikan, mengutamakan orang lain, suka membuat kebajikan dan peka terhadap kesengsaraan orang lain dan petanda yang nyata tentang imannya.

Firman Allah surah Al-Baqarah : 254

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ يَوۡمٌ۬ لَّا بَيۡعٌ۬ فِيهِ وَلَا خُلَّةٌ۬ وَلَا شَفَـٰعَةٌ۬‌ۗ وَٱلۡكَـٰفِرُونَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ (٢٥٤)

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (254)



Kedermawan Abdul Rahman bin Auf

Kita telah mengetahui bagaimana Abdul Rahman bin Auf memperoleh kekayaannya, iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh dan tidak merasa tamak, sehingga harta itu memancar berlimpah ruah di hadapannya. Sampai diriwayatkan bahawa ia pernah mengatakan: `Seandainnya saya mengangkat batu dari tempatnya, niscaya saya akan menemukan harta di bawahnya`.

Sementara itu setengah sahabat pernah bertanya kepadanya;
“Apakah rahsia kejayaanmu dalam perniagaan”?
Dia menjawab: Kerana saya tidak pernah menjual barang yang cacat, dan tidak mengharapkan keuntungan yang banyak, tetapi memadai dengan untung yang sedikit, kerana Allah akan memberkatinya!”

Anas bin Malik r.a pernah meriwayatkan bahwa ketika Siti Aisyah r.a berada di rumahnya, tiba-tiba ia mendengar suara riuh-rendah di luar, maka ia bertanya: “Suara siapa ini”?`
”Para Sahabat menjawab: Kafilah Abdul Rahman bin Auf baru sampai dari Syam membawa sebanyak 700 ratus unta yang sarat dengan barang-barang dagangan di belakangnya”.

Maka Siti Aisyah r.a berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah pernah berkata: Saya lihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan MERANGKAK!" Apabila berita itu sampai ke telinga Abdul Rahman, ia lalu datang kepada Siti Aisyah seraya bertanya tentang berita itu. Maka diterangkannyalah oleh Siti Aisyah apa yang didengari oleh beliau, maka Abdul Rahman berkata: “Saksikanlah! Bahawa 700 unta dengan muatannya itu adalah di sedekah pada jalan Allah". Ditambahkan pula menurut riwayat daripada Ibnu Abbas r.a berkata: sekali peristiwa telah datang kafilah Abdul Rahman dari Syam, lalu diserahkan kesuluruhannya ke tangan Rasulullah untuk disedekahkan. Lantaran itu Rasullah mendoakan baginya supaya dibalas dengan syurga.
Kemudian datang Jibril a.s. mebawa berita dari langit: `Sampaikanlah salam kepada Abdul Rahman bin Auf dan gembirakanlah dia dengan syurga.

Dari sirah ini telah memberi kita satu gambaran dan kesedaran bahawa sahabat Rasullulah hatinya sangat sensitif apabila dikhabarkan bahawa beliau masuk ke Syurga dengan merangkak dengan sebab kekayaanya. Lantas beliau menambah lagi infaq hartanya sehingga dikhabarkan oleh Rasullulah dengan nikmat syurga untuknya.

Jadi post ummi kali ini ingin membuka peluang kepada pembaca blog ini untuk sama-sama berinfaq kepada jalan Allah. Marilah kita infaq sebanyak mana yang mampu agar dengan ini akan membantu kita di akhirat nanti, insyaAllah.

Ummi dan pak cik telah ditugaskan untuk mendapatkan kutipan sebanyak RM6000 untuk Sekolah Menengah Agama 'Ibrah (IBRAH)(http://www.ibrah.moonfruit.com/), ini adalah untuk menyediakan prasarananya. Sekolah ini sekarang beroperasi dibangunan sementara iaitu 2 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas tingkatan 2, jumlah pelajarnya sekarang lebihkurang 94 orang. Saham ini dibuka untuk semua walaupun bermula dengan RM1 atau sebanyak mana yng ikhlas dan mampu diberi.
Kutipan ini mengunakan kupon yang telah mendapat kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kutipan derma, InsyaAllah.

Jika anak-anak ingin turut infaq bolehlah terus masuk ke akaun ummi (Siti Fatimah Ramli) GIRO: 07100-29-88584447-5





Ummi doakan semuga kita mendapat kebaikan dan dikurniakan Allah rezeki yang murah dan bahagia dunia dan akhirat, ameen.

Updated:
Alhamdullilah, sumbangan diterima. Ummi doakan semoga infaq yg diberi ini akan diganti kembali dengan rezeki yang melimpah ruah dunia dan akhirat, ameen ya Allah.


Wallahu'alam.